BERITA AL MAHDI II













BERITA AL MAHDI II
Alaihi salam






0149 B. Sistem Khalifah Akan Naik Semula Memerintah Seluruh Dunia
Dari Nukman bin Basyir katanya,
“Suatu ketika kami sedang duduk-duduk di Masjid Nabawi SAW dan Basyir itu adalah seorang yang tidak banyak cakap. Datanglah Abu Saklabah lalu berkata, “Wahai Basyir bin Saad, adakah kamu hafaz hadis Rasulullah SAW tentang para pemerintah?” Huzaifah RA lalu segera menjawab, “Aku hafaz akan khutbah baginda SAW itu.” Maka duduklah Abu Saklabah Al-Khusyna (untuk mendengarkan hadis berkenaan). Maka kata Huzaifah RA, Nabi SAW telah bersabda,

“Telah berlaku Zaman Kenabian ke atas kamu. Maka berlakulah zaman itu seperti yang Dia kehendaki, kemudian Allah pun mengangkat zaman itu seperti yang Dia kehendaki.
Kemudian berlakulah Zaman Kekhalifahan yang berjalan menurut cara Zaman Kenabian. Maka berlakulah zaman itu seperti yang dikehendaki oleh Allah ia berlaku. Kemudian diangkat-Nya apabila Dia berkehendak mengangkatnya.
Kemudian berlakulah pula Zaman Pemerintahan Yang Menggigit (Fitnah). Maka berlakulah zaman itu seperti yang dikehendaki oleh Allah berlakunya. Kemudian Dia mengangkatnya seperti yang Dia kehendaki mengangkatnya.
Kemudian berlakulah Zaman Pemerintah Yang Zalim (Diktator). Maka berlakulah zaman itu seperti yang Allah kehendaki ia berlaku. Kemudian Dia mengangkatnya apabila Dia mahu mengangkatnya.
Kemudian berlakulah pula Zaman Kekhalifahan yang berlaku menurut cara Zaman Kenabian.”
Kata Huzaifah RA, “Kemudian baginda SAW diam.”
Hadis ini diriwayatkan oleh Imam Ahmad di dalam kitab Musnad Al-Imam Ahmad bin Hanbal, Juzuk 4, halaman 273. Juga terdapat di dalam Kitab As-Silsilatus Sahihah, Jilid 1, hadis nombor 5.

Daripada Jabir bin Majid As-Sadafi RA, katanya Rasulullah SAW bersabda,
“Selepasku, akan berlaku zaman kekhalifahan. Selepas itu berlaku pula zaman Amir-amir. Selepas itu berlaku pula zaman Raja-raja dan selepas raja-raja, zaman diktator. Kemudian, seorang lelaki dari ahli keluargaku akan datang (memerintah) dan memenuhkan dunia ini dengan keadilan seperti sebelumnya yang dipenuhi dengan kekejaman. Kemudian, naik memerintah selepasnya Al-Qahtani, dan demi Zat yang menghantarku dengan kebenaran, dia tidaklah jauh berbeza daripada al-Mahdi.”
(At-Tabrani, Ibnu Mandah, Abu Nuaim & Ibnu Asakir)
Kedua-dua buah hadis di atas menyebutkan umat Islam sejak dari masa hayatnya baginda SAW lagi hinggalah ke hari kiamat, akan melalui lima zaman pemerintahan. Walaupun istilahnya ada sedikit berbeza, maksudnya sama sahaja dan urutan zamannya juga sama. Kelima-lima zaman yang dimaksudkan itu berserta huraian ringkas bagi setiap zaman itu adalah:
  1. Zaman Kenabian, iaitu zaman umat Islam diperintah oleh pembawa ajaran Islam itu sendiri, Nabi Muhammad SAW. Itulah zaman kemuncak bagi segala zaman pemerintahan, zaman contoh, zaman terbaik di antara segala zaman, sejak dari Nabi Adam AS hinggalah ke hari ini. Zaman ini telahpun berlaku dan telah juga berlalu, iaitu dengan wafatnya baginda SAW pada tahun 10 Hijrah. Dalam hadis kedua, zaman ini disebutkan sebagai selepasku sahaja, iaitu ringkasan daripada Zaman Kenabian.
  2. Zaman Kekhalifahan, iaitu pemerintahan yang berjalan berdasarkan Zaman Kenabian. Pemerintahannya adalah berpandukan benar-benar kepada wahyu Allah dan Sunnah Rasulullah SAW. Zaman ini dipanggil Zaman Khulafa ur-Rasyidin, khalifah yang mendapat petunjuk. Mereka adalah Khalifah Abu Bakar As-Siddiq RA, Umar bin Al-Khattab RA, Osman bin Affan RA dan Ali bin Abi Talib KMW. Sebahagian ulama turut memasukkan zaman pemerintahan Sayidina al-Hasan bin Ali RA yang singkat itu (6 bulan) ke dalam Khulafa ur-Rasyidin. Itulah dia 30 tahun yang dimaksudkan oleh baginda SAW dalam hadisnya yang berbunyi (terjemahan) kira-kira: “Kekhalifahan akan berlaku ke atas umatku selama 30 tahun. Selepas itu, berlaku pula zaman amir-amir.” Hadis ini diriwayatkan oleh Imam Ahmad, At-Tarmizi dan lain-lain. Hadis yang kedua juga menyebutkan Zaman Kekhalifahan. Zaman ini telah berlaku menurut catatan sejarah dan telah juga berlalu daripada kita.
  3. Zaman Pemerintahan Yang Menggigit (Fitnah), iaitu zaman yang bermula sejak turunnya Sayidina Hasan bin Ali RA sehinggalah berakhir pada tahun 1924M. Ini termasuklah zaman Umaiyah, Abbasiah, Mameluk, Fatimiyah, Moghul, Seljuk, Ayubiah, sehinggalah ke saat jatuhnya kerajaan Osmaniah, Turki pada tahun 1924. Zaman ini termasuklah semua wilayah yang diperintah oleh pemerintah Islam, yang memakai bermacam-macam gelaran itu seperti Amir, Khalifah, Sultan, Raja dan sebagainya. Namun terdapat beberapa orang pemerintah yang patut dikecualikan, kerana adil pemerintahan mereka. Antaranya yang lazim kita kenal ialah Umar bin Abdul Aziz, Abdullah bin az-Zubair, Muhammad al-Fateh dan Salahuddin Al-Ayubi. Dalam hadis yang kedua, zaman pemerintahan ini lebih diperincikan sehingga dibahagi kepada dua, disebutkan sebagai Zaman Amir-amir dan Zaman Raja-raja. Maknanya, Zaman Amir-amir itu berlaku lebih dahulu, kemudian barulah diikuti oleh Zaman Raja-raja, untuk menunjukkan lebih-lebih lagi zalimnya daripada zaman sebelumnya. Zaman ini juga telah berlaku dan kini hanya menjadi bahan sejarah bagi pengkaji sejarah, dan juga telah berlalu daripada kita, seperti urutan yang ditetapkan.
  4. Zaman Diktator, iaitu zaman pemerintahan yang bermula sejak jatuhnya Kerajaan Osmaniah dan berlangsung hingga kini. Pada zaman ini, seperti yang diisyaratkan, raja-raja sudah tidak ada lagi. Yang ada hanyalah para pemimpin yang digelar Presiden atau Perdana Menteri. Kedua-duanya adalah sistem diktator, seperti yang telah diisyaratkan oleh kedua-dua buah hadis di atas. Jika ada pun raja-raja, sudah tidak mempunyai kuasa penuh lagi seperti zaman-zaman sebelumnya. Zaman ini termasuklah semua pemerintah yang menguasai dunia Islam, sama ada yang menggunakan sistem imperial (beraja), berorientasikan parti-parti politik (Perdana Menteri), pemerintahan rakyat, sosialis atau republik (Presiden). Semuanya tidak berpandukan kepada sistem Islam yang sejati, tepat seperti apa yang kita alami hari ini. Zaman diktator ini sedang berlangsung dan insya-Allah akan diangkat oleh-Nya tidak lama lagi. Berdoalah banyak-banyak agar zaman ini segera Dia angkatkan daripada kita.
  5. Zaman Kekhalifahan, yang pemerintahannya sama dengan pemerintahan zaman Khulafa ur-Rasyidin dan Zaman Kenabian. Zaman ini belum lagi berlaku, dan insya-Allah akan berlaku, kerana telah disebut dan dijanjikan oleh Nabi Muhammad SAW, Sodiqul Masduq. Untuk menghadapi zaman ini, kita umat Islam perlulah bersedia dan bersungguh-sungguh menghadapi kedatangannya, yang tidak perlu diragui lagi itu. Antara caranya ialah dengan mengamalkan sungguh-sungguh cara hidup Islam dalam seluruh aspek kehidupan kita, dan menurut jejak para Salafus Soleh. Untuk membina kejayaan seperti zaman dahulu, kita mestilah mengikut apa yang umat zaman dahulu (Zaman Rasulullah SAW) lakukan - peningkatan dalaman. Para pengamal ajaran Islam akan menjadi ghurabak (orang asing), seperti yang berlaku kepada generasi awal Islam dahulu. Melalui para ghurabak inilah Allah turunkan pertolongan-Nya sehingga naik Imam Mahdi memerintah seluruh umat Islam di seluruh dunia. Penurunan seorang khalifah oleh Allah SWT kepada umat Islam merupakan satu nikmat yang amat besar, seperti firman-Nya yang terjemahannya kira-kira begini,
“Dan ingatlah ketika Musa berkata kepada kaumnya, “Wahai kaumku, ingatlah nikmat Allah ke atas kamu ketika Dia mengangkat nabi-nabi dari kalangan kamu dan dijadikan-Nya kamu raja-raja.”
(Al-Maidah : 20)

0150 Bagaimanakah Cara Sebenar Islam Naik Semula
Setiap orang yang mengaku beragama Islam, mahu tidak mahu pasti inginkan Islam memerintah negara ini khususnya, dan dunia ini amnya. Namun ramai yang masih tidak mengetahui bagaimanakah caranya Islam dapat naik semula untuk memerintah dunia ini. Masih ramai yang tertanya-tanya bagaimanakah caranya Islam boleh muncul sebagai kuasa baru dunia itu. Dan masih terlalu ramai yang tidak nampak apakah ada cara yang sesuai untuk Islam naik. Selain itu, masih ramai yang keliru dengan kaedah kemunculan semula Islam pada kali ini.

Akibat daripada itu, ramailah yang mengikut-ikut sahaja cara yang sedia ada. Ramailah yang taklid buta dan yang mentaklidbutakan orang, sedangkan pada masa yang sama mereka sibuk mengajak orang ramai supaya jangan bertaklid buta, kononnya tidak akan maju sampai bila-bila. Masing-masing masih tidak jelas apa itu pemerintahan Islam yang sebenar, dan jika dikatakan kepadanya bahawa Islam naik tidak melalui kaedah politik yang digunakan pada hari ini, tiba-tiba sahaja mereka akan garu kepala yang tidak gatal. Tidak kurang pula yang terus menolak tanpa berfikir lagi dan sebagainya.
Setelah itu, timbul pula beberapa persoalan yang amat penting untuk dijawab dengan penuh saksama dan tepat menurut kehendak ajaran Islam yang tulen. Antara persoalan utama yang selalu diajukan jika diberitahu kepadanya bahawa Islam tidak naik melalui sistem yang sedia ada ialah, apakah kaedah itu adalah:
  1. Kaedah politik Barat, yang menekankan penggunaan sepenuhnya sistem demokrasi yang diasaskan oleh Barat, sistem politik ala-Barat atau menggunakan gabungan antara  sistem demokrasi yang disesuaikan dengan Islam ( ½ demokrasi dan ½ lagi Islam )?
  2. Kaedah rampasan kuasa seperti yang pernah digunakan di Pakistan, Afghanistan, Libya dan Iran?
  3. Kaedah jihad terhadap yang berlainan agama seperti mengebom gereja-gereja, menyerang kuil-kuil dan membunuh pengikut-pengikut mereka seperti oleh KMM, Al-Ma’unah, GAM dan MILF?
  4. Kaedah cakna dan memperkasakan ilmu pengetahuan seperti yang sering dilaung-laungkan oleh para sarjana dan cendekiawan Islam di hampir setiap puncak menara gading?
  5. Kaedah penguasaan ekonomi seperti yang dicanang dan dipraktikkan oleh para usahawan dan koperat Islam?
  6. Kaedah penerapan nilai-nilai Islam yang menekankan penghayatan secara tebuk-tebuk seperti yang pernah cuba diterapkan ke dalam sistem pentadbiran dan perbankan kita suatu ketika dahulu?
  7. Atau adakah cara lain lagi, selain daripada yang di atas, yang boleh digunakan untuk membolehkan Islam naik semula memerintah dunia ini? Jika ada, apakah nama cara itu? Siapa pengasasnya? Di mana tempatnya? Apakah orang itu sudah ada pada masa kita ini? Bagaimana fikrahnya? Bagaimana ilmunya? Apa nama partinya jika dia orang politik? Jika dia bukan orang politik, apakah nama gerakannya? Militankah dia?
Islam tidak akan dan tidak pernah berjaya jika dinaikkan menggunakan kaedah yang lain daripada kaedah Islam itu sendiri. Diumpamakan kita membasuh kain yang terkena tahi ayam dengan menggunakan arak. Itulah umpamanya orang yang cuba menegakkan Islam dengan menggunakan kaedah selain dari kaedah yang ada dalam Islam itu sendiri. Ada yang berkata, kita naik dahulu dengan cara Barat, dan selepas mendapat kuasa nanti, kita tukarlah sistem Barat itu dengan sistem Islam. Cara ini juga tidak betul kerana apabila kita menggunakan kaedah yang selain dari Islam, pastilah hasilnya akan melencong pula dari yang disasarkan.

Kaedah rampasan kuasa tidak akan berjaya kerana bukti-bukti sejarah yang terang jelas menunjukkan bahawa kaedah ini sentiasa gagal membawa keamanan kepada sesebuah negara itu, malah rakyat akan bertambah membenci kerajaan yang didirikan secara kekerasan dan rampasan kuasa. Kaedah jihad seperti yang cuba dilaksanakan oleh beberapa pihak sebenarnya bukanlah bentuk jihad yang dikehendaki oleh Islam. Ada banyak bentuk jihad yang lain yang lebih sesuai diterapkan kepada orang ramai, sama ada kepada yang beragama Islam sendiri, mahupun kepada orang yang bukan Islam. Jihad dengan senjata bukanlah kaedah yang pertama dan utama yang patut kita gunakan. Lagipun kaedah ini tidak pernah disebutkan oleh Rasulullah SAW dalam hadis-hadis mengenai peristiwa akhir zaman.

Kaedah cakna dan memperkasakan ilmu seperti yang selalu disebut-sebut di hampir setiap forum dan seminar sebenarnya bukanlah kaedah yang terbaik untuk membangunkan Islam. Ilmu yang tidak disertakan tauhid, roh Islam dan amalan hati pasti akan gagal juga. Apatah lagi jika guru yang mengajar agama Islam itu adalah orang yang tidak tentu akidahnya, orangnya fasik ataupun orang kafir. Jika benar dengan memperkasakan ilmu-ilmu agama dapat membangunkan ummah, kenapa sehingga kini universiti masih gagal menunjukkan bahawa merekalah pelopor terhadap kebangkitan semula Islam di rantau sebelah sini? Setakat buku ini ditulis, tidak pernah lagi ada orang yang berkata bahawa kebangkitan semula Islam pada zaman ini di Timur ini, bermula di universiti, dibangkitkan oleh para pensyarahnya. Kaedah penguasaan ekonomi juga menunjukkan hasil yang hampir sama jika dilihat secara umum, menurut kaca mata orang ramai.

Kaedah penerapan nilai-nilai Islam dalam sistem pentadbiran dan perbankan juga tidak menunjukkan bahawa kaedah ini mampu menjadi peneraju kebangkitan semula Islam pada zaman ini. Malah sebenarnya kaedah ini lebih banyak menghasilkan orang-orang yang berpura-pura dan bersikap berketrampilan (serba boleh). Maksudnya, orang itu akan mempermain-mainkan Islam sama ada secara sedar atau tidak. Misalnya mereka berpakaian biasa yang terdedah sana dan sini pada hari-hari biasa, manakala pada hari Jumaat, bertudung litup. Kemudian pada hari lain, buka semula seperti biasa. Atau contoh lain ialah orang itu boleh menjadi imam sembahyang pada satu masa, manakala pada masa yang lain, dia juga mampu menjadi imam semasa berjudi atau minum arak.

Memang persoalan seperti ini pernah ditimbulkan oleh orang ramai. Pada hari ini, umat Islam sudah mula frust dan fed up terhadap sistem politik yang ada dan digunakan pada hari ini. Mereka bukan tidak mahukan Islam itu naik, tetapi jemaah-jemaah yang kononnya mendukung perjuangan menegakkan sebuah negara Islam masih belum juga menampakkan sebarang persediaan untuk menyambut tugas yang maha besar itu. Mereka masih lagi sibuk dengan cara dahulu juga iaitu bertempik dengan penuh semangat sambil mencerca pihak lawan yang kononnya tidak mahukan Islam, tidak nampak lagi usaha yang bersungguh-sungguh dari mereka, yang menjurus ke arah itu, sedangkan canangannya sudah begitu lama diuar-uarkan.

 Sebenarnya memang benar bahawa Islam tidak naik dengan cara yang sedia ada pada hari ini, dan sekali-tidak tidak akan naik dengan cara itu. Islam ada sistemnya sendiri yang amat jauh berbeza daripada sistem-sistem yang sedia ada, baik pada hari ini mahupun pada masa lalu. Kaedah yang kita amalkan pada hari ini bukanlah kaedah Islam atau kaedah yang sesuai dengan Islam. Untuk memudahkan pemahaman tentang masalah ini, berikut diperturunkan beberapa ciri khusus yang perlu diperhatikan semasa menilai seseorang itu, sama ada layak kita jadikan pemimpin Islam kita atau tidak. Jika tidak ada, maka tidak layaklah dia memperkatakan negara Islam, apatah lagi mahu memerintahnya.

1.Mula-mula sekali Allah SWT turunkan pemimpin berkenaan. Ini adalah perlu kerana pada diri pemimpin berkenaanlah Allah wakilkan pentadbiran-Nya untuk menguruskan sekalian manusia. Hanya dengan orang yang telah Allah SWT sendiri pilih secara khusus untuk menjadi wakil-Nya mentadbir manusia, barulah Islam akan turut sama naik, bersama-sama dengan naiknya pemimpin berkenaan sebagai pemerintah manusia. Hal ini tidaklah perlu dihairankan sangat, atau dipertikaikan lagi, kerana contohnya sudah amat jelas. Contohnya Rasulullah SAW dilantik sebagai pemimpin manusia melalui firman-Nya:

“Wahai sekalian manusia, sesungguhnya aku adalah utusan Allah kepada kamu sekaliannya.” (Al-Aa’raf : 158)
Orang yang menjadi rasul adalah juga pemimpin bagi umatnya, kerana salah satu tugas rasul itu adalah memimpin umatnya melaksanakan syariat Allah, dan sekali gus menjadi ketua bagi umat masing-masing. Begitu juga dengan Bani Israel yang Allah datangkan Talut sebagai pemimpin mereka. Ini ditegaskan dalam firman-Nya yang bermaksud,
“Dan nabi mereka (Nabi Samuel AS) berkata kepada mereka, “Sesungguhnya Allah telah mengangkat untuk kamu semua Talut sebagai raja…”              (Al-Baqarah : 247)
Begitu juga semasa Allah SWT melantik Nabi Musa AS sebagai pemimpin mereka, seperti firman-Nya yang bermaksud,
“Dan ingatlah ketika Musa berkata kepada kaumnya, “Wahai kaumku, ingatlah nikmat Allah kepada kamu semua ketika Dia melantik di kalangan kamu nabi-nabi dan dijadikannya kamu raja-raja.”   (Al-Maidah : 20)
Orang itu dan kepemimpinannya mestilah bertaraf Khalifah. Ini sesuai dengan firman Allah SWT yang bermaksud,
“Ingatlah ketika Tuhanmu berfirman kepada para malaikat, “Sesungguhnya Aku hendak menciptakan seorang khalifah di atas muka bumi…”  (Al-Baqarah : 30)
2.Disesuaikan dengan zaman munculnya. Pemimpin seperti ini tidak diturunkan secara semberono sahaja, malah ditentukan pada setiap zaman, bentuk-bentuk kepemimpinan yang perlu dilakukannya. Misalnya untuk zaman ini, pemimpin itu mestilah berusaha menghidupkan kembali sistem pemerintahan Islam sepusat (Centralized Islamic World) yang negara-negara Islam lain tumpang bernaung di bawahnya dan dia juga berusaha menghidupkan kembali sistem khalifah. Pemimpin itu perlu berjuang ke arah ini pada zaman ini kerana sistem khalifah sudah lama dipadamkan dari dunia Islam oleh kuasa-kuasa Barat. Kalau pemimpin berkenaan hanya pandai berkokok tentang Islam di bawah tempurung sahaja, dan tidak pernah cuba menghidupkan sistem khalifah seperti dahulu, maknanya dia bukan pemimpin Islam sejati, malah dia adalah pemimpin yang mencari kepentingan peribadi. Kalau pemimpin itu tidak pernah berusaha membawa pentadbiran Islamnya keluar dari sempadan negaranya, maka dia juga bukanlah seorang pemimpin sejati yang ditunjuk oleh Allah untuk kita. Dia sebenarnya hanyalah seorang pemimpin biasa yang apabila tiba masanya, pasti akan turun juga dari pemerintahannya (sama ada secara sukarela atau terpaksa) untuk memberi laluan kepada pemimpin sejati itu naik memerintah.

3.Diberikan sifat-sifat khusus yang jauh berbeza daripada pemimpin lain untuk memudahkan orang ramai mengenalinya. Pada satu-satu masa, yakni pada setiap seratus tahun, hanya dia seorang sahaja yang diberikan sifat-sifat khusus begini, yang sebenarnya bukanlah suatu yang asing dalam Islam. Hanya dikeranakan umat Islam sudah terlalu lama tidak mengamalkannya atau melihat Islam secara realiti, maka apa yang dibawanya itu dilihat sebagai sesuatu yang baru. Itulah salah satu sifat utama seorang pemimpin yang ditunjuk oleh Allah, mampu membawa perubahan yang menyeluruh kepada seluruh umat, tanpa mengira sempadan negara dan bangsa. Apa yang dibawanya itu amat asing bagi, bukan sahaja orang-orang kafir malah umat Islam sendiri, termasuk kalangan ulamanya. Ini sesuai dengan sabda Rasulullah SAW yang bermaksud,
Islam itu permulaannya adalah asing, dan nanti akan kembali menjadi asing, seperti permulaannya. Maka beruntunglah orang-orang yang asing itu.”Muslim

4.Dikhususkan ilmu, penghayatan dan kefahaman kepadanya yang bersesuaian dengan zaman itu. Ini amatlah penting kerana dengan pemberian sifat-sifat khusus seperti inilah mereka diberi kemampuan untuk membawa seluruh manusia kepada Allah, sedangkan sebelumnya mereka begitu hanyut dengan pelbagai bentuk keduniaan yang melalaikan. Dengan ilmu mereka yang sentiasa hidup itulah, umat Islam akan tertarik hatinya untuk kembali mengamalkan ajaran Islam, bertaubat dari perangai lamanya dan bertukar menjadi orang yang saleh. Ini tidak perlu dihairankan kerana Rasulullah SAW pernah berbuat demikian terhadap para sahabat baginda seperti yang banyak diriwayatkan, baik di dalam buku-buku sejarah Islam mahupun di dalam buku-buku sejarah umat Islam. Hal ini tidak akan Allah berikan kepada mana-mana pemimpin pun pada sesuatu zaman itu. Jika ciri-ciri ini ada pada seseorang, maka orang itulah pemimpin sejati kita, tidak akan ada dua atau tiganya lagi. Jika hendak terjumpa pun orang yang mempunyai ciri-ciri yang sama, kenalah tunggu hingga seratus tahun lagi. Itupun jika umur kita masih panjang atau dunia ini masih belum dikiamatkan lagi.

5.Pemimpin umat Islam adalah orang yang paling bertakwa di kalangan manusia. Mereka bukan sahaja orang Islam, malah dia beriman kepada Allah. Dia membesarkan sembahyang bagi dirinya dan memerintahkan pengikutnya membesarkan sama sembahyang. Allah SWT sangat dibesarkan, ditakuti dan dicintai melebihi dari segala-galanya. Segala ungkapan cinta dan asyik, tertuju khusus kepada Allah. Apabila pemimpinnya sendiri mencintai Allah, pastilah rakyatnya akan turut sama mencintai Allah. Sunnah Rasul SAW sangat dibesarkan dalam setiap aspek kehidupan sehingga perkara yang kecil-kecil pun dibesarkan sama, kerana kecintaan mereka kepada Rasulullah SAW terzahir dalam setiap tindak tanduk mereka. Semua ini sudah diterangkan oleh Allah SWT sendiri seperti firman-Nya yang mafhumnya,
“Sesungguhnya pemimpin kamu adalah Allah, Rasul-Nya dan orang-orang yang beriman, yang sentiasa mendirikan sembahyang, yang mengeluarkan zakat dan adalah mereka itu orang-orang yang rukuk.”    (Al-Maidah : 55)

6.Ditentukan tempat munculnya. Rasulullah SAW sudah menjelaskan tempat munculnya pemimpin akhir zaman. Untuk akhir zaman ini, tempat munculnya juga sudah dijelaskan oleh Nabi SAW dengan menyatakan, yang maksudnya,
“Seorang lelaki dari anak cucu Al-Hasan akan datang dari arah Timur. Jika dia menghadap ke arah gunung, akan dipukulnya sampai rata, sehingga mereka berjaya melaluinya.”

Orang yang dimaksudkan dalam hadis ini adalah Syuaib bin Saleh at-Tamimi, datang dari keturunan Sayidina Hasan bin Ali RA iaitu keturunan Ahlulbait dan tempat munculnya adalah di Timur. Timur yang dimaksudkan itu adalah di Asia Tenggara ini, iaitu kawasan tempat tinggal kita sekarang.

7.Ditentukan pengikut-pengikutnya. Pada zaman Rasulullah SAW, ditentukan bahawa pengikut-pengikut baginda disebut sebagai Sahabat, ditentukan pula bahawa Allah SWT telah meredai mereka semuanya dengan firman-Nya yang bermaksud,
“Sesungguhnya Allah telah redha kepada orang-orang mukmin (para sahabat) semasa mereka berbaiat kepadamu di bawah pohon, maka Allah mengetahui apa yang ada di dalam hati mereka, lalu Allah turunkan ketenangan ke atas mereka dan memberi balasan kepada mereka dengan kemenangan yang hampir.”        (Al-Fath : 18)
Manakala untuk umat akhir zaman iaitu zaman kita ini, para pengikutnya juga adalah khusus seperti yang pernah disebutkan oleh Sayidina Ali KMW,
Apabila dia yang dari ahli keluarga Muhammad SAW keluar, Allah akan mempertemukan para pengikutnya dari Timur dan Barat dengannya, seperti bertemunya awan-awan pada musim luruh. Mereka adalah ar-Rufaqak, mereka datang daripada penduduk Kufah, dan Wali Abdal yang datang daripada penduduk Syam.”
Selain mereka ini, ada sekumpulan lagi pengikut khususnya yang bilangannya lebih besar, yang merangkumi para Rufaqak itu tadi dan disebut sebagai Ikhwan. Ini dijelaskan oleh sabda Nabi SAW yang maksudnya,
Aku tersangat rindu kepada para Ikhwanku.” Maka bertanyalah para sahabat, “Ya Rasulullah SAW, bukankah kami ini Ikhwanmu?” Rasulullah SAW menjawab, “Bukan, malah kamu adalah sahabatku. Sedangkan Ikhwanku adalah orang yang beriman denganku walaupun mereka tidak pernah melihatku.”
Hadis ini diriwayatkan oleh Imam Muslim daripada Abu Hurairah RA dan Anas RA dengan matan yang sedikit berlainan.

Ikhwan inilah golongan yang memperkembangkan Islam pada akhir zaman, menggantikan para sahabat RA yang telah memperkembangkan Islam pada awal Islam dahulu. Mereka ini juga telah Allah redhai kepada mereka seperti yang disebutkan oleh sebuah lagi hadis, riwayat Imam Muslim.
Dari Nawas bin Sam’an RA, katanya, Suatu pagi Rasulullah SAW menyebutkan hal Dajjal.
“… (Hadisnya panjang… dipendekkan) … Isa AS mengejar Dajjal itu sampai ditemuinya di Bab Lud lalu dibunuhnya. Kemudian, suatu kaum (maksudnya para Ikhwan) yang dipelihara Allah daripada tipuan Dajjal, datang menemui Nabi Isa bin Maryam AS. Lalu dibarutnya muka mereka dan diceritakannya kepada mereka tingkat kediaman mereka di dalam syurga. Dalam keadaan demikian, ketika itu Allah mewahyukan kepada Isa AS: …” Muslim
8.Diuji dengan cabaran-cabaran khusus untuk memantapkannya. Cabaran dan dugaan ini cukup berat, sekira-kira tidak tertanggung oleh mana-mana pemimpin lain pun di dunia ini pada masa itu. Ini adalah suatu yang amat perlu supaya beliau akan lebih bersih hatinya, lebih tahan menerima ujian, cukup sabar menghadapi cubaan, lebih bersedia menghadapi tugas dan cabaran lebih besar pada masa-masa hadapan, memantapkan hatinya, menghapuskan dosa-dosa dan kesalahannya, dosa-dosa ahli dan jemaahnya dan lebih kuat imannya kepada Allah. Ini sesuai dengan sebuah hadis yang terjemahannya berbunyi kira-kira begini,
“…Kami Ahlulbait, telah Allah pilih akhirat kami lebih dari dunia kami. Kaum kerabatku akan menerima bencana dan penyingkiran selepasku kelak sehingga datanglah Panji-panji Hitam dari Timur. Mereka meminta kebaikan tetapi tidak diberikannya. Maka mereka pun berjuang dan memperoleh kejayaan. Sesiapa di antara kamu atau keturunan kamu yang hidup pada masa itu, datangilah Imam yang dari ahli keluargaku walau terpaksa merangkak di atas salji. Sungguh, mereka adalah pembawa Panji-panji yang mendapat hidayah…”       (At-Tarmizi, Al-Hakim, Abu Daud)
9.Diuji dan ditapis pengikut-pengikutnya untuk menguji kekuatan iman dan keikhlasan hatinya. Hal ini amat perlu kerana dengan melalui ujian dan tapisan demi tapisan itulah baru diketahui siapa yang benar-benar ikhlas berjuang kerana Allah, dan sesiapa yang banyak dosanya pasti tertinggal. Ingat, walau berapa ramai pun yang tertinggal, Pemuda Bani Tamim tetap bergerak ke hadapan dan langkahannya tetap laju mara menuju ke matlamat yang telah ditetapkan oleh Jadual Allah. Sesiapa yang mahu mengikutnya perlulah bersabar dan tahan menerima ujian, biar seberat mana pun ujian yang terpaksa diterima itu. Jika Pemuda Bani Tamim terpaksa melalui tujuh tahap ujian berat seperti di atas, maka pengikut-pengikutnya terpaksa juga menerima ketujuh-tujuh ujian itu, tidak dapat tidak. Cuma bezanya, setinggi mana pun ujian yang diterima oleh si pengikut, tetap tidak lebih berat daripada ujian yang ditanggung oleh Pemuda Bani Tamim itu sendiri. Beliau terpaksa menanggung segala ujian itu yang jauh lebih berat dan sukar daripada apa yang diterima oleh pengikutnya.

10.Dinaikkan secara yang tidak zalim. Bolehkah Islam ditegakkan setelah kerajaan yang sedia ada ditumbangkan secara zalim? Ertinya, kita menegakkan keadilan dengan cara yang zalim? Talut dinaikkan sebagai raja dengan cara yang tidak zalim. Dia tidak merampas kuasa dan tidak pula dengan melobi rakyat supaya menyokongnya. Kemunculannya adalah hasil doa dan rintihan rakyat dari kalangan Bani Israel kepada Allah. Nabi Musa AS juga menjadi pemerintah bagi Bani Israel secara semula jadi, tidak ada pengaruh-mempengaruhi dan tidak pernah pula menabur janji-janji manis kepada rakyat. Nabi Muhammad SAW juga tidak pernah menjadi pemimpin dengan menjatuhkan pemimpin Quraisy di Makkah, tidak pernah juga mempengaruhi penduduk Makkah supaya menyokong baginda, tidak pernah menabur janji-janji manis atau janji-janji politik, tidak juga melalui undi dan sokongan rakyat. Malah jauh sekali daripada mencerca peribadi-peribadi pemimpin Quraisy di kota Makkah itu biarpun mereka itu amat nyata kafirnya, malah sudah dimaktubkan kekafiran mereka di dalam Al-Quran. Setiap pemimpin yang zalim dijatuhkan oleh Allah kerana mereka menentang rasul-rasul dan wali-wali Allah dan dalam konteks akhir zaman, pemerintah itu dijatuhkan kerana mereka menentang pemimpin sejati akhir zaman. Mereka juga dijatuhkan oleh Allah kerana dosa-dosa mereka sendiri yang sudah terlalu banyak dan kerana terlalu zalim terhadap Orang-orang Allah, bukannya oleh kuasa rakyat atau melalui sistem demokrasi.
Allah SWT telah mengingatkan kita bahawa pemerintah (dan rakyat) yang zalim itu akan Dia binasakan kerana kezaliman mereka pada waktu yang telah Dia tetapkan sendiri seperti dalam firman-Nya yang bermaksud kira-kira begini,
“Dan (penduduk) negeri itu telah Kami binasakan apabila mereka berbuat zalim, dan Kami jadikan bagi mereka itu kebinasaannya pada waktu yang telah dijanjikan.”   (Al-Kahfi : 59)
Pemimpin akhir zaman juga tidak pernah melobi rakyat supaya menyokongnya. Sokongan rakyat kepadanya datang dengan sendiri, melalui hati yang sangat rapat dengan Allah. Sokongan rakyat adalah dengan melaksanakan setiap perintahnya dengan sepenuh taat, tidak berbuat jahat walaupun berada jauh daripada pemimpinnya itu atau tanpa pengetahuan pemimpinnya. Malah setelah pemimpinnya mati sekalipun, mereka tetap tidak akan berbuat jahat kerana mereka taatkan pemerintah mereka tidak mengira sama ada pemimpin mereka itu ada di hadapan atau jauh ataupun setelah matinya. Itulah pemimpin sejati, pemimpin yang sentiasa berada di hati, bukan di jari.

11.Diangkat sebagai pemimpin pada masa yang bersesuaian. Lazimnya pada awal setiap kurun Hijrah. Ulama yang zahir bukan pada masanya yang tepat, tidak sekali-kali boleh dikatakan sebagai mujaddid walaupun ilmunya sangat luas, jasanya sangat besar terhadap umat Islam, pemahamannya dikagumi, tulisan-tulisannya sangat banyak dan matinya pun sebagai seorang syahid. Seorang mujaddid mestilah zahir pada awal kurun Hijrah, bukan di tengah-tengah kurun. Ini sesuai dengan sabda Nabi SAW yang maksudnya,
“Sesungguhnya Allah akan membangkitkan pada awal setiap seratus tahun orang yang akan memperbaharui urusan agamanya.”   (Abu Daud, At-Tabari, Al-Hakim dan Al-Baihaqi)
Ertinya, apabila tiba sahaja pada setiap awal kurun Hijrah, maka umat Islam mestilah menumpukan perhatian mereka untuk mencari siapakah dia pemimpin yang Allah utuskan untuk kurun berkenaan. Hal ini telah Allah wajibkan kepada kita, semua umat Islam, untuk mencarinya, mengisytiharkan nikmat ini ke seluruh dunia dan kemudian bersama-sama melantiknya sebagai pemimpin seluruh umat Islam, tanpa mengira sempadan mazhab, pendidikan, geografi atau sebagainya lagi. Hanya dengan inilah sahaja caranya Islam akan menjadi tinggi dan nasib umat Islam akan terbela sepenuhnya daripada segala macam kesukaran dan penderitaan yang sedang kita tanggung pada hari ini. Nasib kita di akhirat sana pun akan lebih terbela dengan keberadaan orang pilihan Allah ini di tengah-tengah kita.

12.Diberi keupayaan menghapuskan khurafat-khurafat dan bidaah yang sedang berleluasa. Ini sesuai dengan firman-Nya yang bermaksud,
“Dan perangilah mereka sehingga tidak ada lagi fitnah supaya agama (Islam yang satu) itu hanyalah untuk Allah semata-mata…”      (Al-Anfal : 39)
13.Diberi keupayaan menghapuskan sistem-sistem yang tidak Islamik dan menggantikannya dengan kaedah Islam tulen, seperti firman-Nya yang bermaksud,
“Dialah yang mengutus Rasul-Nya (dengan membawa) petunjuk dan agama yang benar untuk dimenangkan oleh-Nya atas segala agama yang lain keseluruhannya, walaupun orang-orang musyrik itu tidak menyukai.”  (At-Taubah : 33)
14.Diberi keupayaan membawa keadilan yang merata, yang sesuai dengan tuntutan syarak. Adil yang dimaksudkan adalah adil menurut Al-Quran, bukannya adil menurut kaca mata Barat. Keadilan yang hakiki tidak akan mampu ditegakkan melainkan oleh seorang pemimpin yang ditunjuk dan didatangkan khusus oleh Allah untuk manusia. Hal ini barang kali agak jelas dan mudah, menurut kefahaman masing-masing. Oleh itu, tidak perlulah diperpanjangkan lagi di sini.

15.Pemimpin sejati adalah orang yang ditaat zahir dan batin. Pada hari ini, ramai pemimpin yang sudah tidak dihormati lagi oleh rakyatnya. Malah orang bawahannya juga sudah tidak tahu lagi menghormati pemimpin mereka. Hal ini sebenarnya adalah disebabkan pengaruh sistem Yahudi yang menyusup masuk ke dalam budaya dan hati kita secara yang amat halus sehingga tidak kita sedari. Memang orang-orang Yahudi tidak pernah mahu menghormati sesiapa pun. Usahkan orang yang bertaraf pemimpin atau raja di kalangan mereka, malah orang yang bertaraf rasul pun tidak pernah mereka hormati. Lihatlah bagaimana Al-Quran merakamkan cara mereka memanggil nabi mereka. Disebutkan di dalam beberapa banyak ayat Al-Quran, mereka memanggil Nabi Musa AS itu dengan sebutan, “Wahai Musa!…” sahaja. Tidak ada disebutkan mereka memanggilnya dengan Alaihissalam atau Rasulullah. Begitulah biadabnya mereka terhadap rasul-rasul mereka sendiri.
Pemimpin yang sejati ditaati perintahnya zahir dan batin. Beliau mestilah berusaha membina peribadinya dahulu dengan ajaran-ajaran Islam, kemudian membina keluarganya dengan persekitaran Islam, kemudian barulah beliau mendirikan sebuah jemaah untuk memulakan kepemimpinannya ke tahap yang lebih luas. Ahli-ahli jemaah ini sentiasa taat kepada beliau kerana meyakini kepemimpinan beliau. Itulah bentuk kepemimpinan yang dikehendaki seperti dalam sabda Nabi SAW yang maksudnya,
“Tiada Islam melainkan dengan jemaah, tiada jemaah melainkan dengan kepemimpinan dan tiada kepemimpinan melainkan dengan ketaatan.”
Begitu juga sabda Nabi SAW yang menyebutkan, maksudnya,
“Sesiapa yang mentaatiku maka bererti dia telah mentaati Allah dan sesiapa yang menderhakaiku maka bererti dia telah menderhakai Allah. Sesiapa yang mentaati Amirku maka bererti dia mentaatiku dan sesiapa yang menderhakai Amirku maka bererti dia telah menderhakaiku.”
Untuk mendapatkan pengesahan seseorang itu sebagai pemimpin umat, perlu berlaku baiat antara si pemimpin dengan si rakyat yang dipimpin. Orang yang tidak berbaiat kepada pemimpin, mendapat dosa yang besar dan dianggap penderhaka, sehinggalah dia membaiat pemimpin berkenaan. Ini telah digambarkan oleh baginda SAW dalam hadisnya yang bermaksud,
“Sesiapa yang mati sedangkan pada lehernya tiada tanggungan baiat, maka matinya adalah mati dalam keadaan jahiliyah.” (Muslim)
Selain itu, sesebuah jemaah atau parti yang memperjuangkan kebenaran seharusnya mampu melakukan yang berikut, sebagai tanda merekalah golongan yang dimaksudkan oleh hadis-hadis dan patut disokong sepenuhnya.
  1. Ahli yang memasukinya mampu melakukan perubahan hati. Perubahan ini berbentuk membersihkan hati mereka daripada dosa dan titik-titik hitam. Jemaah menggalakkan mereka banyak-banyak bertaubat.
  2. Ahli-ahlinya mampu menyelaraskan pemahaman terhadap hampir seluruh aspek perjuangan. Hal ini hanya mampu dilakukan oleh sebuah jemaah sahaja dalam setiap seratus tahun atau pemimpinnya itu seorang yang bertaraf mujaddid atau sekurang-kurangnya bertaraf imam mujtahid mutlak.
  3. Ahli-ahlinya mampu melakukan perubahan fizikal. Pakaian mereka semakin kemas menurut syarak dan sentiasa dipatuhi sepanjang masa, walau di mana sahaja mereka berada, bukan sahaja semasa di hadapan para pengikut mereka.
  4. Ahli-ahlinya mampu mempertingkatkan iman dari semasa ke semasa. Jika ini dapat dilakukan, itulah juga tandanya jemaah itu adalah jemaah kebenaran.
  5. Ahli-ahlinya mampu memperkemaskan ibadat-ibadat wajib dan istiqamah dengan ibadat yang sunat-sunat. Salah satu tanda orang yang dikasihi oleh Allah SWT ialah mereka sentiasa memperkemaskah ibadat yang wajib dan istiqamah dengan ibadat yang sunat-sunat. Hanya jemaah kebenaran sahaja yang mampu menitikberatkan ibadat sunat ini di kalangan ahlinya. Jika selain jemaah kebenaran, pengikut imam mujtahid mutlak juga boleh berbuat demikian. Yang selain dari itu, semuanya pasti gagal.
  6. Ahli-ahlinya mampu memimpin zaman kerana pemimpin mereka bertaraf Sahibul Zaman, bukannya dipimpin oleh zaman. Kepemimpinan mereka mendahului zamannya dan tidak terkejar oleh jemaah lain, sekurang-kurangnya dalam tempoh masa yang terdekat. Kaedah perjuangan mereka tepat menurut keperluan zaman.
  7. Ahli-ahlinya tidak menggunakan kaedah semasa, baik dalam bidang politik, ekonomi, pendidikan, keilmuan dan sebagainya. Kaedah mereka adalah kaedah lama, kaedah yang sudah tidak diketahui lagi oleh kalangan ilmuwan, walau yang paling cerdik sekalipun.
  8. Mengajak ahli-ahlinya menghisab dosa-dosa dan kesalahan sendiri, tidak memperkatakan dosa-dosa dan kesalahan-kesalahan orang lain. Lidah mereka bersih daripada menipu, mengata-ngata orang, memfitnah, membuka aib/kesalahan orang lain atau memperkatakan dosa orang lain.
  9. Ahli-ahlinya menganggap tugas kepemimpinan adalah suatu tanggungjawab yang amat berat untuk dipikul dan akan dihisab dengan teliti di akhirat kelak. Kerana itu, setiap tugas yang diamanahkan kepada mereka akan dijalankan dengan penuh tanggungjawab walaupun tiada yang mengawasi pekerjaannya.
  10. Ahli-ahlinya tidak meminta sebarang jawatan untuk memimpin dan tidak berhasrat untuk meminta jawatan. Hal ini amatlah sukar kerana lazimnya setiap parti politik akan meminta orang ramai menyokongnya untuk mendapatkan jawatan dalam sesebuah parti dan seterusnya dalam pentadbiran negara.
  11. Ahli-ahlinya diajak sentiasa mengingati Allah SWT dalam setiap masa dan ketika. Hanya dengan hati yang sentiasa mengingati Allah sahajalah pertolongan-Nya akan tiba dan perjuangan mereka sentiasa dibantu.
  12. Ahli-ahlinya diajak sangat-sangat mencintai Allah SWT dan merindui Rasulullah SAW sepenuh hati.
  13. Jemaahnya mampu membangunkan menurut sunnah sehingga mereka mampu berdikari tanpa bantuan dan sokongan mana-mana pihak.
  14. Ahli-ahlinya tidak terjejas oleh sebarang perubahan duniawi yang merosak dan melalaikan. Jemaah-jemaah lain tidak akan mampu menjaga ahli-ahlinya daripada terikut-ikut dengan pengaruh semasa yang merosakkan.
  15. Ahli-ahlinya tidak dibiarkan begitu sahaja kerana setiap ahlinya adalah ahli-ahli yang terpimpin dan sentiasa dipimpin. Itulah sikap pemimpin yang benar-benar bertanggungjawab. Kebajikan mereka sentiasa diisi.
  16. Keluarga ahli mereka juga diperhatikan dan turut diasuh dengan keperluan yang sesuai dengan kehendak jemaah. Keluarga ahli mendapat kefahaman yang sama dengan kefahaman pemimpin.
  17. Setiap ahli yakin dengan perjuangan mereka dan yakin mereka akan mendapat bantuan daripada Allah SWT. Kerana itu mereka sentiasa memperbaiki diri dan mengikis dosa-dosa dengan harapan doa mereka tidak lagi terhijab akibat dosa-dosa berkenaan.
  18. Mereka ditakuti oleh kawan dan lawan. Musuh amat gerun terhadap mereka. Yang sealiran dengan mereka amat sayang dengan mereka ini dan sentiasa bergantung harap kepada  mereka.
  19. Mampu membawa perubahan yang besar kepada corak dan aliran politik semasa dengan hanya sepatah kata, atau dengan satu ungkapan yang pendek sahaja. Betapalah besar perubahan yang akan mampu dibawanya jika mereka dibenarkan bercakap dengan panjang lebar.
Jika ciri-ciri di atas ada pada sesebuah jemaah atau parti, jangan tangguh-tangguh lagi. Itulah dia jemaah atau parti yang memperjuangkan kebenaran seperti yang telah dijanjikan akan muncul pada akhir zaman. Beramai-ramailah kita mengikutinya dengan hati yang ikhlas dan keyakinan yang penuh. Semoga kita akan mendapat salah satu tempat sebagai salah seorang yang berbahagia di dunia ini dan lebih-lebih lagi bahagianya di akhirat kelak.
0151 Sajak - Pesanan Berat Imam al-Ghazali RH, Khusus Buat Para Pejuang Kebenaran
  • Jika engkau mahu mengikut petunjuk para Imam, kuatkanlah dirimu untuk menerima musibah-musibah dengan jiwa yang tabah, sewaktu menghadapi setiap kepahitan, dan dengan hati yang sabar, walaupun dadamu bergoncang.
  • Lisanmu dikunci, matamu dikendalikan, rahsiamu disembunyikan hanya untuk diketahui oleh Tuhanmu sahaja.
  • Namamu biar tidak terkenal, pintu rumahmu tertutup rapat, bibirmu tersenyum, perutmu kelaparan, hatimu terluka, pasarmu tiada sambutan, pangkatmu dipendam dan keaibanmu ditonjolkan.
  • Setiap hari kamu menelan rasa pahit daripada pengaruh zaman dan teman, sedangkan hatimu menurut dalam sedar.
  • Pada waktu siang, kamu sibuk mengislahkan manusia tanpa berkira-kira. Malam pula kamu tenggelam dalam keasyikan kepada Tuhan.
  • Ambillah kesempatan pada waktu malam. Jadikannya jalan dan persiapan untuk hari kiamat yang padanya sukar sekali untuk mencari jalan.”
02001 Bagian 2 - C. Asal-usul Keturunannya
Mengenai keturunan Imam Mahdi, sudah jelas dinyatakan dalam banyak hadis bahawa Imam Mahdi itu berketurunan Rasulullah SAW, atau dengan lebih tepat lagi, Ahlulbait, yang keturunannya bersambung terus secara jelas dengan baginda Rasulullah SAW. Bagaimanapun, untuk lebih meyakinkan lagi hati kita, marilah kita lihat hadis-hadis berikut berserta huraian ringkas yang diberikan di bawah ini.
02002 1. Beliau Berketurunan Rasulullah SAW
A. Dari Sayidina Ali KMW, dia berkata, Rasulullah SAW bersabda,
“Al-Mahdi itu adalah dari golongan kami, wahai Ahlulbait, semoga Allah akan menyempurnakannya dalam satu malam.”        (Ibnu Majah)
B. Abdullah bin Mas’ud RA meriwayatkan bahawa Nabi SAW bersabda,
“Dunia ini tidak akan hancur sehingga seorang lelaki dari ahli keluargaku, yang namanya seperti namaku, memerintah seluruh bangsa Arab.”               (At-Tarmizi & Abu  Daud)
C. Sayidina Ali bin Abi Talib KMW meriwayatkan sebuah hadis daripada Nabi SAW yang memberitahunya bahawa,
“Al-Mahdi yang dinanti-nantikan itu adalah dari kaum keluargaku. Allah akan menyempurnakannya dalam satu malam sahaja.”        (Ibnu Majah)
D. Dari Abdul Rahman bin Auf RA katanya, sabda Nabi SAW,
“Sungguh Allah akan melahirkan seorang lelaki daripada keturunanku, yang (antara sifat utamanya ialah) giginya berjarak, dahinya lebar, keadilannya sangat meliputi seluruh alam dan akan mendapatkan harta-benda dengan melimpah-limpah.”       (Abu Nuaim)
E. Dari Abdullah bin Mas’ud RA katanya, sabda Nabi SAW,
“Jika tidak tinggal umur dunia ini melainkan hanya sehari sahaja, nescaya Allah akan memanjangkan hari itu sehinggalah dibangkitkan-Nya seorang lelaki dari keturunanku atau dari kaum Keluargaku, yang namanya menyerupai namaku, dan nama bapanya menyerupai nama bapaku. Dia akan memenuhi bumi ini dengan keadilan dan kesaksamaan sebagaimana bumi ini sebelumnya dipenuhi dengan penindasan dan kezaliman.” (Abu Daud & At-Tarmizi)
. Dari Sayidina Ali bin Abi Talib KMW katanya, Rasulullah SAW bersabda,
“Kalaulah hanya tinggal sehari sahaja lagi umur dunia ini, pasti Allah akan panjangkannya sehingga dibangkitkan-Nya seorang lelaki dari ahli keluargaku yang akan memenuhkan dunia ini dengan keadilan seperti sebelumnya yang dipenuhi oleh kezaliman.”         (Abu Daud)
G. Sabda Nabi SAW,
“Al-Mahdi itu adalah salah seorang dari kaum keluargaku, Ahlulbait.”        (Ibnu Majah)
H. Sabda Nabi SAW,
“Dunia ini tidak akan lenyap sehingga seorang lelaki dari kalangan bangsa Arab muncul, yang namanya seperti namaku.”         (At-Tarmizi)
I. Abu Said al-Khudri RA menceritakan bahawa Rasulullah SAW bersabda,
“Al-Mahdi adalah dari keturunanku. Dahinya luas dan hidungnya mancung. Dia akan memenuhkan bumi ini dengan keadilan dan kesaksamaan ketika dunia sedang dipenuhi dengan penindasan. Dia akan memerintah selama tujuh tahun.”
J. Rasulullah SAW mengisytiharkan bahawa,
“Al-Mahdi itu adalah salah seorang daripada kami, dari kalangan Ahlulbait.”  (Ibnu Majah)
K. Nabi SAW bersabda,
“Allah akan mengeluarkan dari persembunyiannya al-Mahdi (iaitu) dari kalangan kaum keluargaku sejurus sebelum hari kiamat walaupun kiamat itu cuma tinggal sehari sahaja. Dia akan menyebarkan keadilan dan kesaksamaan di atas muka bumi ini dan menghapuskan kezaliman dan penindasan.”    (Imam Ahmad)
Hadis-hadis yang memperakukan bahawa Imam Mahdi adalah keturunan baginda SAW adalah banyak dan sebahagiannya adalah seperti yang dinyatakan di atas. Hadis-hadis yang menceritakan mengenai hal ini memang banyak dan yang dinyatakan di atas hanyalah sebahagian daripadanya. Oleh kerana banyaknya hadis yang menceritakan tajuk yang sama, dan dari pelbagai tingkatan kesahihan pula, maka tidak syak lagilah Imam Mahdi itu memang asal-usul keturunannya adalah daripada Rasulullah SAW.
Memang tidak syak lagi Imam Mahdi itu adalah salah seorang dari Ahlulbait dan kedudukannya adalah lebih utama pada sisi Rasulullah SAW daripada orang lain yang sezaman dengannya mahupun dari zaman yang dahulu, sehingga kepada para sahabat RA. Ketinggian kedudukannya pada sisi Allah SWT dan pada sisi Rasulullah SAW sudah hampir tidak perlu dinyatakan lagi kerana sudah disebutkan sendiri oleh baginda Rasulullah SAW dalam beberapa buah hadis, antaranya seperti yang telah diriwayatkan.
Kerana itu orang yang mengaku dirinya Imam Mahdi atau yang didakwa oleh para pengikutnya sebagai Imam Mahdi perlu menunjukkan susur galur keturunannya yang jelas, dan disertakan bukti-bukti yang kukuh, yang dapat dipertahankan bahawa dia memang berketurunan Rasulullah SAW, dan saksi-saksi bebas yang dapat menerangkan secara terperinci akan keluarganya dan sejarah latar belakang keluarganya itu. Jika ini dapat dilakukan, maka jelaslah bahawa dakwaan itu adalah benar dan si pendakwa dapatlah diterima sebagai Imam Mahdi, sesuai dengan isyarat hadis Rasulullah SAW yang banyak itu

02003 2. Beliau Berketurunan Sayidatina Fatimah RA
A. Dari Said bin al-Musayyab RH, dia berkata,
“Kami berada bersama-sama dengan Ummu Salamah RA, lalu kami saling menyebut-nyebut al-Mahdi, maka dia berkata, “Saya mendengar Rasulullah SAW bersabda, “Al-Mahdi adalah dari anak keturunan Fatimah.” (Ibnu Majah)
B. Ummu Salamah RA, Ummul Mukminin, menceritakan bahawa dia mendengar Rasulullah SAW bersabda,
“Al-Mahdi adalah dari keturunanku, dari anak cucu Fatimah.” (Abu Daud & Ibnu Majah)
C. Qatadah RH berkata,
“Aku bertanya kepada Said bin Al-Musayyab RH, “Adakah al-Mahdi itu benar?” Dia menjawab, “Ya.” Aku bertanya lagi, “Dari siapa dia datang?” Jawabnya, “Dari anak-anak Fatimah RA.”
D. Dari Imran bin al-Husain RA katanya, Rasulullah SAW bersabda kepada anaknya Fatimah RA,
“Khabarkanlah berita gembira, bahawa al-Mahdi itu adalah dari (keturunan) kamu.”        (Ibnu Asakir)
E. Kata Sayidina Ali KMW,
"Al-Mahdi itu adalah seorang lelaki dari kami, dari anak-anak Fatimah RA.”
F. Sabda Nabi SAW,
“Benar, dia memang sebenarnya, dan dia adalah dari anak-anak Fatimah.”
G. Rasulullah SAW mengisytiharkan bahawa,
“Al-Mahdi itu adalah dari kaum keluargaku, daripada keturunan Fatimah.”         (Ibnu Majah)
Hadis-hadis di atas memperincikan lagi keturunan Imam Mahdi itu iaitu dari keturunan Rasulullah SAW melalui puteri bongsu kesayangan baginda SAW. Banyaknya hadis yang menyebutkan perkara demikian membantu menjelaskan lagi kedudukan Imam Mahdi sebagai salah seorang Ahlulbait yang paling utama. Jika kumpulan hadis sebelumnya menyatakan Imam Mahdi itu adalah dari keturunan Rasulullah SAW, maka kumpulan hadis yang kedua ini menyatakan pula bahawa Imam Mahdi itu adalah dari keturunan Rasulullah SAW melalui puteri kesayangan baginda SAW dan kesayangan seluruh umat Islam, iaitu Sayidatina Siti Fatimah az-Zahra’ al-Batul
02004 3. Beliau Berketurunan Sayidina Ali KMW
A. Sabda Nabi SAW,
“Akan keluar dari sulbi ini (Sayidina Ali KW) seorang pemuda yang akan memenuhkan bumi ini dengan keadilan. Maka apabila kamu meyakini yang demikian itu, hendaklah kamu turut menyertai Pemuda dari Bani Tamim itu. Sesungguhnya dia datang dari sebelah Timur dan dialah pemegang panji-panji al-Mahdi.     (At-Tabrani)
Hal ini sebenarnya lebih merupakan pelengkap dan pemutus kata mengenai asal keturunan Imam Mahdi. Memang diakui bahawa suami Siti Fatimah az-Zahra RA sepanjang hayatnya adalah Sayidina Ali KMW, tidak ada yang lain. Maka hadis ini lebih berfungsi membantu menguatkan lagi kebenaran hadis yang menyebut bahawa Imam Mahdi itu memang berasal daripada keturunan Rasulullah SAW. Keadaan ini samalah ibarat cahaya di atas cahaya, terang di atas terang, atau seperti kata pepatah Melayu, sudah terang lagi bersuluh.
02005 4. Beliau Dari Keturunan Sayidina Al-Hasan dan Al-Husain bin Ali RA
A. Rasulullah SAW bersabda kepada Fatimah RA,
“Demi Allah yang mengutus aku sebagai Nabi yang sebenarnya, sungguh daripada keturunan al-Hasan dan al-Husain akan lahir al-Mahdi untuk umat ini.”
B. Abdullah bin Amru RA berkata,
Seorang lelaki dari anak cucu al-Hasan akan datang dari arah Timur. Jika dia menghadap ke arah gunung, akan dipukulnya hingga rata sehingga mereka berjaya melaluinya.”
C. Rasulullah SAW bersabda,
“Dunia ini tidak akan berakhir sehingga seorang lelaki dari keturunan al-Husain mengambil alih pentadbiran dunia dan memenuhkannya dengan keadilan dan kesaksamaan seperti sebelumnya yang dipenuhi dengan kezaliman dan penindasan.”
D. Abu Ishak memberitahu bahawa Sayidina Ali KMW ketika memandang anaknya al-Hasan RA, berkata,
“Anak aku ini adalah seorang Sayid, seperti yang Nabi SAW menamakan dia. Daripada keturunannyalah akan muncul seorang lelaki yang namanya seperti nama Nabi kamu. Dia akan menyerupai Nabi kamu dari segi akhlak tetapi tidak dari segi rupa.” Kemudian dia menyebutkan riwayat bahawa bumi ini akan dipenuhi dengan keadilan (semasa pemerintahannya).”         (Abu Daud)
Oleh kerana keturunan Sayidina Ali KMW memang ramai, terutamanya dari sebelah isteri-isterinya yang lain, maka dikhabarkan lagi bahawa Imam Mahdi itu adalah dari anaknya yang bernama al-Hasan dan al-Husain RA, iaitu cucu-cucu kesayangan Rasulullah SAW.
Antara kedua-dua orang cucu baginda SAW ini, Sayidina al-Husain RA adalah lebih menonjol berbanding Sayidina al-Hasan RA. Maka ditetapkan lagi oleh para ulama bahawa, Imam Mahdi itu dari sebelah bapanya adalah terus kepada Sayidina al-Husain RA, manakala dari sebelah ibunya adalah datang dari sebelah Sayidina al-Hasan. Demikian pendapat yang dirumuskan oleh Imam Ibnu Hajar al-Haitami dalam kitabnya yang terkenal itu.
Adanya hadis-hadis yang sekejap menyebutkan Imam Mahdi itu berketurunan Sayidina al-Husain, sekejap menyebutkan Imam Mahdi itu berketurunan Sayidina al-Hasan, dan sekejap lagi menyebutkan Imam Mahdi itu dari keturunan kedua-dua al-Hasan dan al-Husain itu, sebenarnya bukanlah menunjukkan pertentangan. Tidaklah sepatutnya apabila ini berlaku, maka ketiga-tiga bentuk hadis ini ditolak.
Pertentangan yang berlaku ini hanyalah bersifat luaran, kerana tidak dijelaskan secara mendalam maksudnya itu. Sebenarnya memang Imam Mahdi itu datang dari keturunan Sayidina al-Hasan dan Sayidina al-Husain, dari bapa mereka Sayidina Ali KMW dan dari ibu mereka Sayidatina Siti Fatimah RA
02006 5. Beliau Berketurunan Sayidina Al-Abbas RA
A. Rasulullah SAW bersabda,
“Al-Mahdi adalah dari keturunan (Sayidina) Abbas, bapa saudaraku.”           (Ad-Daruqutni)
B. Dari Ibnu Abbas RA, Rasulullah SAW bersabda,
“Ingatlah wahai paman. Adalah aku ini membawakan khabar gembira kepadamu, sesungguhnya keturunan paman adalah orang yang suci-suci. Daripada paman (nanti) akan lahir al-Mahdi pada akhir zaman. Dengannya Allah akan menyebarkan hidayah, memusnahkan kesesatan. Sesungguhnya Allah taala memulakan (pemerintahan dan Islam) ini dengan aku dan akan mengakhirinya dengan keturunan paman.”       (Ar-Rafie)
C. Dari Abu Hurairah RA, katanya, Rasulullah SAW bersabda,
“Ingatlah wahai Abul Fadhal (Ibnu Abbas RA), saya membawa berita gembira kepadamu, sesungguhnya Allah memulakan agama ini denganku dan dengan keturunanmu nanti Allah akan mengakhirkannya.” (Abu Nuaim)
D.. Dari Ibnu Abbas RA, katanya Rasulullah SAW berdoa,
“Ya Allah, tolonglah al-Abbas dan keturunannya (tiga kali). Wahai pakcikku, ketahuilah, bahawa al-Mahdi al-Muntazar, yang menyayangi dan disayangi itu adalah dari anak keturunanmu.”             (Haisam & Ibnu Asakir)
E. Dari Sayidina Ali RA, katanya, Rasulullah SAW bersabda,
“Wahai pakcikku, ketahuilah, sesungguhnya Allah memulakan agama ini denganku dan Dia menutupnya dengan keturunanmu.” (Al-Khatib & Ibnu Asakir)
Hadis-hadis ini menjelaskan pula bahawa Imam Mahdi itu adalah dari keturunan Al-Abbas RA, bapa saudara Nabi Muhammad SAW dan maksud yang disampaikan di dalam hadis-hadis berkenaan adalah terang sekali, tidak perlu dihuraikan lagi.
Semua hadis di atas, jika dilihat sekali imbas semua sekali, secara zahirnya memanglah sangat bertentangan. Semuanya jika dibaca sekali imbas, mampu membuatkan kita kalut seketika. Ramai ulama tidak berani memasukkan kesemua hadis di atas secara sekali gus kerana takut akan mengelirukan umat Islam. Dalam banyak-banyak buku dan kitab, hanya disebutkan beberapa buah hadis sahaja, seperti Imam Mahdi itu dari keturunan Sayidina al-Hasan sahaja, atau al-Husain sahaja, atau keturunan Rasulullah SAW, tanpa menyebutkan keturunannya dari al-Hasan atau al-Husain.
Mana tidaknya, sebahagian hadis menyebutkan dengan jelas sekali bahawa Imam Mahdi itu adalah dari keturunan Nabi Muhammad SAW sendiri, beberapa buah hadis lain menyatakannya dari keturunan Sayidina al-Hasan, beberapa buah hadis yang lain menyebutkannya datang dari keturunan Sayidina al-Husain pula, dan beberapa buah hadis lagi menyebutkan bahawa Imam Mahdi itu datang dari keturunan Sayidina Al-Abbas, bapa saudara Nabi Muhammad SAW yang baginda muliakannya.
Ini menyebabkan ramai ulama terkemudian berkerut kening membacanya dan berkerut dahi memikirkannya. Akhirnya dicari-cari jalan supaya sebahagian hadis itu diisytiharkan maudhuk sahaja, untuk memudahkan cerita. Sebahagian yang lain pula berkata, tak usah masukkan hadis-hadis ini sebab jelas berlawanan. Mana satu yang betul pun, wallahu a’alam, katanya. Alasannya, mengikut kaedah ilmu jarah wat takdil, kalau matan hadis-hadis itu sakit, maka sanadnya juga sebenarnya sakit.
Memang jika dilihat secara zahirnya, demikianlah yang berlaku dan yang mudah difahami oleh semua orang. Tapi tidaklah demikian sebenarnya. Mustahil Rasulullah SAW bersabda menyebutkan dua perkara yang amat bertentangan itu dan tidak menyedari maksud kedua-dua ucapannya. Para sahabat RA dan tabiin hanya meriwayatkan apa yang mereka dengar, jadi tidaklah salah apa-apa pada mereka. Dari situ, satu titik pertemuan perlulah dicari agar yang dilihat bertentangan, akan jadi tidak bertentangan.
Hadis-hadis ini jika dicantumkan sekali, akan membawa satu makna yang besar dan tidak sekali-kali bertentangan. Maksud sebenar hadis-hadis ini ialah bahawa Imam Mahdi itu memang dari keturunan orang-orang mulia, keturunan Nabi SAW, dari anak cucu Fatimah RA. Datuk neneknya yang dari pencar Sayidina al-Hasan akan berkahwin dengan pencar dari Sayidina al-Husain, yang seterusnya akan berkahwin pula dengan pencar dari Sayidina Abbas RA. Demikian penjelasan daripada Imam Ibnu Hajar al-Haitami.
Maksud tersiratnya ialah Imam Mahdi itu adalah pengumpul segala kemuliaan keturunan Quraisy, yang mengumpulkan semula keturunan dari Abdul Muttalib yang ramai anak itu pada dirinya. Sesuai dengan itu pula, maka Imam Mahdi itulah orang yang bakal menerima segala keistimewaan, segala kemuliaan, segala kebaikan, segala darjat, segala kedudukan, segala ilmu dan segala kekuasaan yang pernah diperoleh oleh sekalian anak cucu Abdul Muttalib. Selepas itu, tiada lagi orang yang akan menerima apa-apa keistimewaan yang seumpamanya lagi.
Keadaan ini samalah dengan peribadi baginda Rasulullah SAW yang mengumpulkan segala kemuliaan kaum Quraisy pada dirinya sehingga jadilah Baginda SAW itu sebagai semulia-mulia peribadi di kalangan bangsa Arab dan di kalangan bangsa Quraisy, juga semulia-mulia keturunan dari Bani Hasyim dan semulia-mulia keturunan dari Bani Abdul Muttalib.
Baginda SAW juga adalah pengumpul segala kemuliaan para nabi dan rasul sejak dulu-dulu lagi pada dirinya, mulai dari Nabi Adam AS hinggalah kepada Nabi Ibrahim AS, sehingga jadilah Baginda SAW itu semulia-mulia rasul di kalangan sekalian nabi dan rasul yang telah pernah diturunkan oleh Allah ke atas dunia ini.
Daripada sekian banyak hadis, pendapat yang menyatakan bapanya dari keturunan Sayidina al-Hasan adalah lebih lemah, dan pendapat yang lebih kuat adalah pendapat yang menyatakannya dari keturunan Sayidina al-Husain. Ini sesuai dengan maksud sebuah hadis yang menyatakan demikian. Maknanya, keturunan bapanya adalah dari anak cucu Sayidina al-Husain, terus sehingga sampai kepada dirinya, manakala hadis yang menyatakannya dari keturunan Sayidina al-Hasan, bermaksud dari sebelah ibunya. Begitu juga keturunannya yang bercampur tadi (antara anak cucu Sayidina al-Hasan dan al-Husain RA) akan berkahwin pula dengan seorang perempuan yang asal-usul keturunannya adalah dari anak cucu Sayidina Al-Abbas RA. Demikianlah pendapat yang lebih dapat diterima, wallahu a’alam.
Hasil daripada cantuman ketiga-tiga keturunan Ahlulbait itu, akan bercampur lagi dengan penduduk Ajam, yang bukan Arab, sehingga dari keturunan itu, lahirlah seorang pemuda yang asal-usulnya adalah Arab tetapi rupa bentuk, bahasa, adat resam, pemikiran dan gaya bawaannya sudah lebih mirip dan cenderung kepada cara penduduk Ajam yang menjadi tempat tinggalnya itu. Dan untuk akhir zaman ini, Ajam yang dimaksudkan itu, rasa-rasanya tidak lain dan tidak bukan adalah bangsa Melayu ini. Dan di Timur itulah Imam Mahdi dilahirkan, sesuatu yang tidak pernah terfikirkan dan terduga oleh mana-mana pihak pun sebelum ini, malah yang ada pada masa ini juga amat sukar menerima hakikat kenyataan ini. Memang kelihatan mustahil bangsa Melayu akan bangun memerintah seluruh dunia kerana semua orang di dunia ini sudah sedia maklum akan sifat-sifat buruk bangsa Melayu ini. Namun, satu perkara yang pasti adalah kenyataan bahawa di kalangan semua bangsa yang memeluk Islam, bangsa Melayu sahaja lagi yang belum pernah memerintah dunia, sejak kewujudan bangsa itu ke dunia ini. Ini adalah suatu kenyataan dan setiap bangsa lain pada hari ini harus menerima kenyataan ini dengan, sama ada terpaksa atau sukarela, gembira atau risau.
Begitulah hebatnya peribadi Imam Mahdi ini. Siapa yang tidak gecur liur dengan segala kelebihan yang ada padanya itu. Sudah pasti semua orang amat teringin memiliki segala kelebihan yang disebutkan itu. Akibatnya, ramailah yang dengan muka tak malu, mengaku dirinya sebagai Imam Mahdi. Namun, sifat-sifat Imam Mahdi yang perlu ada pada dirinya, satu pun tidak terpenuh olehnya.
Di sini, penulis ingin menafikan pendapat beberapa orang penulis lain yang menyandarkan pendapat mereka kepada teori beberapa orang sarjana dan cendekiawan reformis terdahulu yang mengandaikan bahawa hadis-hadis mengenai keturunan Imam Mahdi daripada Bani Abbas sebagai hadis-hadis maudhuk dan bertujuan menaikkan nama Daulah Bani Abbasiyah di Baghdad dahulu. Andaian ini amatlah jauh dari kebenaran dan dibuat berdasarkan syak wasangka dan zanni semata-mata, dan dengan penuh kejahilan. Mungkin ada niat jahat yang terselindung di sebalik penyataan sedemikian. Jika mereka ini diminta memberikan bukti yang benar-benar kukuh terhadap andaian dan teori mereka itu, pasti mereka akan gagal membawakannya kepada kita. Yang pasti, memang tidak ada satu hujah pun yang dapat dibawakan untuk menyokong dakwaan mereka itu.
Dakwaan mereka ini sebenarnya didasarkan kepada fakta sejarah yang berlaku pada zaman Bani Abbasiyah dahulu, yang cuba mencari pengaruh rakyat jelata dengan pelbagai cara, termasuk mendakwa keturunan mereka adalah dari kerabat Rasulullah SAW dan dari mereka bakal lahirnya Imam Mahdi kelak. Andaian sebegini jelas adalah dakwaan orang-orang bodoh dan emosional yang tidak perlu diperhatikan.
Mereka yang mendakwa demikian seolah-olah merasakan diri mereka lebih pintar dan bijak daripada Imam  Ibnu Hajar al-Haitami, atau Imam al-Qurtubi atau Imam Jalaluddin as-Suyuti RH. Sepanjang pengetahuan kita, ketiga-tiga Imam umat Islam ini adalah orang-orang yang sangat alim dalam ilmu hadis, alim dalam pelbagai bidang ilmu lain, malah keilmuan mereka diiktiraf sepanjang zaman sebagai yang terbaik antara yang terbaik. Mereka yang menolak hadis-hadis di atas, apakah taraf ilmu mereka? Adakah sama taraf dengan ketiga-tiga Imam itu atau lebih tinggi lagi daripada ketiga-tiganya?
Oleh itu, pendapat mereka dengan mudah pula ditolak oleh sekalian umat Islam, kerana mereka sendiri tidak cukup syarat untuk menolak sesebuah hadis itu, sedangkan hadis-hadis itu diterima oleh pakar hadis dan ulama kenamaan sebagai hadis yang dapat dipegang kebenarannya, dan dimasukkan riwayatnya di dalam buku atau kitab mereka itu. Maka apa alasan lagi yang dapat dikemukakan untuk menangkis hujah para Imam berkenaan? Jika tidak ada hujah, maka benarlah pendapat para Imam berkenaan, dan kita kenalah ikut ijtihad mereka. Sama ada kita suka atau tidak, setuju atau tidak setuju, itu cerita nombor dua atau, belakang kira. Sekurang-kurangnya untuk sementara ini, kita kenalah berpegang kepada pendapat jumhur ulama yang muktabar, jika kita benar-benar mahu selamat. Hanya setelah ada pendapat lain yang lebih berwibawa, dengan hujah yang lebih kukuh pula daripada pendapat para imam yang kenamaan itu, barulah kita dibolehkan ikut pendapat baru itu. Jika tidak, ikutlah sahaja pendapat yang sedia ada pada hari ini.
02007 6. Imam Mahdi Adalah Seorang Lelaki
A. Dari Sayidina Ali bin Abi Talib KMW katanya, Rasulullah SAW bersabda,
“Kalaulah hanya tinggal sehari sahaja lagi umur dunia ini, pasti Allah akan panjangkannya sehingga dibangkitkan-Nya seorang lelaki dari ahli keluargaku yang akan memenuhkan dunia ini dengan keadilan seperti sebelumnya yang dipenuhi oleh kezaliman.”     (Abu Daud)
Sebenarnya memang terdapat banyak hadis yang menyebutkan bahawa Imam Mahdi itu adalah seorang lelaki, bukannya perempuan. Yang diberikan di atas hanyalah sebagai contoh sahaja dari sekian banyak hadis dan asar para sahabat RA. Maknanya, jika ada mana-mana wanita yang mendakwa bahawa dirinya adalah Imam Mahdi, maka dakwaan itu dengan mudah sahaja ditolak dan tertolak. Mustahillah Nabi SAW menyebutkan bahawa Imam Mahdi itu berjambang, berjanggut tebal dan sebagainya, jika dia itu wanita. Amat jarang didapati ada wanita yang berjanggut, bermisai dan berjambang. Mustahil pula wanita memakai serban, kerana serban itu pakaian khusus lelaki.

Maknanya, jika ada mana-mana wanita yang mengaku dirinya Imam Mahdi, secara tidak langsung juga dia menafikan hadis-hadis mengenai Imam Mahdi, kerana hadis-hadis itu menceritakan sifat-sifat seorang lelaki tulen, bukannya sifat sebagai seorang wanita. Lagipun, secara umumnya, seorang wanita tidak akan termampu menerima tugas yang sedemikian berat dan besar itu, yang secara lazim juga, sebenarnya tidak termampu untuk ditanggung oleh kebanyakan lelaki biasa. Hanya Imam Mahdi sahajalah yang diberi keupayaan oleh Allah SWT untuk sanggup menanggung beban yang sedemikian berat itu ke atas bahunya seorang. Bukan sebarang lelaki yang dapat menanggung beban tugas yang diamanahkan kepadanya itu.

Memang ada wanita yang diangkat martabatnya ke taraf seorang wali, tetapi tidak ada mana-mana wali wanita pun yang diberi amanah untuk menguruskan kaum lelaki seperti yang berlaku dalam sistem politik Barat hari ini. Allah tidak menjadikan wanita untuk menguruskan hal-hal umum masyarakat dan bebas keluar ke sana ke mari tanpa sekatan atau halangan. Wanita solehah hanya dibenarkan keluar untuk urusan yang benar-benar mustahak dan yang membawa manfaat sahaja. Tidak semua keadaan kaum wanita boleh menguruskan hal-hal yang sepatutnya diuruskan oleh kaum lelaki, atau sewenang-wenangnya masuk campur dalam urusan yang dikhususkan untuk orang lelaki.

Maksud lelaki di sini adalah lelaki yang sebenar, yang berkahwin dengan wanita dan menjadi seorang bapa kepada anak-anak kandungnya sendiri. Yang dikatakan lelaki juga adalah bermaksud Imam Mahdi itu adalah orang Allah, yang bertaraf muqarrabin atau disebut sebagai Rijalullah. Itulah maksud lelaki dari segi batinnya. Rijalullah itulah lelaki sejati. Maksud lelaki juga adalah golongan atau orang yang menguasai orang lain kerana maksud lain bagi kalimat Rijal ialah yang menguasai, iaitu menguasai orang lain. Maka Imam Mahdi itu adalah orang yang dimampukan oleh Allah SWT untuk menguasai orang lain, baik dari segi ilmunya, kefahamannya, penghayatannya, keagamaannya, cara hidupnya, pandangan hidupnya, harta benda dan sebagainya lagi.

Perkataan lelaki juga dimaksudkan sebagai pembela, iaitu pembela agama Allah di atas muka bumi ini dan pembela kepada seluruh kaum muslimin terhadap orang-orang kafir, selain menjadi pembela kepada seluruh kaum Ahulbait yang sebelumnya terpisah-pisah dan bertaburan di merata-rata tempat. Apabila Imam Mahdi muncul kelak, beliau akan menjadi pembela agama Allah ini, menjadi pembela kepada seluruh kaum mukminin dan muslimin yang sedang ditindas, dan pembela kepada seluruh Ahlulbait yang hidup ketika itu.

Maksud rijal inilah juga yang menyempurnakan beliau sebagai Imam Mahdi bagi umat ini, pada zaman ini.

02008 D. Sifat-sifat Peribadi
Sifat-sifat peribadi beliau ada dinyatakan sama ada oleh hadis-hadis, mahupun oleh para tabiin dan juga para ulama yang kemudian daripadanya. Keterangan yang berterabur di sana-sini itu bolehlah disusun semula sehingga menjadi satu keterangan yang jelas. Perlu juga dinyatakan di sini bahawa beliau lebih banyak sifat bangsa Timurnya (Ajam) daripada bangsa Arabnya.

Ini disebabkan tempat lahirnya adalah di negeri sebelah Timur, keturunannya memang telah bercampur dengan bangsa Timur, adat istiadatnya sedikit sebanyak bercampur dengan adat istiadat bangsa Timur dan bahasa yang digunakannya juga adalah bahasa bangsa Timur itu. Pendek kata, Timurlah yang lebih menonjol pada diri beliau, sama ada sebelum munculnya atau pada ketika munculnya kelak.

Timur yang dimaksudkan di sini adalah Malaysia dan Indonesia. Tidak ada kawasan lain di dunia ini yang lebih layak dipanggil Timur selain daripada Asia Tenggara inilah. Sebabnya, jika Khurasan kita katakan Timur, Nabi SAW sudah pun menyatakan dengan jelas dalam beberapa buah hadis nama Khurasan, dan tidak ada pula sebarang hadis yang menyatakan Khurasan itu sebagai Timur. India, Afghanistan dan Pakistan juga tidak boleh dikatakan Timur kerana kerana dalam hadis-hadis yang berkenaan juga disebutkan bahawa raja India akan diperangi dan dikalahkan oleh Pemuda Bani Tamim semasa DALAM PERJALANAN mereka mencari Imam Mahdi. Jadi, mustahillah benua kecil India dapat dikatakan Timur, sebab India akan diperangi dalam perjalanan beliau menuju ke Makkah.
Iran dan Iraq juga lebih-lebih lagi tidak layak dipanggil Timur kerana negara berkenaan disebut dengan jelas dalam beberapa buah hadis, dengan nama Kufah dan Ma Wara an-Nahar, juga kadang-kadang disebut Parsi. Jadi, mana dia negara lain yang benar-benar boleh dikatakan Timur? Takkanlah Thailand, Hong Kong dan China itu boleh dikatakan Timur, kerana di negara-negara berkenaan, umat Islam adalah amat minoriti dan tidak akan mampu bangun menjadi kuasa pemerintahan untuk Imam Mahdi.

Jika demikian, jelaslah bahawa tidak ada kawasan lain lagi yang lebih patut dikatakan Timur, selain kawasan kita inilah sahaja dan merupakan satu-satunya kawasan yang paling layak digelar Timur. Dalam sebuah hadis sahih (riwayat Imam Muslim) disebutkan bahawa Timur adalah kawasan yang paling hujung bumi ini yang manusianya menerima Islam sebagai agama mereka.

Amat jelaslah bahawa yang dimaksudkan dengan hujung bumi ini adalah Asia Tenggara kerana di sinilah kawasan terakhir yang manusianya beramai-ramai menerima Islam sebagai agama mereka. Kawasan selepas Asia Tenggara ini, tidak ada yang menerima Islam secara beramai-ramai sehingga bangsa yang beragama Islam itu mampu memerintah negara. Jika ada yang Islam pun, hanyalah golongan yang amat minoriti. Lihatlah contohnya di Korea, Jepun dan negara-negara Kepulauan Pasifik.

Maknanya, Imam Mahdi itu boleh pula dikatakan Ahlulbait yang berbangsa Melayu, memakai adat istiadat Melayu dan bercakap dalam bahasa Melayu. Jika demikian, alangkah bertuahnya bangsa Melayu pada akhir zaman ini! Sama seperti bertuahnya bangsa Arab zaman dahulu kerana memiliki Nabi SAW, yang lahir dari bangsa mereka, bercakap dalam bahasa mereka dan memakai adat istiadat mereka.

Bagaimanapun, sebagai perincian sifat peribadinya, berikut ini dinukilkan beberapa sifat khusus beliau, keadaannya, kemunculannya dan pemerintahannya seperti yang kita dapati daripada sumber-sumber hadis, asar dan juga ucapan tabiin.
02009 1. Namanya Muhammad
A. Dari Abdillah RA berkata, Rasulullah SAW bersabda,
“Dunia ini tidak akan binasa sehingga seorang dari Ahlulbaitku menguasai seluruh bangsa Arab yang namanya sama dengan namaku.”        (At-Tarmizi & Abu Daud)
B. Dari Abdillah RA dari Rasulullah SAW, bersabda,
"Seorang dari keluargaku akan berkuasa yang namanya sama dengan namaku.”
C. Dari Abu Hurairah RA, dia berkata, Rasulullah SAW bersabda,
“Seandainya umur dunia ini tidak tersisa melainkan sehari, pasti Allah akan panjangkan hari itu sehingga dia berkuasa.”   (At-Tarmizi)
D. Sabda Nabi SAW,
"Dunia tidak akan lenyap sehinggalah bangsa Arab diperintah oleh seorang lelaki dari kaum keluargaku, yang namanya menyamai namaku.”           (Abu Daud)
E. Daripada Zar, dari Abdullah RA, dari Nabi SAW yang bersabda,
"Tidak hilang atau tidak habis umur dunia ini sehinggalah diperintah seluruh bangsa Arab oleh seorang lelaki dari ahli keluargaku yang sama namanya dengan namaku.” (Abu Daud)
Hadis-hadis yang diberikan itu, walaupun semuanya tidak sama matannya, tidak syak lagi menyatakan dengan jelas bahawa:
  1. Imam Mahdi sudah pasti, tidak ragu-ragu lagi, akan zahir ke dunia ini, tidak lama sebelum kiamat kubra berlaku.
  2. Imam Mahdi memang benar-benar berketurunan Ahlulbait, dari keturunan Rasulullah SAW, suatu hal yang sudah pun diperakui oleh baginda SAW sendiri. Disebutkan berulang-ulang dalam banyak hadis, antaranya adalah seperti yang diberikan tadi.
  3. .Imam Mahdi akan memerintah seluruh bangsa Arab, suatu hal yang sama yang pernah dilakukan oleh para Khulafa ur-Rasyidin dahulu. Selepas itu, bangsa Arab sentiasa berpecah, mengikut kepala masing-masing, hampir mustahil untuk disatukan kembali, sehinggalah datang Imam Mahdi yang akan menyatukan semula kepala mereka sehingga menjadi satu, sama seperti yang pernah dilakukan oleh para Khulafa dahulu.
  4. Hanya empat orang pemerintah yang benar-benar mampu menguasai dan menyatukan seluruh bangsa Arab di bawah pemerintahan mereka iaitu Sayidina Umar al-Khattab RA (Khulafa ur-Rasyidin), Khalifah Umar bin Abdul Aziz, Imam Mahdi dan Nabi Isa AS.
  5. Pemerintah yang turut mampu menyatukan bangsa Arab, selain yang berempat di atas adalah Sayidina Abu Bakar As-Siddiq, Sayidina Osman, Sayidina Ali, Sultan Muhammad al-Fateh dan Syuaib bin Saleh at-Tamimi, yang merupakan pembuka jalan bagi naiknya pemerintahan oleh Imam Mahdi. Selain mereka ini, tiada pemimpin lain yang boleh menyatukan bangsa Arab dalam erti kata yang sebenar-benarnya.
  6. Nama sebenarnya, yang disebut-sebut di khalayak orang ramai adalah Muhammad atau Ahmad, atau nama yang serupa dengan nama Nabi SAW, bukan dengan nama lain seperti Hasan, Rahim atau sebagainya.
  7. Kedatangannya ke dunia ini merupakan suatu janji Allah dan juga janji baginda SAW, suatu hal yang tidak salah jika kita menuntutnya, kerana memang hal itu sudah dijanjikan dan janji itu diulang-ulang banyak kali pula. Maka lebih layaklah kita menuntutnya untuk zaman kita ini. Siapa yang tidak mahukan segala kelebihan yang telah Allah janjikan kepada kita melalui lidah Rasul-Nya SAW itu?
  8. Jika syarat yang pertama ini pun sudah tidak terpenuhi, iaitu namanya bukan Muhammad, maka orang yang mendakwa dirinya Imam Mahdi itu, patut sangatlah kita tolak sebab sudah tidak memenuhi syarat yang telah ditetapkan oleh hadis. Sudah nyata sangat dustanya itu.
02010 2. Nama Bapanya Abdullah
A. Sayidina Ali KMW, ketika memandang anaknya al-Hasan RH, berkata,
"Anakku ini adalah seorang Sayid, seperti yang Nabi SAW menamakan dia. Daripada keturunannyalah akan muncul seorang lelaki yang namanya seperti nama nabi kamu. Dia akan menyerupai Nabi kamu dari segi akhlak tetapi tidak dari segi rupa.” Kemudian dia menyebutkan riwayat bahawa bumi ini akan dipenuhi dengan keadilan (semasa pemerintahannya).”          (Abu Daud)
B. Dari Abdullah RA katanya, sabda Nabi SAW,
“Kalaulah umur dunia ini hanya tinggal sehari sahaja lagi, pasti Allah akan panjangkan hari itu sehingga diutuskan-Nya seorang lelaki dari ahli keluargaku, yang namanya seperti namaku dan nama bapanya seperti nama bapaku. Dia akan memenuhkan dunia ini dengan keadilan dan kesaksamaan seperti sebelumnya dipenuhi oleh penindasan dan kezaliman.” (Abu Daud & At-Tarmizi)
C. Daripada Abdullah RA daripada Nabi SAW sabdanya,
“Kalaulah tidak tinggal bagi dunia ini melainkan sehari sahaja lagi, nescaya akan dipanjangkan oleh Allah hari itu sehingga dibangkitkan padanya seorang lelaki dari umatku atau dari ahli keluargaku yang sama namanya seperti namaku dan nama ayahnya seperti nama ayahku.”         (At-Tarmizi)
Daripada hadis Nabi SAW dan asar daripada Sayidina Ali KMW ini, serta beberapa hadis lain yang tidak dimasukkan di sini, dapatlah disebutkan beberapa perkara, antaranya:
  1. Imam Mahdi adalah dari keturunan Sayidina al-Hasan. Maksudnya keturunan dari Sayidina al-Hasan yang perempuan, akan membawa kepada turunnya Imam Mahdi. Hal ini sebenarnya hanyalah bersifat penjelasan, tidak perlulah kita mengoreknya habis-habisan untuk mendapatkan kesahihan. Cukuplah sekadar mempercayai dan meyakini apa-apa pekhabaran yang telah disampaikan oleh baginda SAW itu.
  2. Sayidina al-Hasan adalah seorang yang lemah lembut dan mencintai keamanan. Maka daripada keturunannya kelak akan lahir seorang pemimpin yang membawa keamanan sejati ke seluruh dunia ini iaitu Pemuda Bani Tamim.
  3. Diulang sekali lagi, namanya yang sebenar ialah Muhammad, sama seperti nama Nabi kita SAW, tidak menggunakan nama-nama yang lain.
  4. Nama bapanya adalah Abdullah, sama nama seperti nama bapa Nabi SAW. Hal ini berlawanan dengan Imam Mahdi bagi puak Syiah kerana bagi mereka, nama bapa Imam Mahdi mereka bukan Abdullah. Bagi puak Syiah Imamiah, nama bapa Imam Mahdi mereka adalah al-Hasan al-Askari dan bagi Syiah Kaisaniah pula, bapa Imam Mahdi mereka adalah Sayidina Ali KMW!
  5. Akhlak Imam Mahdi adalah sama dengan akhlak baginda Rasulullah SAW dan hal ini disebutkan dengan jelas oleh Sayidina Ali KMW. Ini juga menunjukkan ketinggian imannya pada sisi Allah SWT, kerana akhlak adalah lambang ketinggian iman. Pemimpin sejati (Imam Mahdi) semestinyalah akhlaknya salin tak tumpah dengan akhlak pemimpin sejati juga (Rasulullah SAW).
  6. Rupa zahirnya tidak sama dengan rupa zahir Baginda SAW kerana menurut yang disebutkan dalam riwayat-riwayat masyhur, Nabi SAW itu orangnya putih dan tampan sekali, manakala Imam Mahdi kulitnya kemerah-merahan dan kelihatan seperti orang Ajam.
  7. Pemerintahannya sudah dijanjikan, dan dijanjikan juga sebagai suatu pemerintahan yang adil dan saksama. Yang berani menghalang kemunculannya sebagai pemimpin akan mendapat sebesar-besar azab dan seksaan.
  8. Dunia sebelumnya dipenuhi dengan kezaliman dan penindasan. Yang kuat menindas yang lemah, yang berkuasa menzalimi rakyat jelatanya, yang kaya menindas yang miskin dan seterusnya. Yang miskin, yang tidak berkuasa dan orang bawahan turut berbuat zalim dengan melakukan jenayah-jenayah sivil, menipu orang lain, mencari harta haram, menentang pemerintah dan tidak redha dengan keadaan miskinnya itu.
02011 3. Kuniyahnya Abu Abdillah
A. Sabda Nabi SAW,
“Nama yang diberikan kepada al-Mahdi adalah (seperti) namaku, perawakannya (adalah sama) seperti perawakanku, akhlaknya (sama) seperti akhlakku dan kuniyahnya ialah Abu Abdillah.”
Berdasarkan hadis di atas, Imam Mahdi itu diperincikan lagi oleh Rasulullah SAW dengan lebih lanjut sifat-sifat zahirnya seperti berikut:
  1. Nama Imam Mahdi adalah Muhammad. Ini adalah penjelasan yang selalu diulang oleh, sama ada Baginda SAW sendiri mahupun oleh kalangan Sahabat RA. Maka tidak syak lagi, memang nama sebenar Imam Mahdi itu adalah Muhammad. Di langit, nama Imam Mahdi itu adalah Ahmad, juga sama nama dengan nama Nabi SAW di langit, iaitu Ahmad.
  2. Perawakan Imam Mahdi juga adalah sama seperti perawakan Nabi Muhammad SAW. Maka adalah mustahil seseorang yang mengaku dirinya sebagai Imam Mahdi sedangkan perawakannya tidak ada persamaan langsung dengan perawakan baginda SAW.
  3. Dijelaskan sekali lagi bahawa akhlak Imam Mahdi itu adalah jelmaan kepada akhlak baginda SAW. Maka sangat beruntunglah orang yang dapat melihat akhlak Baginda SAW semasa hayatnya dan amat beruntung juga orang yang dapat melihat akhlak Imam Mahdi semasa hayatnya. Sebabnya, akhlak mereka berdua itu adalah sama, dan dapat ditiru dan dicontohi hasil penglihatan mereka sendiri, bukan sekadar dengar-dengar riwayat sahaja.
  4. Kuniyah Imam Mahdi itu ada banyak, salah satunya seperti yang disebut oleh hadis ialah Abu Abdillah, sempena nama salah seorang anak lelakinya, Abdullah. Gelaran seperti ini lazim di kalangan bangsa Arab, sama ada pada masa dahulu mahupun sekarang. Gelaran Abu Abdillah ini juga adalah salah satu kuniyah bagi Nabi Muhammad SAW. Para ulama terdahulu juga sangat ramai yang menggunakan kuniyah seperti ini, sebagai mengambil berkat daripada kuniyah baginda SAW dan kuniyah Imam Mahdi yang bakal muncul. Ulama dan sarjana Islam di Nusantara pada hari ini tidak lagi menggunakan kuniyah seperti ini dengan beralasankan kononnya itu adalah adat istiadat bangsa Arab sahaja, bukan dari syariat Islam sejati, maka tidak perlu dicontohi.
  5. Secara tidak langsung hadis ini menyatakan bahawa orang yang menjadi Imam Mahdi itu mestilah seorang yang TELAH berkahwin dan telah mempunyai anak, bukannya seorang bujang atau masih remaja. Orang yang telah berkahwin tetapi tidak mempunyai anak atau masih belum mendapat anak, tidak boleh mendakwa dirinya sebagai Imam Mahdi kerana sudah tidak bertepatan dengan kehendak hadis di atas.
  6. Salah seorang anaknya mestilah bernama Abdullah, sama seperti nama anak Nabi SAW, yang dengan itu, terkenal pulalah panggilannya dengan Abu Abdillah (Bapa kepada si Abdullah). Hal ini susah ditemui di kalangan bangsa Melayu tulen kerana jarang-jarang ada orang Melayu yang menamakan anaknya sama dengan nama datuknya, seperti Abdullah bin Muhammad bin Abdullah.
  7. Jika Muhammad al-Mahdi itu mempunyai nama-nama panggilan yang lain, tidaklah menjadi masalah kerana Abu Abdillah itu hanyalah salah satu daripada kuniyahnya yang banyak itu. Rasulullah SAW sendiri tidak pula menyatakan bahawa Imam Mahdi itu tidak boleh mempunyai kuniyat yang lain selain dari yang dinyatakan oleh baginda SAW itu.
  8. Imam Mahdi mempunyai sifat sebagai seorang ayah yang sejati. Kerana itu apabila zahir kelak, beliau akan memanggil sekalian umat Islam sebagai anakku, manakala kita sebagai rakyatnya, akan memanggil Imam Mahdi sebagai ayahku atau wahai ayah. Hanya pemimpin yang sejati sahaja yang akan sanggup berbuat demikian terhadap sekalian pengikut dan rakyatnya, tanpa mengira taraf dan keadaan. Pemimpin hari ini yang datang dari pendidikan sekular atau Barat, tidak mahu memanggil pengikut-pengikutnya sebagai anakku dan tidak mahu pula para pengikutnya memanggilnya sebagai ayahku. Amalan seperti ini adalah amalan ulama muttaqin zaman dahulu seperti Imam al-Ghazali RH dan sebagainya.
  9. Abu Abdillah adalah istilah yang digunakan oleh Rasulullah SAW untuk menunjukkan bahawa Imam Mahdi itu adalah ketua bagi sekalian hamba Allah yang saleh-saleh dan wali-wali. Itulah maksud tersiratnya yang tidak diketahui lagi oleh kebanyakan ulama hari ini. Ini menunjukkan Rasulullah SAW sendiri menceritakan secara amat tersirat bahawa Imam Mahdi itu adalah seorang wali yang terbesar dan teristimewa pada zamannya.
02012 4. Imam Mahdi Adalah Seorang yang Sangat Khusyuk
A. Kata tabiin RH,
“Al-Mahdi adalah seorang yang sangat khusyuk kerana Allah, seperti tenangnya sayap burung nasar (helang).”
Berdasarkan asar di atas, dapatlah pula kita simpulkan beberapa hal, yang antaranya adalah:
  1. Imam Mahdi adalah benar-benar seorang pemimpin yang didatangkan oleh Allah untuk umat ini, pada akhir zaman. Burung helang yang para tabiin gambarkan adalah lambang kepimpinan, sebab burung helang itu adalah raja segala burung. Apabila burung helang berada pada sesuatu tempat, burung-burung lain akan cuba menjauhkan diri daripadanya kerana faham akan penguasaan burung helang di kawasan berkenaan.
  2. Burung helang adalah lambang penguasaan langit dan bumi, sebab burung helang bebas meneroka angkasa tanpa sekatan, bebas ke mana sahaja. Burung helang juga menguasai bumi kerana helang menyambar mangsa dari langit ke bumi dalam masa yang cukup singkat dan amat pantas pula. Mangsa burung helang ada di atas langit, ada di atas pokok dan ada pula di atas permukaan bumi. Di dalam air pun ada juga mangsa burung helang.
  3. Burung helang adalah lambang kepimpinan yang dinamik dan maju kerana helang memang ditakuti oleh burung-burung lain. Apabila sang helang sedang menguasai langit, tiada burung lain yang berani angkat kepala kerana takut disambar atau dihalau oleh burung helang tadi.
  4. Imam Mahdi memang seorang ahli agama yang mementingkan aspek akidah, syariat dan kerohanian sehingga mampu menenangkan setiap hati manusia, seperti tenangnya sayap helang yang menentang arus angin yang bertiup, yang keadaan sayapnya sentiasa terbentang mengepak.
  5. Imam Mahdi adalah seorang Imam yang benar-benar khusyuk dalam ibadahnya, seperti khusyuknya Baginda SAW dan para sahabat RA semasa mereka sedang bersembahyang.
  6. Imam Mahdi mampu membawa umatnya kembali kepada khusyuk dalam ibadat mereka, suatu perkara yang telah hilang sejak sekian lama dahulu dan belum lagi ditemui hingga kini. Para ulama hari ini juga sudah bungkam mulutnya apabila ditanya apa itu khusyuk dan bagaimana cara sbeenar hendak mendapatkan khusyuk. Imam Mahdi tidak perlu menjawab itu semua kerana jawapannya ada pada amalan dan jiwa beliau yang amat khusyuk itu sehingga akhirnya semua umat Islam turut mendapat khusyuk dalam ibadat mereka.
  7. Imam Mahdi adalah seorang yang amat ikhlas dalam setiap ibadat dan pekerjaan yang dilakukannya. Kerana itulah Imam Mahdi sentiasa dibantu oleh Allah dan diberikan keberkatan pada kedua-dua tangannya untuk dirasai oleh sekalian manusia. Keberkatan Imam Mahdi itu digambarkan pada kedua-dua kepak burung helang yang disebutkan.
  8. Imam Mahdi adalah seorang yang pemurah. Sayap yang terbuka adalah lambang kemewahan hidup di bawah kelolaan seorang pemimpin yang amat adil dan bertimbang rasa. Hidup jadi mudah dan berkat, masyarakat jadi kaya-raya dan harta benda melimpah ruah. Begitu sekali pemurahnya Imam Mahdi sehingga pintu bilik perbendaharaannya yang penuh harta benda itu tidak pernah berkunci, dan hanya ditunggu oleh seorang penjaga yang tidak bersenjata. Harta yang ada di dalamnya juga tidak pernah diaudit, dan sesiapa yang mahu meminta harta, akan disuruh ambil seberapa banyak yang mahu diambilnya atau yang termampu dibawanya.
  9. Kepak yang terbuka juga adalah lambang kasih sayang yang merata. Kasih sayangnya itu dapat dirasakan oleh sekalian rakyatnya, hatta yang jauh di ceruk pedalaman atau di ceruk gunung sekalipun.
  10. Maksud khusyuk juga adalah turunnya berkat dan diangkat perbuatan maksiat daripada manusia yang beriman. Ini dikeranakan khusyuk tidak akan sekali-kali mereka peroleh melainkan setelah diangkat terlebih dahulu perbuatan maksiat dari kalangan manusia sehingga tiada lagi yang berani melakukan maksiat secara terang-terangan sehingga masalah sosial dan jenayah mencapai tahap zero percent dan setelah diturunkan berkat yang merata ke atas seluruh dunia ini. Setelah kedua-dua perkara ini benar-benar berlaku, barulah rasa khusyuk itu didapati oleh semua umat Islam. Selagi masih ada perbuatan maksiat dan dosa dilakukan oleh manusia, maka selagi itulah rasa khusyuk tidak akan manusia peroleh dalam apa-apa ibadat pun
02013 5. Amalannya Sangat Banyak dan Berakhlak Terpuji
A. Kata tabiin RH,
“Al-Mahdi adalah seorang yang sangat banyak amal ibadatnya, sangat baik pergaulannya dan sangat berbelas kasihan kepada orang-orang miskin.”
Daripada asar dan kata-kata tabiin di atas, dapatlah disebutkan pula beberapa perkara lagi mengenai diri Imam Mahdi yang ditunggu-tunggu itu, antaranya adalah:
  1. Imam Mahdi amat banyak amalannya. Amalan yang dimaksudkan adalah amalan sunatnya. Solat tahajudnya sahaja berjumlah lima ratus rakaat setiap malam yang dibuat secara istiqamah. Belum lagi wirid, zikir, selawat, bacaan al-Quran dan sebagainya. Ringkasnya, amalan Imam Mahdi adalah menyamai dengan amalan para sahabat yang utama pada zaman Nabi SAW dahulu.
  2. Imam Mahdi adalah seorang yang amat baik pergaulannya dengan semua orang, terutama dengan orang yang baik-baik dan kuat amal ibadahnya. Pergaulan yang baik antara sesama manusia adalah salah satu sifat utama Nabi SAW.
  3. Imam Mahdi tidak pernah bergaul dengan orang yang buruk akhlaknya kerana orang jahat takut berkawan dengannya, manakala orang-orang saleh amat rindu untuk bertemu dan bergaul dengannya. Jika orang yang jahat atau buruk akhlaknya berkawan dengan Imam Mahdi, maka orang itu akan menjadi baik kerana mendapat berkat daripada Imam Mahdi atau terikut-ikut perbuatannya hasil melihat sendiri amalan terpuji Imamul Mukminin ini. Hanya yang benar-benar berhati munafik atau yang keras kekafirannya sahaja yang tidak akan dapat diubah lagi akhlak, akidah dan amalannya.
  4. Salah satu sifat utama Nabi SAW ialah amat berbelas kasihan kepada orang-orang miskin, dan sebagai pengganti Rasul semasa ketiadaan Rasul, Imam Mahdi sudah ditentukan memiliki sifat yang utama ini. Dan sifat ini adalah salah satu sifat terpuji Imam Mahdi. Dengan melihat sifat utama ini, maka dapatlah dibayangkan oleh sekalian umat Islam bagaimana bentuk sebenar akhlak Rasulullah SAW semasa hayat baginda dahulu.
  5. Kualiti ibadatnya adalah terbaik pada zamannya. Tabiin tidak menyebutkan ibadat itu berdasarkan apa yang dibuat pada zahirnya semata-mata, tetapi yang lebih penting ialah nilai ikhlasnya yang tinggi, istiqamah dalam melakukannya dan khusyuk dalam melakukannya. Itulah yang sebenarnya dimaksudkan. Amalan yang sedikit tetapi dibuat dengan sepenuh ikhlas adalah amat utama dan mendapat balasan yang amat besar. Maka amalan yang banyak dan dibuat dengan penuh ikhlas adalah lebih-lebih lagi utama dan terpuji pada sisi Allah SWT.
  6. Pemimpin dunia pada hari ini sudah tidak tahu lagi bergaul dengan rakyatnya dengan cara yang baik, atau tidak baik pergaulannya dengan rakyat. Mereka hanya bergaul dengan orang ramai secara yang rasmi  dan mengehadkan golongan yang akan digaulinya. Rumah mereka pun adalah yang paling jauh daripada orang ramai dan paling jauh juga daripada masjid-masjid. Imam Mahdi akan menunjukkan cara pergaulan yang sebenar, seperti yang dikehendaki oleh agama, kepada seluruh pemimpin yang lain dan juga kepada orang ramai, seperti yang pernah dilakukan oleh baginda SAW dahulu dan para Khulafa ur-Rasyidin. Dengan pencontohan itulah, dapatlah para pemimpin yang lain mengamalkannya pula kepada rakyat masing-masing.
02014 6. Umur Imam Mahdi
A. Sabda Nabi SAW,
“Al-Mahdi adalah daripada anakku, dia berusia 40 tahun. Wajahnya bagaikan bintang yang bergemerlapan, pipi kanannya ada tahi lalat, kulitnya kemerah-merahan seolah-olah dia adalah keturunan Bani Israel, dia akan mengeluarkan harta karun dan akan menundukkan kota-kota maksiat.”  (Abu Nuaim)
B. Kata tabiin RH,
“Al-Mahdi adalah seorang yang beralis nipis lagi terpisah kedua-duanya dan besar biji matanya. Dia akan keluar dari Hijaz dan berkhutbah di atas mimbar Damsyik, sedangkan usianya baru 18 tahun.”
Daripada kedua-dua buah riwayat di atas, beberapa perkara dan kefahaman dapat kita ambil, yang secara ringkasnya, antaranya:
  1. Semacam ada pertentangan antara hadis Nabi SAW dengan ucapan tabiin, jika kedua-duanya dinilai secara zahirnya sahaja. Namun sebenarnya tidak ada percanggahan apa-apa walaupun dilihat secara zahirnya, kedua-dua matan itu nyata amat bercanggah!
  2. Alasan yang dapat diberikan ialah mustahil para tabiin tidak mengetahui hadis Rasulullah SAW itu, sehingga mereka mengucapkan sesuatu yang nyata berlawan dengan apa yang telah jelas disebutkan oleh hadis. Alasan kedua, mustahil para tabiin sengaja mencipta atau mereka-reka cerita akan sesuatu yang telah jelas disebutkan oleh baginda SAW. Jika ini berlaku, sudah pastilah ucapan tabiin itu tadi akan awal-awal lagi ditolak oleh para ulama hadis yang mengerti benar-benar maksud tersiratnya, terutama yang pakar-pakar dalam hal berkenaan.
  3. Nabi SAW menyebutkan bahawa Imam Mahdi itu adalah dari keturunan Baginda SAW sendiri, iaitu Ahlulbait. Dan hal ini amatlah jelas dan terang, tidak perlu lagi dihuraikan lebih panjang lebar.
  4. Umur Imam Mahdi adalah 40 tahun dan di dalam hadis ini, tidak disebutkan apa kaitan umur yang 40 itu dengan sesuatu. Mungkin ramai ulama yang dengan mudah sahaja mengatakan bahawa semasa umurnya 40 tahun itulah beliau dilantik sebagai Imam Mahdi, seperti yang banyak didapati di dalam kitab-kitab mereka, yakni berdasarkan  hadis-hadis lain, yang secara zahirnya menyatakan demikian. Hal ini sebenarnya tidaklah salah, malah memang ada alasan yang kukuh untuk mempercayainya juga, iaitu jika dilihat hadis-hadis lain yang menyatakan demikian.
  5. Kemungkinan yang lebih tepat ialah semasa usianya 40 tahun itulah, beliau dilantik sebagai Qutubul Aulia, walaupun belum lagi dilantik sebagai Imam Mahdi. Mungkin juga dalam usia demikian, beliau mendapat tahu bahawa dirinya adalah calon untuk menjadi Imam Mahdi seperti yang disebutkan dalam hadis-hadis, asar dan ucapan tabiin. Sebelum itu, beliau tidak mengetahui akan hal ini. Mungkin juga dalam usia 40 tahun itulah, beliau mula menjalankan tugas sebagai Qutubul Aulia dan sekali gus merangkap Imam Mahdi untuk umat Islam pada zaman ini.
  6. Jadi, yang lebih baik, usahlah mengandaikan maksud hadis itu semata-mata menurut fahaman kita yang cetek ini, tanpa merujuk kepada erti yang hakikatnya. Lihatlah pendapat dan ijtihad para ulama yang lebih dalam ilmunya dan tinggi kefahamannya.
  7. Wajahnya bergemerlapan bagaikan bintang. Maksudnya ialah wajahnya amat berseri-seri dan menggembirakan setiap mata yang melihatnya. Seri wajahnya itu adalah seri wajah ahli syurga, seri wajah salah seorang penghulu syurga, seri wajah kekasih Allah SWT, seri wajah dari seorang ahli ibadat, seri kerana amat bersih hatinya dan juga seri dari keikhlasan hatinya.
  8. Kulitnya kemerah-merahan seperti kulit orang Israel. Nyatalah bahawa Imam Mahdi bukan lagi berkulit seperti kulit orang Arab, tetapi lebih kepada corak kulit orang Ajam dengan warna yang kemerah-merahan. Maksud tersiratnya ialah, kulit yang merah itu tanda negeri tempat lahirnya adalah negeri yang panas. Kulitnya macam kulit orang Israel itu adalah tanda bahawa keturunannya sudah bercampur antara Arab dengan Ajam, iaitu penduduk asal dari negeri ‘yang panas cuacanya’ tadi. Orang-orang Arab yang datang ke Timur ini, lazimlah kulit mereka menjadi kemerah-merahan.
  9. Ada tahi lalat besar pada pipi kanannya. Tahi lalat hidup yang terdapat pada pipinya itu tidak bersifat semulajadi, iaitu tidak ada semasa Imam Mahdi masih kecil dan remaja. Mungkin setelah beberapa puluh tahun umurnya, barulah tanda itu ada pada pipi kanannya. Sebab itulah tidak disebutkan tahi lalat itu wujud sejak kecilnya atau sejak lahir lagi.
  10. Mengeluarkan harta karun dengan banyaknya. Apabila Imam Mahdi dilantik sebagai Imam, maka bumi dan langit pun mengeluarkan khazanah masing-masing untuk kemudahan manusia. Hal ini berlaku dengan lebih hebat lagi setelah matinya Dajjal dan turunnya Nabi Isa AS di kalangan umat Islam. Ketika itu, seluruh nikmat dunia yang pernah dikecapi oleh umat terdahulu akan dapat dikecapi oleh mereka yang hidup pada masa itu. Juga sebahagian nikmat dunia yang tidak pernah dikeluarkan kepada mana-mana umat pun akan dikeluarkan kepada sekalian umat Islam untuk dinikmati dan disyukuri.
  11. .Menundukkan kota-kota maksiat adalah salah satu tujuan utama Imam Mahdi diturunkan. Dengan turunnya Imam Mahdi, bumi ini akan disapu segala dosanya sehingga akhirnya bumi ini dipenuhi dengan kesucian dan kebersihan, zahir dan batin. Apabila ini berlaku, keberkatan turun mencurah-curah dari langit, melebihi daripada turunnya hujan yang amat lebat sekalipun. Semasa menundukkan kota-kota maksiat ini, Imam Mahdi akan melalui enam peperangan besar yang turut disertainya. Setelah itu, tidak akan ada peperangan lagi di dunia ini, melainkan berperang dengan Dajjal dan pengikut-pengikutnya dari kalangan bangsa Yahudi sahaja.
  12. Alis matanya nipis dan terpisah antara kedua-duanya. Keadaannya yang seperti ini adalah suatu yang lazim bagi orang Melayu dan orang-orang di Timur sini. Makna tersiratnya ialah Imam Mahdi itu memang seorang lelaki yang berwajah tampan dan mukanya berseri-seri, sedap mata memandang.
  13. Biji matanya besar.
  14. Beliau belajar di Hijaz. Syarat ini perlulah dipenuhi kerana telah dijelaskan begitu. Namun, ramai orang tidak memahami maksud ucapan tabiin ini, lalu terus mendakwa dirinya sebagai Imam Mahdi sedangkan jejak kaki pun tidak pernah ke Hijaz itu. Maksud belajar itu adalah belajar daripada guru-guru yang bertaraf wali dan mujtahid, terkenal salehnya dan mendapat bimbingan secara langsung dalam hal tarekat sufi.
  15. Mampu menyampaikan ceramah agama dalam usia yang masih muda iaitu selepas habis belajar di Hijaz. Imam Mahdi yang masih muda itu akan merantau ke Damsyik, dan sepanjang tinggal di sana, beliau akan diminta mengajar orang ramai ilmu agama, sedangkan usianya masih amat muda. Orang ramai juga tidak tahu bahawa yang mengajar itu adalah bakal Imam Mahdi bagi seluruh umat Islam ini.
  16. Ucapan tabiin itu tidak menyebutkan langsung bahawa ‘bakal’ Imam Mahdi itu datang ke Damsyik sebagai Imam Mahdi. Jadi, kesimpulan yang lebih tepat, kedatangannya ke Damsyik adalah semata-mata untuk menuruti jejak ahli keluarganya yang masih tinggal saki-baki lagi itu, bukannya datang dengan title sebagai ‘Imam Mahdi’.
  17. Jadi, berdasarkan huraian-huraian di atas, nyatalah bahawa kedua-dua keterangan berkenaan, yang sebelum ini ditolak orang, kerana nyata amat bertentangan, sebenarnya langsung tidak bertentangan sama sekali, malah saling menguatkan antara satu sama lain. Diharap selepas ini, tidak ada lagi orang yang akan mengatakan hadis itu salah dan hadis ini silap kerana kedua-duanya bertentangan matannya.
02015 7. Kulitnya Sawo Matang
A. Kata sahabat RA,
“Kulit al-Mahdi berwarna coklat (sawo matang).”
Daripada ucapan sahabat RA di atas, dapatlah diambil erti bahawa Imam Mahdi itu kulitnya berwarna, bukan putih cerah seperti kebiasaan warna kulit orang Arab. Disebutkan warna kulitnya di dalam bahasa Arab sebagai coklat, bukannya putih atau cerah. Jelasnya, warna ‘coklat’ yang dimaksudkan itu adalah sawo matang. Dan jika kita cantumkan semua keterangan yang ada mengenai Imam Mahdi ini, jelaslah, bahawa Timur yang dimaksudkan itu tidak lain dan tidak bukan adalah kawasan Nusantara ini. Mustahillah orang Jepun dikatakan kulitnya coklat atau sawo matang. Begitu juga orang Cina, jarang sangatlah didapati yang kulitnya coklat seperti yang diisyaratkan oleh asar.
Orang Siam juga tidak ada yang benar-benar coklat kulitnya secara umum. Malah mungkin ramai orang Siam yang akan tersinggung jika dikatakan mereka itu berkulit coklat. Orang-orang di India juga tidak dikatakan coklat kerana mereka secara lazimnya, berkulit lebih daripada coklat. Hal ini memang pun sudah diketahui di seluruh dunia. Orang Pakistan juga tidak dapat diistilahkan coklat kerana mereka lazimnya berkulit kemerah-merahan. Tidak pernah lagi kedengaran ada orang mengatakan bahawa orang Pakistan itu kulitnya coklat. Tidak tahulah pula pada zaman akan datang, ada orang yang menganggap orang Pakistan itu berkulit coklat juga.
Jadi, kesimpulan yang dapat diambil daripada asar di atas ialah, memang Imam Mahdi itu, tidak syak lagi, adalah dari kalangan bangsa Melayu ini, tidak kiralah sama ada asalnya dari mana-mana Kepulauan di Indonesia, Singapura, Selatan Filipina, Malaysia, mahupun Selatan Siam. Semua yang Islam yang tinggal di kawasan berkenaan lazimnya adalah dipanggil orang Melayu, dan kulitnya lazim dikatakan sebagai coklat. Mereka tidak marah jika dipanggil demikian, malah mereka sendiri yang menyebut bahawa kulit mereka adalah coklat.
Dan tidak syak juga, bahawa bangsa Ajam yang dimaksudkan itu sebenarnya adalah bangsa Melayu ini. Ini dikeranakan mereka adalah bangsa terakhir yang menerima Islam sebagai agama mereka secara beramai-ramai dan selepas kawasan ini, tidak ada lagi bangsa lain yang menerima Islam secara terbuka dan beramai-ramai. Dan, bangsa Timur yang dimaksudkan oleh hadis-hadis, yang di dalamnya ada segolongan umat Islam istimewa yang dipanggil IKHWAN itu adalah dari bangsa Melayu ini, sudah amat jelas, tidak lain dan tidak bukan. Tidak perlu lagi kepada huraian yang lebih lanjut dan terperinci untuk menjelaskannya.
Sebab lain yang membantu menguatkan hujah ialah faktor agama. Maksudnya penerimaan agama Islam di kalangan masyarakat umum dan penghayatan kepada Islam yang sangat intensif. Pada masa ini, hanya orang-orang di rantau ini yang benar-benar menerima Islam sebagai agama mereka secara besar-besaran dan beramai-ramai. Tidak ada tempat lain yang berbuat demikian seperti orang Melayu ini. Mereka lakukannya secara sukarela, tiada paksaan, tiada sentimen melulu seperti semangat yang berapi-api dan tidak juga melalui penguatkuasaan undang-undang.
Masyarakat Melayu juga adalah kaum yang pada hari ini dilihat paling menonjol penghayatan kepada Islam sebenar. Bangsa-bangsa lain tidak ada yang dilihat penghayatan Islamnya lebih tepat, lebih bersungguh-sungguh, berdasarkan kemahuan sendiri, tidak melampau (radikal dan menakutkan) dan penuh hikmah. Keadaan ini berlaku bukanlah dengan disengajakan, tetapi sebenarnya memang telah disusun sedemikian rapi oleh Allah SWT sendiri iaitu secara semula jadi. Hanya sekaranglah perkara ini baru disedari oleh bangsa Melayu itu sendiri, terutamanya dari kalangan yang kuat mengamalkan ajaran tarekat dan dakwah.
Secara tidak langsung juga asar sahabat RA ini menjelaskan bahawa Imam Mahdi itu bukan lagi berketurunan Arab seratus peratus, sebab orang Arab jati jarang yang kulitnya sawo matang. Percampuran antara darah Arab dan Ajam (di sini maksudnya Melayu) menyebabkan kulit Imam Mahdi itu tidak lagi seperti kulit bangsa Arab jati, tetapi sudah berwarna seperti warna kulit bangsa Ajamnya itu. Jika kulit Imam Mahdi itu seperti kulit Arab jati, tidak perlulah lagi disebutkan oleh para sahabat RA warna kulitnya itu, kerana memang orang Arab itu kulitnya putih dan kemerah-merahan seperti yang lazim. Bagi bangsa Arab pula, berbezanya warna kulit Imam Mahdi daripada warna kulit mereka menjelaskan bahawa Imam Mahdi itu bukan lagi milik penuh bangsa Arab, suku Quraisy, Bani Hasyim, Alawiyin atau Ahlulbait. Dan mereka pula bukanlah lagi bangsa pendokong agama suci ini pada masa ini.
Maksud lain yang dapat diberikan di sini adalah sebagai suatu penghormatan kepada bangsa Ajam yang menjadi tempat kelahiran Imam Mahdi itu. Dikatakan Imam Mahdi itu berkulit coklat, sebagai tanda bahawa umum masyarakat setempatnya berkulit demikian, walaupun mungkin Imam Mahdi itu sendiri tidaklah begitu coklat kulitnya seperti mereka. Apabila bergaul dengan masyarakat setempat, maka kulitnya pun dikatakan kelihatan macam cokla pada masa init juga. Ini sebenarnya adalah suatu penghormatan yang amat besar dan sangat bernilai bagi bangsa Melayu zaman ini, kerana Imam Mahdi itu lahir dari kalangan mereka.
Untuk mendapatkan keterangan yang lebih lanjut mengenai masalah kulit Imam Mahdi ini, lihatlah hadis yang berikut dalam tajuk seterusnya. Semoga dengan ini, kefahaman kita yang selama ini mungkin kurang jelas atau tidak jelas, dapat dijelaskan dengan sejelas-jelasnya. Kita juga tidak digalakkan berfikir terburu-buru sehingga tidak sempat membuat keputusan dengan adil dan tepat. Fikirkan dari segenap aspek dan keadaan supaya ilmu kita benar-benar membawa manfaat kepada kita.
02016 8. Kulitnya Macam Kulit Orang Arab
A. Sabda Nabi SAW,
“Kulit al-Mahdi adalah seperti kulit orang Arab, bentuk tubuhnya seperti bentuk tubuh orang Bani Israel, pipi kanannya bertahi lalat dan kekhalifahannya diredhai oleh penduduk bumi, penduduk langit dan burung-burung di angkasa.”         (Abu Nuaim & at-Tabrani)
Daripada kandungan hadis ini, kita dapat mengambil beberapa perkara, antaranya adalah:
  1. Kulit Imam Mahdi adalah seperti kulit orang Arab. Ini disebabkan Imam Mahdi adalah berasal dari keturunan bangsawan Arab Quraisy. Cuma warnanya sahaja yang agak sawo matang, seperti bangsa Ajam yang menjadi tempat tinggalnya. Bangsa Ajamnya melihat beliau seperti orang Arab keran beliau memang dari bangsa Arab. Maknanya Rasulullah SAW menyebutkan hal ini berdasarkan sudut pandangan bangsa Ajam.
  2. Bentuk tubuhnya adalah seperti bentuk tubuh orang-orang Israel, yakni besar dan tegap. Ini sebagai menunjukkan bahawa Imam Mahdi adalah seorang yang gagah dari segi fizikalnya dan amat mantap pula dari segi rohaninya. Keadaan fizikal yang besar ini perlu kerana seorang pemimpin yang berbadan tegap akan menggerunkan musuh yang melihatnya. Penyataan ini adalah berdasarkan pandangan bangsa Ajam tempat tinggalnya, bukan dari sudut pandangan bangsa Arab lagi. Sebabnya orang Arab dengan orang Yahudi hampir sama sahaja bentuk dan saiz tubuh badan mereka, jadi tidaklah mereka melihat bangsa yang lain itu lebih besar tubuhnya daripada bangsa yang satu lagi. Hanya orang-orang Ajam sahaja yang memandang tubuh orang Arab dan Israel itu lebih besar daripada tubuh badan mereka.
  3. Dijelaskan sekali lagi bahawa Imam Mahdi itu mempunyai tahi lalat di pipi kanannya, dan penyataan ini adalah amat jelas, kerana disebutkan berulang-ulang kali oleh Nabi SAW.
  4. Kekhalifahannya diredhai oleh seluruh penduduk langit, iaitu para malaikat dan roh orang-orang mukmin. Apabila seluruh penduduk langit telah redha dengan pemerintahannya, maka seluruh penduduk di bumi pun akan turut redha dengan pemerintahannya, kerana lazim apabila penduduk langit telah redha dengan seseorang, maka penduduk bumi pun akan turut redha pula dengannya.
  5. Burung-burung yang disebutkan di sini adalah wakil sahaja daripada sekalian binatang, kerana lazim apabila sejenis binatang redha kepada seseorang, maka semua binatang lain pun akan turut redha kepadanya, tidak kira di langit, di atas tanah, di dalam tanah atau di dalam air.
  6. Punca semua makhluk redha dengan pemerintahannya adalah kerana Imam Mahdi telahpun mempersiapkan dirinya, zahir dan batin, untuk menjawat tugas utama ini, sebelum diserahkan kepadanya tugas utama ini. Hal demikian amat berlawanan dengan pemimpin dunia sekarang yang hanya mempersiapkan zahir sahaja sebelum mereka memerintah sesebuah negara. Aspek rohaniah yang sebenarnya lebih penting, lazimnya terabai terus. Juga dikeranakan pelantikannya adalah atas kehendak Allah SWT jua, bukannya atas pilihan dan pencalonan oleh orang ramai di sesebuah negara.
02017 9. Matanya Kelihatan Sentiasa Bercelak
A. Kata sahabat RA,
"Kedua-dua pelupuk matanya tampak bercelak.”
Bercelak adalah suatu sunnah. Sesiapa yang melakukannya akan mendapat pahala, manakala yang meninggalkannya akan rugi, kerana tidak mendapat pahala sunat. Semua ulama muktabar sejak zaman dahulu lagi, sudah menjadikan celak ini sebagai amalan mereka.
Dalam kes Imam Mahdi ini, walaupun beliau tidak mengenakan celak, tepi matanya akan tetap kelihatan seperti bercelak, dan ini adalah suatu keistimewaan baginda yang tidak ada pada orang lain. Keistimewaan ini sebelumnya hanya ada pada datuknya yang mulia, baginda Rasulullah SAW sahaja, selain Nabi Ibrahim AS.
02018 10. Gigi Seri Imam Mahdi
A. Kata sahabat RA,
“Gigi seri al-Mahdi tampak bersinar.”
Hal ini sebenarnya menjelaskan kepada kita bahawa Imam Mahdi itu memang bersih dan wangi, sama ada pada badannya mahupun pada anggota lainnya, yang biasanya pada orang kebanyakan, agak berbau atau kurang baik. Sehingga dengan giginya yang kelihatan bersinar itu, akan bertambah lagi berseri wajahnya yang mulia itu.
02019 11. Gigi Imam Mahdi Berjarak
A. Dari Abdul Rahman bin Auf RA katanya, sabda Rasulullah SAW,
"Sungguh Allah akan melahirkan seorang lelaki dari keturunanku, yang (antara sifat utamanya ialah) giginya berjarak, dahinya lebar, keadilannya sangat meliputi seluruh alam dan akan mendapatkan harta benda dengan melimpah-limpah.”       (Abu Nuaim)
02020 12. Pada Pipi Kanan Imam Mahdi Ada Tahi Lalat Hidup
A. Kata sahabat RA,
"Pipi al-Mahdi ada tahi lalatnya.”
Ini adalah pengulangan lagi bagi hadis-hadis dan asar yang telah disebutkan sebelum ini. Oleh itu, tetaplah bahawa Imam Mahdi itu orang yang mempunyai tahi lalat hidup, yang besar, terletak pada pipi sebelah kanan. Ini adalah salah satu keistimewaan Imam Mahdi kerana tahi lalat itu bukannya wujud secara semula jadi, tetapi wujud sebelum baginda diangkat sebagai Imam Mahdi.
Oleh itu, semasa hayatnya bergaul, mengajar dan membantu orang ramai, mereka benar-benar tidak tahu bahawa tuan guru mereka itulah dia bakal Imam Mahdi yang akan memerintah seluruh dunia suatu hari kelak
02021 13. Janggut Imam Mahdi
A. Kata sahabat RA,
“Dia (al-Mahdi) berjanggut tebal tetapi tidak begitu lebat.”
Imam Mahdi itu mestilah mempunyai janggut, janggutnya diperincikan lagi dengan penyataan bahawa bentuknya tebal, yakni panjang tetapi tidak lebat iaitu tidak rapat-rapat. Maksud panjang itu tidaklah sampai ke pusat seperti yang banyak difahami oleh orang awam, tetapi sekadar tidak sampai melebihi sejengkal. Yang demikian adalah suatu sunnah daripada baginda Rasulullah SAW, yang diikuti oleh para sahabat RA, kemudian oleh para tabiin dan seterusnya oleh generasi di bawahnya, hinggalah ke hari ini.
Keadaan seperti itu, iaitu mempunyai janggut yang tebal tetapi tidak begitu lebat, jika sekali lihat, adalah perkara biasa. Namun untuk memenuhi ciri-ciri berkenaan sebenarnya amat sukar, kerana tidak semua orang mampu memenuhi ciri-ciri berkenaan dengan tepat. Bentuk dan gaya janggut yang tumbuh adalah semata-mata kurniaan Allah, bukannya boleh direka-reka dan dibentuk-bentuk menurut kemahuan kita sahaja. Sebab itulah, sifat-sifat, akhlak, amalan dan keadaan Imam Mahdi itu diperincikan dengan begitu sekali, sama ada oleh Baginda SAW sendiri, mahupun oleh para sahabat dan tabiin. Ertinya, semakin banyak perincian yang diberi, semakin sukar untuk mencari peribadi sebenar yang digelar sebagai Imam Mahdi itu.
Jadi, bagi sesiapa yang ada mengaji bab mengenai sifat-sifat Imam Mahdi, tidak akan menerima bulat-bulat sahaja sebarang pengakuan seseorang bahawa dirinya Imam Mahdi, melainkan setelah menelitinya dari atas hingga ke bawah, dari mula hingga ke akhir, dari zahir hingga ke batinnya dan sebagainya lagi. Banyak perkara yang perlu diteliti dan dinilai, kemudian dibandingkan dengan keterangan-keterangan daripada hadis-hadis dan ucapan para sahabat RA serta tabiin RH. Kebanyakan yang mendakwa dirinya Imam Mahdi tidak mempunyai janggut pun di dagunya.

Setelah berpuas hati bahawa setiap perkara yang disebutkan oleh hadis-hadis ada pada dirinya dan berlaku pula tepat seperti yang didakwa, barulah boleh diakui orang itu memang Imam Mahdi yang ditunggu-tunggu. Barulah orang ramai akan segera berbaiat kepadanya, menjadikannya Imam mereka zahir dan batin, dari segi agamanya dan dunianya, dari segi hidupnya dan matinya dan sebagainya lagi.

Ulama pada hari ini di Asia Tenggara ini, terutama sekali yang bertaraf ulama moden, tidak ramai lagi yang berjanggut, apatah lagi yang berjanggut tebal. Banyak daripada mereka yang akhir baligh, bukan akil baligh, kerana umur telah menjangkau setengah abad pun, janggut masih belum tumbuh-tumbuh di dagunya. Alasannya, perkara itu adalah sunat, boleh buat dan boleh tak buat. Tak payah sibuk-sibuk timbulkan atau besar-besarkan masalah furuk ini.

Memang demikianlah keadaannya. Benar juga alasan yang diberikan mereka, jika dilihat sekali lalu. Namun, jika difikirkan sekali lagi, akan jadi kemusykilan yang amat besar. Kalau ulama sendiri sudah tidak menghormati sunnah agama sendiri, bagaimana mungkin orang awam akan turut menghormati ajaran agama mereka, sebab  contoh yang patut diikuti, tiada di depan mata. Kalau para ulama sendiri sudah meninggalkan ajaran agama mereka, siapa lagi yang dapat diharap untuk menaikkan semula agama Islam ke tempatnya yang tinggi dan mulia itu? Takkan kita nak harapkan penganut agama Sikh untuk membantu menaikkan sunnah Islam ke tempatnya yang tinggi itu.

Sebab itu umat Islam pada hari ini sudah ramai yang tidak berjanggut kerana mereka melihat contoh yang paling mudah, para ulama dan para pemimpin yang sudah tidak berjanggut lagi. Memang ada sebilangan umat Islam yang masih berjanggut, tetapi mereka ini berjanggut bukanlah meniru para ulamanya, tetapi atas kefahaman sendiri, kesedaran sendiri dan kemahuan sendiri. Tiada contoh lagi bagi mereka. Ada yang berjanggut dengan niat-niat yang lain, dan bagi golongan yang ini, kita serahkan penilaiannya kepada Allah semata-mata.
02022 14. Hidungnya Mancung
A. Dari Abu Said al-Khudri RA berkata, Rasulullah SAW bersabda,
“al-Mahdi adalah dari keturunanku, dahinya luas, hidungnya mancung. Dia akan memenuhkan bumi ini dengan keadilan dan kesaksamaan sebagaimana sebelumnya dipenuhi dengan kezaliman dan penindasan. Dia memerintah selama tujuh tahun.”   (Abu Daud & al-Hakim)
Berdasarkan hadis ini, dinyatakan lagi beberapa perkara, sama ada pertama kali disebut, mahupun yang berupa pengulangan daripada hadis-hadis lain:
  1. Imam Mahdi adalah dari keturunan Baginda SAW. Pengesahan yang dibuat berulang-ulang kali ini tidak syak lagi adalah janji Allah dan Rasul-Nya SAW bahawa memang Imam Mahdi itu adalah benar-benar dari keturunan Nabi SAW. Kerana terlalu banyak pengulangan terhadap perkara yang sama, maka dapatlah disimpulkan di sini bahawa perkara ini adalah sesuatu yang mesti dipenuhi, tidak boleh tidak.
  2. Dahinya luas. Penyataan ini juga diulang dalam beberapa buah hadis dan ucapan sahabat dan tabiin. Orang yang berdahi luas lazim dikatakan adalah tanda orangnya kuat rohaniahnya, ahli pemikir yang kuat, tenang fikirannya dan matang dalam segala tindakan dan urusan. Dahi luas juga adalah tanda orang itu sudah berumur, bukan remaja lagi. Sebab itu, lazimnya golongan remaja mempunyai saiz dahi yang lebih kecil berbanding orang dewasa dan orang-orang tua.
  3. Hidung Imam Mahdi adalah mancung. Pernyataan ini adalah tanda bahawa Imam Mahdi itu lahir dari kalangan orang atau kaum yang hidungnya ‘tidak mancung’. Jika tidak, masakan perkara ini perlu disebut oleh Nabi SAW, kerana bangsa Arab memang diketahui umum memiliki hidung yang mancung-mancung belaka. Terlalu jarang atau boleh dianggap pelik jika dikatakan ada orang Arab yang hidungnya tidak mancung atau pesek. Maksud tersiratnya, Imam Mahdi itu benar-benar lahir di negara Ajam.
  4. Imam Mahdi akan menjadi pemerintah di bumi ini. Pemerintahannya setelah menjadi Khalifah adalah penuh adil dan saksama, meliputi seluruh dunia. Tanda akan naik Imam Mahdi menjadi pemerintah ialah seluruh dunia ini akan dipenuhi oleh kezaliman dan penindasan. Para pemerintahnya adalah orang-orang yang zalim-zalim, manakala yang kaya dan kuat menindas yang miskin dan lemah. Yang miskin dan bodoh juga berbuat zalim dengan melakukan jenayah seperti mencuri. Ulama memandang rendah orang awam dan orang awam pula hilang hormat kepada golongan ulama.
  5. Lama pemerintahan Imam Mahdi ke atas seluruh dunia ini adalah tujuh tahun. Tujuh tahun yang dimaksudkan adalah relatif, bukan dengan erti tujuh tahun seperti yang mampu kita bayangkan pada hari ini. Untuk keterangan yang lebih jelas lagi tentang ini, lihat pada bahagian-bahagian akhir pemerintahan Imam Mahdi pada bab-bab yang akan datang. Angka tujuh sebenarnya adalah lambang berkat dan banyak, bukan ertinya tepat-tepat tujuh tahun seperti yang disabdakan.

02023 15. Cap Kenabian Pada Bahunya
A. Kata sahabat RA,
"Pada bahu al-Mahdi terdapat tanda-tanda kenabian Nabi Muhammad SAW.”
Suatu perkara yang amat tidak dipedulikan orang ialah cap kenabian Nabi Muhammad SAW yang terdapat pada tengah-tengah dua belikat Imam Mahdi. Kalau dengan Nabi Muhammad SAW dahulu, orang-orang Yahudi dan Nasrani meneliti tanda ini untuk mengesahkan kebenaran individu yang bernama Muhammad SAW itu, maka Imam Mahdi pun demikian juga, bagi kita umat Islam.

Apabila yang zahir itu mengaku dirinya Imam Mahdi, maka mintalah ditunjukkan cap kenabian itu dari belakang badannya. Jika benar, maka sahlah dia itu memang Imam Mahdi seperti yang disebut-sebut. Jika tidak ada cap kenabian itu, maka bohonglah dia.

Cap kenabian itu besarnya seperti telur burung merpati, tulisannya berwarna hitam, huruf-hurufnya jelas, bentuknya seakan-akan membonjol keluar (melengkung) dan bukannya tatu, yakni ditekan dengan alat oleh manusia. Cap kenabian itu bukan dibuat oleh manusia dan tidak akan padam selama-lamanya.

Di sekeliling cap kenabian itu ada bulu roma yang halus tumbuh, yang mengelilingi cap itu. Keadaan seperti ini mustahil dapat ditiru-tiru oleh sesiapa pun, kerana tidak ada kemudahan dan peralatan yang mampu meniru seperti sifat-sifat yang ada itu. Hanya Imam Mahdi dan Rasulullah SAW sahaja yang diberi keistimewaan mempunyai cap kenabian di belakang badan, di antara dua belikat mereka
02024 16. Jubah Imam Mahdi
A. Rasulullah SAW bersabda,
“Dia adalah dari keturunanku dan umurnya adalah empat puluh tahun. Wajahnya berseri-seri laksana bintang dan dia mempunyai tahi lalat di pipinya. Dia akan memakai dua lapis jubah Qutwani dan bentuk badannya seperti orang-orang Bani Israel.”        (At-Tabrani)
Jubah Qutwani adalah sejenis jubah yang diperbuat dari bulu binatang, dan bukan menjadi pakaian yang lazim dipakai oleh bangsa Arab sejak dahulu hingga kini. Jubah bulu itu adalah dari jenis jubah yang mahal dan sukar didapati di pasaran terbuka. Dan Imam Mahdi memakai jubah berkenaan sebanyak dua lapis setiap kali pakai. Itu adalah lambang ketinggian peribadinya dan sebagai suatu syiar bagi dirinya. Dua lapis pakaian juga adalah sunnah daripada Nabi Musa AS, Nabi Ibrahim AS dan beberapa orang rasul yang terdahulu.
02025 17. Sukar Bertutur Kata
A. Sabda Nabi SAW,
“Al-Mahdi adalah termasuk orang yang sukar bertutur kata (ketika awal munculnya).”
B. Sabda Nabi SAW,
“Jika al-Mahdi merasa sukar berbicara, maka dia akan menepuk paha kirinya dengan tangan kanannya.”
Kedua-dua hadis ini menyatakan satu perkara yang sama iaitu Imam Mahdi itu diberikan satu keadaan iaitu sukar berkata-kata ketika awal munculnya sebagai Imam Mahdi. Hal ini berlaku hanya apabila dibaiat oleh orang ramai, dan bukannya sifat semula jadi sejak kecil.

Keadaan ini sebenarnya adalah untuk membezakannya daripada orang lain, kerana lazimnya para pemimpin dunia hari ini mestilah seorang yang fasih bertutur kata. Adalah suatu kelemahan yang ketara pada hari ini jika seseorang pemimpin itu tidak fasih berkata-kata atau gagap. Dan lazimnya orang yang seperti ini tidak akan terpilih untuk memerintah manusia, kerana gagap itu adalah suatu kecacatan pada pandangan mereka.

Jadi, untuk membezakan Imam Mahdi daripada pemimpin lain, Allah jadikannya sebagai seorang yang gagap atau sukar berkata-kata sebagai pemimpin manusia. Hal ini sebenarnya bukanlah suatu kekurangan kerana Nabi Musa AS sendiri adalah seorang yang sukar bertutur kata, termasuk ketika berdialog dengan bapa angkatnya, Firaun. Sebab itu Nabi Musa AS meminta agar beliau ditemani oleh adiknya kandungnya, Nabi Harun AS untuk bercakap bagi pihak dirinya ketika berhadapan dengan Firaun.

Boleh juga diertikan dengan sukar bertutur kata itu dengan maksud Imam Mahdi itu tidak suka bercakap perkara yang sia-sia, dan jika ada orang yang bercakap perkara yang sia-sia di hadapannya, akan ditamparnya meja supaya orang yang sedang mendengarnya itu berhenti bercakap atau ditinggalkannya sahaja orang itu sendirian. Itu juga adalah boleh dimaksudkan dengan gagap seperti yang dikehendaki oleh hadis. Hal ini sebenarnya sesuai dan tepat dengan kehendak maksud sebuah hadis lain yang menyatakan Imam Mahdi selepas dibaiat di Masjidil Haram, akan berkhutbah dengan satu khutbah yang panjang, mengajak manusia mengamalkan kembali ajaran Islam sepenuhnya dalam diri masing-masing. Untuk mendapatkan hadisnya, silalah lihat pada bahagian yang akan datang
02026 18. Bentuk Kedua-dua Belah Pahanya
A. Sabda Nabi SAW,
“Kedua-dua belah paha al-Mahdi adalah lebar dan saling renggang (tidak rapat).”
Paha yang lebar yakni besar menunjukkan orang itu kuat fizikalnya dan bertenaga. Hal ini berlaku kerana beliau banyak turun naik melakukan solat tahajud dan juga solat sunat, menyebabkan pahanya menjadi kuat dan besar. Jika dilihat dari tepi, kelihatan lebar daging pahanya. Jika dilihat dari depan pula, kedua-dua pahanya kelihatan renggang antara satu sama lain. Maksud tersiratnya ialah Imam Mahdi itu bukan seorang yang berbadan gemuk.
02027 19. Imam Mahdi Adalah Seorang yang Tegas
A. Imam Tawus RH, seorang tabiin terkemuka menyebutkan bahawa,
“Salah satu tanda Imam Mahdi ialah dia amat tegas terhadap orang bawahannya, harta bendanya melimpah ruah dan amat pemaaf kepada para hamba (pekerja bawahan).”
Imam Tawus menyebutkan tiga perkara yang menjadi tanda khusus bagi Imam Mahdi iaitu:
  1. Imam Mahdi amat tegas kepada orang bawahannya iaitu para pekerja di rumahnya, anak-anak murid pengajiannya, para pegawai di pejabatnya, orang-orang kanannya, para makmum yang berada di saf pertama sembahyang dan pemimpin-pemimpin yang dilantik untuk mewakilinya.
  2. Hal ini samalah seperti tegasnya baginda SAW kepada para sahabat semasa di Madinah ketika hayat baginda SAW dahulu. Begitu juga Sayidina Umar semasa pemerintahannya yang ketegasannya cukup kita kenali. Khalifah Umar bin Abdul Aziz juga terkenal tegas terutama kepada anak-anak, isteri dan para pembesarnya. Sultan Muhammad al-Fateh juga amat tegas kepada para askarnya, sama ada semasa perang atau damai.
  3. Imam Mahdi memang diutus oleh Allah untuk memberkatkan harta benda sehingga melimpah ruah di sana-sini, akhirnya orang ramai jemu melihat harta benda yang bertimbun-timbun di sana-sini, sedangkan tidak seorang pun yang mahu membawanya pulang atau ambil peduli tentangnya.
  4. Imam Mahdi juga sangat berbelas kasihan kepada golongan hamba, pekerja bawahan dan orang awam. Mereka ini sentiasa mendapat bantuan dan perhatian berat daripada Imam Mahdi sendiri. Mereka selalu dibantu, ditolong, didoakan dan dihiburkan oleh Imam Mahdi dari semasa ke semasa.
  5. Akhirnya setiap orang merasakan mereka sentiasa diambil berat dan diperhatikan oleh Imam Mahdi, pemimpin agung mereka. Semuanya amat berpuas hati dengan pemerintahan Imam Mahdi yang amat adil lagi saksama itu.
02028 20. Imam Mahdi Berdahi Luas
A. Abu Said al-Khudri RA menceritakan bahawa Nabi SAW bersabda,
“Al-Mahdi itu dahinya luas dan hidungnya mancung. Dia akan memenuhi bumi ini dengan keadilan sebagaimana sebelumnya bumi ini dipenuhi dengan ketidakadilan dan penindasan. Dia akan memerintah selama tujuh tahun.” ( Abu Daud)
Hadis ini menyebutkan dahi Imam Mahdi adalah luas yakni tinggi ke atas dan lebar ke tepi kiri kanan. Itulah pengertian luas yang selalu kita fahami. Dan begitulah maksud yang dikehendaki oleh hadis di atas. Lazimnya orang yang berdahi luas ini adalah lelaki, kerana jarang didapati wanita yang berdahi luas. Memang ada wanita yang dahinya agak luas, tetapi tidaklah sampai seluas dahi lelaki. Jumlah wanita yang berdahi luas juga amat sedikit, kerana kebanyakan wanita berdahi sederhana atau kecil.
Dahi luas juga menunjukkan orang itu sudah berumur atau dewasa. Jarang remaja yang didapati berdahi luas. Dahi seseorang akan menjadi bertambah luas dengan sebab bertambahnya umur atau kerana mendapat sesuatu penyakit yang menyebabkan rambut di dahinya gugur dan tidak tumbuh-tumbuh lagi. Lazimnya dahi yang luas kerana penyakit tidaklah terlalu ramai dan bukan merupakan sebab yang dominan. Orang lelaki menjadi luas dahinya secara beransur-ansur akibat bertambah umurnya dan bertambah kematangannya dalam hidup. Selalu juga dikaitkan dahi yang luas dengan keupayaan berfikir yang agak tinggi.
02029 Sajak - IMAM MAHDI ADALAH MISTERI
Imamul Mahdi adalah misteri,
Walaupun banyak hadis yang bercerita,
Hendak dihuraikan secara nyata amat sulitnya,
Hendak ditolak payah juga,
Hadis mengenainya terlalu banyak
Bahkan ada yang bertaraf masyhur,
Siapa pun di kalangan ulama, ditanya tidak akan puas,
Bahkan akan berlaku ikhtilaf di kalangan mereka,
Siapa saja yang boleh menerangkan tentang Imamul Mahdi secara puas,
Dialah orang penting dan orang kanannya,
Kerana dia menghurainya dibantu dengan ilham
Dan berita-berita ghaib,
Siapa yang bukan orang kanannya
Hanya boleh menghurai di sekitar hadis saja,
Siapa orang kanannya, dia menghurai dibantu oleh ilham
Atau berita ghaib menguatkannya,
Orang kanannyalah lebih tahu tentang Imamul Mahdi Al-Muntazar,
Selainnya hanya boleh menghurai secara rambang,
Bahkan orang kanannya boleh berhubung
Dengan Imamul Mahdi di waktu-waktu tertentu,
Dapat panduan, dapat bimbingan, dapat berita ghaib akhir zaman,
Kerana itulah dia boleh menceritakan
Tentang Imamul Mahdi dengan tepat dan puas,
Walaupun begitu, bukan semua orang boleh menerimanya,
Lebih-lebih lagi para ulamanya bukan senang hendak percaya,
Bahkan setelah lahirnya pun
Para ulama ada yang menentangnya,
Di waktu itu mereka akan nahas,
Mereka akan menerima padahnya hasil penentangannya.
(Sajak Petikan dari Majalah Kebenaran)

02030 E. Kelebihan dan Keistimewaan Imam Mahdi
Jika seseorang itu diheboh-hebohkan sebagai seorang yang bakal memimpin seluruh manusia dan meninggikan agama Islam, maka sudah pastilah orang itu mempunyai beberapa kelebihan, yang tidak terdapat pada mana-mana manusia biasa atau pemimpin biasa pada hari ini. Imam Mahdi selalu dihebohkan sebagai seorang yang mempunyai banyak kelebihan berbanding pemimpin biasa. Maka, sebagai meraikan kepemimpinan Imam Mahdi yang bertaraf khalifah itu, di sini disebutkan beberapa kelebihan beliau berdasarkan apa yang telah dijelaskan oleh Rasulullah SAW, para sahabat RA, para tabiin RH dan para ulama muktabar.
02031 1. Kelebihan Imam Mahdi di Kalangan Ahlulbait
A. Dari Anas bin Malik RA, dia berkata, Rasulullah SAW bersabda,
“Kami, anak keturunan Abdul Muttalib, (adalah) pemimpin ahli syurga iaitu saya (SAW), Hamzah, Ali, Jaafar, al-Hasan, al-Husin dan al-Mahdi.”        (Ibnu Majah)
Hadis ini secara jelas dan terang menyebutkan bahawa Imam Mahdi adalah antara tujuh orang pemimpin Ahlulbait di syurga kelak. Maknanya Imam Mahdi termasuk salah seorang yang sudah dijamin syurga oleh Rasulullah SAW. Bukan sahaja dijamin syurga, malah menjadi salah seorang penghulu di syurga kelak. Baginda adalah antara beberapa orang yang dijamin syurga oleh Allah seperti yang berlaku kepada para sahabat pada zaman Nabi SAW dahulu.

Dan di kalangan Ahlulbait sendiri, beliau termasuk orang yang sudah mendapat jaminan Allah dan rasul-Nya akan dimasukkan ke dalam syurga di akhirat kelak. Jelaslah bahawa Imam Mahdi itu adalah salah seorang Ahlulbait yang sangat utama dan mendapat kedudukan yang sangat tinggi pada sisi Allah SWT.
02032 2. Imam Mahdi Lebih Utama Dari Sebahagian Sahabat RA
A. Ibnu Sirin RH, seorang tabiin yang terkenal, menerangkan bahawa,
“Al-Mahdi adalah lebih afdhal daripada ayah dan bapa saudaraku.”
Ucapan oleh tokoh tabiin ini tidaklah melampau atau melebihi daripada apa yang sepatutnya diucapkannya. Memang benar, Imam Mahdi adalah lebih afdhal daripada sebahagian besar sahabat Nabi SAW kerana sudah jelas bahawa Imam Mahdi itu bertaraf Khalifah, maka jelaslah baginda lebih afdhal daripada sebahagian besar sahabat RA.

Ini bolehlah diakui dengan melihat beberapa perkara yang patut kita jadikan perbandingan, sebagai menyokong ucapan oleh tokoh tabiin itu:
  1. Para sahabat RA diredhai oleh Allah secara umum, melalui dua peristiwa besar iaitu Perang Badar Kubra dan Baiatur Ridhwan, Perjanjian Hudaibiyah. Imam Mahdi disebutkan dalam beberapa hadis secara khusus sebagai orang yang diredhai dan pemerintahannya juga diredhai. Maka antara yang khusus dengan yang umum, yang khusus adalah lebih utama.
  2. Pemerintahannya bertaraf Khalifah, dan merupakan salah seorang Khalifah Allah dan Khalifah Rasulullah SAW, yang sama tarafnya dengan Khulafa ur-Rasyidin. Tentulah baginda lebih afdhal daripada kebanyakan sahabat RA, yang tidak bertaraf khalifah.
  3. Beberapa orang sahabat RA adalah orang yang dijamin masuk syurga oleh Nabi SAW. Antaranya ialah sahabat yang sepuluh, diikuti yang empat puluh. Imam Mahdi juga sudah dijamin oleh Nabi SAW akan masuk syurga, malah merupakan salah seorang pemimpin di syurga. Tentulah kedudukannya ini lebih afdhal daripada sebahagian sahabat RA yang lain, yang hanya dijamin masuk syurga tetapi tidak menjadi pemimpin di syurga.
  4. Imam Mahdi adalah sama taraf dengan Khalifah yang berempat. Mereka yang berempat itu adalah lebih utama daripada para sahabat RA yang lain. Maka Imam Mahdi juga tentulah lebih afdhal juga daripada sahabat RA, seperti yang diakui itu kerana beliau bertaraf khalifah juga.
  5. Pemerintahan Khalifah yang berempat sudah pun disebutkan oleh Nabi SAW, secara tersirat dan tersurat. Maknanya mereka adalah sebaik-baik sahabat daripada sekalian sahabat RA yang ada. Imam Mahdi juga ditunjukkan sebagai Khalifah, kali ini secara yang amat tersurat, iaitu jelas dan terang. Maka tentulah kedudukannya lebih afdhal daripada sebilangan besar sahabat RA yang lain. Para sahabat RA juga mengaku akan kelebihan Imam Mahdi ini berbanding diri mereka sendiri, kerana Imam Mahdi itu apabila zahir kelak, dan jika para sahabat RA masih hidup lagi (jika ada), tentulah para sahabat RA itu mahu tidak mahu, akan menjadi rakyat dan makmum kepada Imam Mahdi. Sedangkan Nabi Isa AS yang sudah bertaraf rasul yang Ulul Azmi itu pun menjadi makmum kepada Imam Mahdi, inikan pula para sahabat RA yang kedudukan mereka adalah lebih rendah daripada Nabi Isa AS. Penunjukan dan pelantikannya sebagai khalifah sudah diisytiharkan oleh Rasulullah SAW sendiri.
  6. Afdhal yang dimaksudkan di sini bukanlah keutamaan sebagai sahabat yang dapat bergaul dan berkumpul dengan Nabi SAW. Dari segi itu, memang sahabat RA adalah paling utama. Afdhal yang dimaksudkan oleh Imam Ibnu Sirin ini adalah dari segi keutamaan sebagai seorang pemimpin, keutamaan dari segi zamannya, pemerintahannya dan juga sebagai salah seorang ahli syurga. Itu sahaja. Keutamaan adalah berbeza daripada afdhal. Sila perhatikan perbezaannya baik-baik.
  7. Malah di kalangan Ahlulbait yang ada pun, memang Imam Mahdi adalah lebih utama daripada sekalian yang lain, kecuali yang disebutkan di dalam hadis ini. Mereka yang berenam itu lebih utama daripada Imam Mahdi, jika dilihat dari segi apa pun, kecuali dalam bab pemerintahan dan kemasyhuran
02033 3. Kelebihan Semasa Pemerintahannya
A. Dari Abu Hurairah RA berkata, Rasulullah SAW bersabda,
“Bumi akan mengeluarkan ketulan-ketulan emas dan perak dari dalam perutnya seperti tiang-tiang.” Sabdanya lagi, “Lalu seorang pencuri datang (dengan tujuan mahu mengambil harta itu) kemudian berkata (kepada dirinya), “Kerana mencuri inilah tanganku akan dipotong.” Pembunuh datang (dengan tujuan mahu mengambil harta itu) kemudian berkata, “Kerana mencuri inilah aku akan dibunuh.” Pemutus tali persaudaraan datang (dengan tujuan mahu mengambil harta itu) kemudian berkata, “Kerana mencuri inilah aku akan memutuskan lagi tali persaudaraanku.” Kemudian ketiga-tiga mereka meninggalkannya dan tidak mengambil sedikit pun daripadanya.”  (Ibnu Majah)
Terdapat terlalu banyak hadis dan riwayat yang menyebutkan Imam Mahdi akan mengeluarkan harta benda pada masa pemerintahannya dan hadis di atas adalah salah satu daripada sekian banyak hadis yang menceritakan hal yang demikian. Sebagai perbandingan, pada hari ini, jika ada orang mendengar emas tertanam di sekian-sekian tempat, pasti beribu-ribu orang akan mendatanginya, siang atau malam. Setiap orang akan cuba mendapatkan harta itu, walaupun hanya memperoleh sedikit. Ramai yang rela bersusah payah, malah sanggup mati semata-mata kerana mahu mendapatkannya. Contohnya ialah terjumpanya lombong emas di Rusila, Terengganu beberapa tahun dahulu.
Lebih teruk lagi, bukan sahaja emas yang tertanam diambil orang, bangkai kapal lama yang dibuat daripada kayu pun, berebut orang ramai mengambilnya untuk dibawa pulang. Jika difikirkan sekali, apalah gunanya kayu yang sudah reput itu, dan apakah nilainya kepada kita? Malah kadang-kadang besi buruk tertanam di belakang rumah pun disangka harta karun. Heboh sekampung bercerita tentang hal itu. Apa gunanya besi buruk yang sudah berkarat? Begitulah teruknya kemiskinan jiwa manusia umumnya pada hari ini.
02034 4. Orang Yang Hidup Pada Zaman Imam Mahdi Sangatlah Beruntung
A. Sabda Nabi SAW,
“Setiap umatku yang lahir pada kemudian akan diberikan pahala (sebanyak) 50 (kali pahala) orang sahabat.”
Hadis ini sebenarnya adalah merupakan penjelasan kepada ucapan yang dibuat oleh Imam Ibnu Sirin tadi. Di sini disebutkan pahala yang akan mereka terima, adalah 50 kali lebih banyak daripada apa yang diterima oleh para sahabat RA. Kenapa boleh terjadi yang demikian?
  1. Mereka adalah golongan yang beriman kepada Allah dan rasul-Nya sedangkan mereka tidak pernah melihat Nabi SAW. Maka patutlah mereka mendapat lebih banyak pahala daripada Allah.
  2. Mereka ditimpa kesusahan hanya semata-mata kerana mereka mempertahankan iman mereka itu tadi.
  3. Mereka tetap berpegang teguh dengan keyakinan dan pendirian itu, dan iman mereka tidak pernah berganjak. Dari segi logiknya, mereka memang layak untuk menerima lebih banyak pahala.
  4. Mereka terpaksa menanggung sendiri kesusahan dan kepayahan akibat mempertahankan iman, tanpa ada pembela yang akan membela mereka atau menyelamatkan mereka. Masing-masing terpaksa berjuang sendirian, menyelamatkan iman sendirian dan saling membela diri sendiri. Tidak ada rasul bersama-sama mereka. Rasul yang ada bersama mereka hanyalah ‘ajaran-ajaran’ yang jauh tertanam di dalam hati dan iman mereka yang teguh.
  5. Mereka ibarat anak yatim, tiada ‘berbapa’. Jika para sahabat dahulu, ada Rasulullah SAW yang akan membela mereka, sedangkan umat akhir zaman ini tiada lagi Rasulullah SAW yang akan membela mereka, kerana Rasulullah SAW sudah lama wafat.
Pahala yang dimaksudkan di sini, bukanlah dengan erti mereka lebih afdhal daripada sahabat RA. Pahala yang dimaksudkan itu adalah semata-mata pahala, dan itu tidaklah menjadi suatu sebab untuk membolehkan mereka mengatasi para sahabat RA. Jika pahala dijadikan ukuran, umat zaman dahulu lebih layak mendapat pahala yang lebih banyak daripada kita pada hari ini, yang rata-ratanya berumur pendek dan lemah dari segi tenaganya
02035 5. Kekuasaan Imam Mahdi Meliputi Seluruh Dunia
A. Sabda Nabi SAW,
"Al-Mahdi akan menguasai seluruh dunia sebagaimana yang pernah dilakukan oleh Zulkarnain dan Nabi Sulaiman AS.”
Disebutkan oleh Imam Syamsuddin Abu Abdillah al-Ansari al-Qurtubi di dalam kitabnya At-Tazkirah, (yang terjemahannya) kira-kira begini:
Diriwayatkan adalah orang-orang yang memerintah dunia ini ada empat orang: Dua orang mukmin dan dua orang kafir. Yang mukminnya ialah Sulaiman bin Daud dan Iskandar. Manakala yang kafirnya ialah Namrud dan Bukhtu Nasar. Dan pemerintah yang kelimanya adalah dari umat ini iaitu Al-Mahdi.
Ringkasnya, di antara pemerintah dunia yang diberi keupayaan untuk menguasai seluruh dunia, hanya seorang sahaja yang datang dari kalangan umat Nabi Muhammad SAW ini, iaitu Imam Mahdi. Dan penyempurnanya ialah Nabi Isa AS
02036 6. Beliau Adalah Khalifah yang Kedua Belas
A. Dari Jabir bin Samurah RA berkata, Rasulullah SAW bersabda,
“Setelah peninggalanku nanti akan ada dua belas orang Amir (Khalifah).” Jabir berkata, “Kemudian baginda bercakap sesuatu yang tidak kufahami, lalu aku bertanya kepada bapaku, lalu dia berkata, “Mereka semuanya dari golongan Quraisy.”       (At-Tarmizi)
B. Sabda Nabi SAW,
“Dunia tidak akan lenyap sehinggalah bangsa Arab diperintah oleh seorang lelaki dari kaum keluargaku, yang namanya menyamai namaku.”          (Abu Daud)
Hadis daripada Jabir RA di atas yang bertaraf hasan sahih telah dijadikan ‘alasan terkukuh’ oleh puak Syiah untuk menonjolkan Imam mereka sebagai orang yang dimaksudkan itu. Lalu, ekoran daripada itu, muncullah beberapa banyak ‘hadis’ lagi yang mendakwa bahawa yang dua belas orang itu sudah pun ditunjukkan oleh Nabi SAW akan orangnya satu persatu secara batang tubuh, tanpa khilaf dan terus-terang, disebutkan namanya dengan bin-binnya sekali.

Ahli-ahli hadis dan para sejarawan Islam juga gagal menjelaskan siapa yang dimaksudkan dengan angka dua belas itu, berdasarkan sejarah. Mereka gagal memahami maksud sebenar individu-individu berkenaan. Akhirnya tafsiran sebenar terhadap hadis ini terbiar begitu sahaja tanpa terhurai. Sehingga ke hari ini, tiada siapa yang berani menjelaskan siapa mereka itu dan bila berakhirnya yang kedua belas itu. Memang belum ada mana-mana ahli sejarah atau ahli hadis yang dapat membuat huraian tepat akan maksud angka dua belas itu.

Ruang kosong itu dapat dihidu dengan cepat oleh puak Syiah, lantas mereka mengisinya dengan dalil yang mutawatir, iaitu mutawatir dari segi banyaknya hadis mengenainya, bukan mutawatir dari segi makna yang sebenar di dalam ilmu hadis itu.

Salah seorangnya ialah Syeikh Sulaiman al-Balkhi yang menulis di dalam kitabnya yang terkenal itu, Yanabi’ul Mawaddah, muka surat 447, dalam mendakwakan Imam mereka, kira-kira begini:
“Hadis Imam Dua Belas tidak sesuai jika dimaksudkan dengan Khulafa ur-Rasyidin kerana mereka kurang daripada dua belas (orang). Dan juga tidak sesuai dengan khalifah-khalifah dari Bani Umaiyah kerana mereka lebih daripada dua belas (orang). Semua mereka adalah zalim kecuali (Khalifah) Umar bin Abdul Aziz, dan mereka bukan pula (dari) Bani Hasyim, kerana Nabi bersabda, “Semua mereka mestilah dari Bani Hasyim.” Dan ia tidak sesuai dengan khalifah-khalifah dari Bani Abbas, kerana mereka lebih dari dua belas (orang). Mereka juga menindas anak cucu Rasulullah dan melanggar perintah Al-Quran.

“Oleh itu, satu cara untuk menafsirkan hadis itu ialah dengan menerima bahawa dua belas Imam itu adalah dari Ahlulbait Rasulullah, kerana merekalah yang paling alim, paling takwa, mempunyai sifat-sifat yang paling baik, paling tinggi nasabnya dan lebih mulia pada sisi Allah. Ilmu-ilmu mereka diambil dari bapa-bapa mereka yang bersambung dengan datuk mereka iaitu Nabi Muhammad SAW.”
Demikian ulasan Syeikh Sulaiman al-Balkhi, seorang tokoh ulama terkemuka dalam mazhab Syiah, yang sama tinggi kedudukannya dengan Imam al-Bukhari bagi penganut Ahlus Sunnah wal Jamaah. Beliau mendakwahkan seluruh umat Islam dari semua mazhab agar menerima sahaja bulat-bulat pandangannya itu, tanpa perlu memikirkan benar atau tidaknya lagi. Dan kebetulan pula hingga ke hari ini, masih belum ada buku dari kalangan ulama Ahlus Sunnah yang mengupas secara mendalam pandangan Syeikh Sulaiman itu.
Lihatlah bagaimana mudahnya beliau menolak kepimpinan para Khulafa ur-Rasyidin, sedangkan mereka itu adalah para pemimpin yang sentiasa mendapat petunjuk, telah diredhai Allah, para penghulu di syurga kelak, dan sebaik-baik umat Islam yang ada di bawah kolong langit ini. Memang pun orang Syiah tidak mengiktiraf pemerintahan para Khulafa itu. Mengenai hadis yang didakwanya dari Nabi SAW, bagi kita Ahlus Sunnah, adalah hadis mauduk atau sangat palsu, tidak pernah diucapkan demikian oleh baginda SAW.
Dakwaan bahawa Imam mereka yang dua belas itu adalah orang dimaksudkan oleh hadis, adalah suatu yang menyalahi maksud hadis itu sendiri. Nabi SAW menyatakan bahawa mereka itu adalah pemerintah (Amir), bukan semata-mata Imam, dan dari keturunan Quraisy, tidak semata-mata dari Bani Hasyim. Imam dua belas yang didakwa Syiah itu tidak memenuhi kriteria hadis itu sendiri iaitu tidak semua mereka bertaraf Amir atau Khalifah yang memerintah umat Islam. Dari kalangan Imam Syiah yang dua belas itu, hanya Sayidina Ali KMW dan Sayidina al-Hasan RA yang pernah memegang jawatan sebagai Khalifah. Yang lain tidak diketahui oleh sejarah dunia bahawa mereka pernah menjadi Amir sepanjang hayat mereka.
Bagaimanapun, sebagai menjawab tulisan Syeikh Sulaiman al-Balkhi ini, sebuah kitab Ahlus Sunnah yang bernama Aqaid Nasafiyah menulis dengan katanya (terjemahannya) kira-kira begini:
“Selepas para nabi, yang paling afdhal di kalangan manusia ialah Abu Bakar as-Siddiq, kemudian Umar al-Faruq, kemudian Osman Zunnurain, kerana dia berkahwin dengan dua orang puteri baginda SAW, kemudian Ali, Radhiyallahu ‘Anhum.

“Khilafah mereka mengikut tertib ini, dan khilafah berlangsung selama 30 tahun, selepas itu timbul raja-raja dan amir-amir.

“Hendaklah imam muslimin itu zahir, bukan ghaib dinanti-nanti akan muncul, dan dia hendaklah dari kalangan orang-orang Quraisy; dan dia bukan hanya datang dari keturunan Bani Hasyim dan bukan hanya dari anak cucu Ali.

“Dan tidaklah syarat imam itu seseorang yang maksum, dan tidak disyaratkan dia itu merupakan peribadi terbaik pada sesuatu zaman itu.”
Huraian penulis: Yang dimaksudkan dengan angka dua belas itu, memang bukan daripada Khulafa ur-Rasyidin. Sebabnya mereka hanyalah berempat sahaja. Tetapi mereka tidaklah boleh ditolak begitu sahaja, kerana mereka memang orang pilihan Allah. Juga bukan dari kalangan Bani Umaiyah kerana jumlahnya lebih dari dua belas. Bukan juga dari kalangan Bani Abbasiyah kerana jumlah mereka adalah jauh lebih banyak. Bukan juga dari kalangan Imam-imam Syiah kerana mereka yang disebutkan itu tidak pernah menjadi Khalifah atau memegang tampuk pemerintahan seperti yang dikehendaki oleh hadis di atas. Jadi, siapakah yang sebenarnya dimaksudkan itu?

Sebenarnya, yang dimaksudkan oleh Nabi SAW itu adalah kalangan pemerintah yang adil, yang naik secara hak dan sepenuhnya memerintah berdasarkan Sunnah Nabi SAW. Mereka mestilah khalifah atau amir yang mendapat petunjuk dalam pemerintahannya. Mereka tidak semestinya dari satu turutan sahaja dan pada satu-satu zaman sahaja. Boleh jadi, mereka itu berjauh-jauh zaman antara seorang dengan yang lain, berbeza-beza keturunan Quraisynya dan berlain-lain dinasti pemerintahannya.

Nabi SAW tidak pernah menyatakan bahawa mereka mestilah datang dari satu-satu kelompok sahaja atau dari satu keturunan sahaja seperti yang lazim kita fahami. Quraisy yang dimaksudkan itu adalah umum, bukan semata-mata milik Bani Hasyim, atau milik Bani Abbas sahaja, atau milik Bani Umaiyah sahaja, atau milik puak Alawiyin sahaja, atau milik Bani Tamim sahaja, atau milik Bani ‘Adi sahaja.

Kesilapan ahli sejarah Islam ialah mereka terlalu dikongkong oleh pemerintah yang berdasarkan urutan naiknya, juga dikongkong oleh pemerintahan bani-bani, sehingga kerana itu, para Khulafa yang nyata-nyata amat adil itupun, turut terkeluar senarai daripada pemerintah yang disebutkan oleh baginda SAW. Akhirnya mereka menyerahkannya kepada Allah kerana mereka tidak mendapat petunjuk dari Allah dalam menentukan peribadi yang dimaksudkan oleh hadis itu. Kalau taraf hadis itu dijadikan ukuran, hadisnya memang sahih. Jadi, tiada siapa yang berani mendhaifkan hadis berkenaan.

Pemerintahan mereka adalah pemerintahan yang adil, kerana jika mereka itu tidak adil, mustahillah Nabi SAW akan menyebut atau memasukkan mereka ke dalam jumlah yang amat sedikit itu. Jika berdasarkan demikian, marilah kita nilai semula pemerintah-pemerintah berikut, yang dirasakan dapat memenuhi kriteria adil seperti yang dikehendaki.

Penulis memasukkan semua nama itu, kerana yang demikian itu ada disebutkan oleh hadis-hadis, atau sekurang-kurangnya oleh para sahabat RA, bukan sekadar andaian semata-mata. Maknanya, nama mereka dan naiknya sebagai pemerintah telah disebutkan oleh Nabi SAW dan para sahabat RA dalam keadaan tercerai-cerai, satu persatu dan hakikat inilah yang gagal ditangkap maksudnya oleh para ulama dan sejarawan Islam itu.
  1. Khalifah Abu Bakar as-Siddiq RA. Baginda adalah khalifah yang pertama dan ditunjuk oleh baginda SAW secara tersirat. Beliau adalah sebaik-baik umat Nabi Muhammad SAW sepanjang zaman. Datang dari keturunan Bani Tamim, iaitu dari kaum Quraisy. Naiknya sebagai pemerintah telah disebutkan oleh Nabi SAW secara umum, dan secara tersirat juga. Umurnya sama panjang dengan umur Nabi SAW.
  2. Khalifah Umar bin al-Khattab RA. Orang yang paling tinggi ilmu ketuhanannya di kalangan umat Islam dan merupakan Sahibul Zaman untuk zamannya. Datang dari Bani Adi, iaitu salah satu puak dari kaum Quraisy. Pelantikannya sebagai khalifah dibuat oleh sebaik-baik umat Muhammad SAW dan sudah dibayangkan oleh beberapa buah hadis. Umurnya juga sama panjang dengan umur Rasulullah SAW.
  3. Khalifah Osman bin Affan RA. Paling dermawan dan lembut hati kerana Allah. Datang dari Bani Umaiyah yang terkenal sebagai golongan pentadbir di kalangan puak Quraisy. Juga telah disebutkan naiknya sebagai pemerintah dan matinya sebagai syahid juga sudah disebutkan. Beliau adalah salah seorang yang dijamin syurga.
  4. Khalifah Ali bin Abi Talib KMW. Paling alim di kalangan umat Nabi Muhammad SAW. Sepupu Nabi SAW. Semestinyalah dari kaum Quraisy juga. Naiknya sebagai pemerintah memang sudah masyhur seantero alam, walaupun tanpa bantuan dari puak Syiah. Dari keturunan beliaulah lahirnya Imam Mahdi yang selalu disebut-sebut oleh orang ramai itu.
  5. Sayidina Hasan bin Ali RA. Amat minoriti sejarawan Islam yang memasukkan namanya sebagai Khulafa ur-Rasyidin kelima, selepas Sayidina Ali KMW. Tempoh pemerintahannya yang amat pendek itu menyebabkan namanya ‘terkeluar’ daripada senarai Khulafa ur-Rasyidin. Jika dimasukkan juga, masih tidak bercanggah dengan tempoh yang ditetapkan oleh hadis sahih yang menyatakan tempoh pemerintahan Khulafa ur-Rasyidin yang  selama 30 tahun itu.
  6. Sayidina Muawiyah bin Abu Sufian. Merupakan sahabat Nabi SAW, walaupun lambat Islamnya. Diangkat sebagai salah seorang penulis wahyu. Datang dari Bani Umaiyah. Dan Bani Umaiyah itu memang salah satu suku yang terkenal di kalangan kaum Quraisy. Naiknya sebagai khalifah sudah disebutkan oleh Nabi SAW secara tersurat di hadapannya sendiri dengan disaksikan oleh Ummu Habibah RA. Beliau adalah tokoh sejarah yang amat kontroversi dan ramai ahli sejarah yang ‘terluncur pena’ lalu mengutuknya dari segenap penjuru, sedangkan beliau adalah sahabat Nabi SAW juga. ‘Perangainya’ yang kurang dipersetujui oleh ahli sejarah sebenarnya adalah dari segi ijtihad politik sahaja, bukan dari segi agama. Ini perlu dibezakan dan diketahui baik-baik. Sayangnya, perkara inilah yang gagal diperhatikan dan gagal pula difahami oleh sejarawan sehingga mereka menerima sahaja riwayat-riwayat Syiah yang memburuk-buruk dan mengutuknya sehabis-habis hati.
  7. Sayidina Abdullah bin az-Zubair RA. Anak kepada Zubair bin Al-Awwam RA. Anak angkat kepada Ummul Mukminin Sayidatina Aisyah RA. Pemerintahannya cuma di Makkah tetapi naiknya sebagai pemerintah sudah disebutkan oleh para sahabat RA. Matinya sebagai syahid juga sudah disebutkan oleh mereka. Disayangkan, ramai ahli sejarah Islam dan pengkaji yang turut ‘terluncur pena’ dengan menyatakannya sebagai pemberontak kepada kerajaan Bani Umaiyah. Maka banyaklah riwayat batil mengenai dirinya diambil oleh para sarjana tanpa memeriksa betul tidaknya riwayat itu, dan tanpa mengira siapa peribadi yang mereka kutuk itu. Juga datang dari kalangan kaum Quraisy yang terkenal.
  8. Khalifah Umar bin Abdul Aziz. Lahir dari pertemuan dua khalifah berketurunan Quraisy iaitu dari keturunan Sayidina Umar al-Khattab RA yang datang dari suku Bani Adi dan dari keturunan Bani Umaiyah yang sedang memerintah ketika itu. Merupakan mujaddid kurun pertama, sekali gus yang memerintah. Itulah yang dikatakan sebagai Sahibul Zaman. Pemerintahannya memang adil walaupun hanya sekejap sahaja dan ini sudah tidak perlu dihuraikan lagi. Kealiman dan kewarakannya amat menakjubkan hati seluruh umat Islam, sejak dahulu hinggalah ke hari ini. Banyak jasanya yang masih diamalkan oleh seluruh umat Islam di serata dunia hingga ke hari ini, dan ini menjadikan beliau seorang khalifah dan ilmuwan sejati yang mengagumkan. Ahli-ahli sejarah tidak jemu-jemu mengorek rahsia hidupnya, dan rahsia kejayaannya, tetapi mereka masih tidak menemui apa-apa.
  9. Sultan Muhammad al-Fateh. Walaupun bangsa Turkinya tebal, namanya sudah dinyatakan oleh hadis-hadis yang menyebutkan pembuka Kota Konstantinopel adalah oleh sebaik-baik raja, tenteranya adalah sebaik-baik tentera dan rakyatnya adalah sebaik-baik rakyat. Dikatakan bahawa ibunya adalah datang dari keturunan Quraisy walaupun sudah agak jauh Quraisynya. Beliau adalah raja yang berjiwa sufi, amat taatkan perintah Allah dan amat tawakal kepada Allah, dari segi zahir dan batinnya.
  10. Syuaib bin Saleh at-Tamimi. Beliau adalah Pemuda dari Bani Tamim yang terkenal itu. Tidak syak lagi beliau adalah dari keturunan Quraisy kerana demikianlah yang disebutkan oleh hadis-hadis. Malah dikatakan beliau adalah datang dari keturunan Sayidina al-Hasan RA. Pemerintahannya adalah adil kerana beliau adalah pembuka jalan bagi naiknya pemerintahan Imam Mahdi. Beliau adalah Sahibul Zaman yang bongsu, iaitu penutup bagi sekalian Sahibul Zaman.
  11. Imam Mahdi, Muhammad bin Abdullah. Sebaik-baik manusia pada zamannya dan salah seorang yang dijamin syurga. Memang dari keturunan Ahlulbait kerana telah disahkan oleh hadis-hadis. Naiknya sebagai pemerintah sudah sah, tidak syak lagi, dan beliau amat berhak ke atas jawatan itu atas banyak sebab.
  12. Al-Qahtani, pengganti Imam Mahdi selepas kewafatan Imam Mahdi kelak. Pelantikannya sebagai Khalifah sudah disebutkan di dalam hadis-hadis dan disebutkan juga bahawa pemerintahannya tidak jauh berbeza daripada pemerintahan Imam Mahdi. Pembantu kanannya adalah al-Makhzumi, dari keturunan Bani Tamim juga, sama seperti Imam Mahdi yang pembantu kanannya adalah Syuaib bin Saleh, Pemuda Bani Tamim.
Perlu diingat, Nabi Isa AS tidak boleh dimasukkan di sini kerana beliau bukan dari keturunan Arab, apatah lagi Quraisy. Nabi Isa AS adalah dari keturunan Bani Israel. Namun pemerintahannya memang adil, dan ini sudah dijamin oleh Allah dan baginda SAW sendiri. Sebabnya, Nabi Isa AS adalah seorang yang bertaraf rasul, bukan manusia biasa, malah adalah salah seorang Ulul Azmi, yang nyata amat tinggi tarafnya berbanding rasul-rasul biasa yang lain.
02037 7. Imam Mahdi Menjadi Pemimpin Nabi Isa AS
A. Sabda Nabi SAW,
“Apakah yang akan kamu lakukan semasa Isa bin Maryam AS turun ke dunia sedangkan Imam kamu adalah dari kalangan kamu?”     (Al-Bukhari & Muslim)
B. Sabda Nabi SAW,
“Apakah keadaan kamu jika Isa bin Maryam AS turun sedangkan pemimpin kamu adalah dari kalangan kamu?”         (Al-Bukhari)
Ini adalah suatu penghormatan kepada Imam Mahdi kerana Nabi Isa AS menjadi salah seorang daripada rakyat yang dipimpinnya. Nabi Isa AS memang amat dihormati oleh sekalian umat Islam apabila turunnya nanti. Ini tidaklah hairan kerana baginda adalah seorang yang bertaraf rasul, malah rasul yang Ulul Azmi, pernah diturunkan kepadanya Kitab Injil, turunnya membawa mukjizat yang selama ini hanya didengar oleh kita sahaja, orang yang maksum zahir dan batin. Namanya dan nama ibunya diabadikan di dalam Kitab Suci al-Quran.
Malah Nabi Isa AS yang turun itu memperakukan kepimpinan Imam Mahdi dan taat pula kepada segala perintah Imam Mahdi, selaku ketuanya juga. Inilah yang dikatakan sebagai suatu penghormatan, bukan sahaja kepada Imam Mahdi sendiri, malah kepada seluruh umat ini.
Jika Rasulullah SAW, ketika peristiwa Israk dan Mikraj, sembahyang di Masjidilaqsa dilantik menjadi imam sekalian rasul dan nabi serta malaikat, itu tidaklah menghairankan sangat kerana Nabi SAW adalah penghulu sekalian mereka, dan dari kalangan rasul juga, bukan dari kalangan orang biasa. Imam Mahdi adalah dari kalangan orang biasa (bukan bertaraf nabi dan rasul), yang menjadi pemimpin kepada seseorang yang bertaraf rasul. Inilah keistimewaan Imam Mahdi yang paling besar bagi dirinya.
Lazimnya rasul pada setiap zaman, rasul itulah yang menjadi pemimpin manusia, apatah lagi rasul itu bertaraf Ulul Azmi, kerana memang rasul itu ditugaskan memimpin manusia, zahir dan batin, agama dan dunianya, mengenalkan dan membawa manusia kepada Tuhan yang Maha Esa. Imam Mahdi pada ketika itu memimpin manusia dari segi zahir dan batin, agama dan dunianya, manakala Nabi Isa AS berada di sisinya sebagai pembantu kanan dan sekali gus rakyatnya. Dari segi inilah yang dikatakan istimewa itu.
8. Imam Mahdi Adalah Imam Ghaib
A. Sabda Nabi SAW,
“Allah akan menzahirkan dari persembunyiannya, al-Mahdi yang (berasal) daripada kaum kerabatku sejurus sebelum tibanya hari kiamat, walaupun umur dunia ini hanya tinggal sehari sahaja. Dia akan memenuhkan bumi ini dengan keadilan dan kesaksamaan dan akan menghapuskan kezaliman dan penindasan.”    (Imam Ahmad)
Mungkin didorong oleh hadis inilah yang menyebabkan puak Syiah dengan penuh yakin dan berani mendakwa bahawa Imam Mahdi mereka adalah Imam Ghaib, yang ghaib sejak kecil, sewaktu umurnya enam tahun (atau sembilan tahun) di sebuah gua di Samarra, utara Iraq hari ini.

Sebenarnya yang dikatakan ghaib itu ialah Imam Mahdi itu berada di alam wali iaitu sebuah alam yang dikhususkan untuk para wali berehat sejenak daripada kelesuan beribadat dan kepenatan bermujahadah. Imam Mahdi berada di sana dan mentadbir sekalian alam ini menerusi cara ghaibnya, secara kerohanian, di samping mempertingkatkan mutu ibadatnya kepada Allah. Beliau bukannya ghaib menurut cara ghaibnya Imam Mahdi orang-orang Syiah itu.

Apabila tiba masanya untuk beliau keluar, barulah dizahirkannya dirinya, iaitu mula-mula dilihat di Madinah, kemudian di Makkah, kemudian di Madinah kembali, sebelum seterusnya di Makkah semula, lalu dibaiat oleh orang ramai, pasukan tenteranya, para wali, jemaah haji dan penduduk dari serata dunia.

Hal ini sebenarnya amat sukar untuk diterima oleh para sarjana Islam, cendekiawan dan orang ramai. Hanya orang yang diberikan hidayah oleh Allah, para wali sendiri, para siddiqin dan pejuang kebenaran sahaja yang boleh dan mampu menerima kenyataan ini. Penolakan ini disebabkan mereka tidak mempunyai asas tasawuf yang baik yang membolehkan mereka menerima adanya alam wali yang ghaib itu. Mereka juga lebih mementingkan logik akal semata-mata. Maka kisah ini dimasukkan ke dalam kisah-kisah dongeng sahaja oleh mereka.

Memanglah akal kita yang ‘sihat’ ini akan menolak mentah-mentah sesuatu yang di luar kemampuan akal kita untuk menerimanya. Juga kerana hal ini tidak pernah diberitahu oleh syarak secara tersurat, sama ada melalui firman-Nya ataupun sabda Nabi-Nya. Hanya orang yang diberikan hidayah sahaja yang mampu menerimanya dengan tenang.
02039 9. Kekhalifahan Imam Mahdi Sudah Ditunjuk Oleh Nabi SAW
A. Dari Abu Said al-Khudri RA dari Nabi SAW bersabda,
“Di antara khalifah kamu adalah seorang khalifah yang mencurahkan harta-benda tanpa mengira-ngira.” ( Muslim)
B. Dari Abu Hurairah RA berkata, Nabi SAW bersabda,
“Jika umur dunia ini tidak tinggal melainkan sehari sahaja, pasti akan dipanjangkan oleh Allah hari itu sehingga dia memerintah.”        (At-Tarmizi)
C. Ibrahim bin Maisarah RH berkata,
“Aku bertanya kepada Tawus, “Adakah Umar bin Abdul Aziz itu Al-Mahdi?” Jawabnya, “Dia seorang (khalifah) yang mendapat petunjuk, tetapi bukannya Al-Mahdi kerana dia tidak memenuhi semua ciri-ciri keadilan.”
Salah satu syarat untuk membuktikan seseorang itu adalah pemimpin yang benar-benar adil dan dipilih oleh Allah untuk memerintah manusia pada zamannya ialah naiknya sebagai pemimpin sudah pun ditunjuk oleh orang yang terdahulu daripadanya, sama ada oleh Rasulullah SAW sendiri, oleh para ulama terdahulunya atau para wali yang ada sejenak sebelum mereka lahir lagi.
Itulah tanda yang jelas bahawa pemimpin berkenaan adalah orang yang dilantik oleh Allah. Setiap orang Allah, kelahirannya sahaja sudah disebutkan oleh orang-orang yang terdahulu daripadanya. Dalam kes Imam Mahdi ini, orang yang menunjukkan kemunculannya adalah Rasulullah SAW sendiri. Oleh itu, naiknya Imam Mahdi sebagai pemimpin umat pada zaman ini adalah lebih aula daripada naiknya mana-mana pemimpin melalui cara pilihan raya atau mana-mana sistem yang sedang kita gunakan.
Mana lebih patut kita dahulukan, melantik pemimpin yang dipilih oleh majoriti rakyatkah atau melantik pemimpin yang dipilih oleh Allah SWT dan Rasulullah SAW, nabi kita? Jawapannya ada pada kita dan semua orang pun tahu. Jadi, apa yang mahu kita tunggu lagi?
02040 10. Pemimpin Wajib Menzahirkan Keramat
A. Kata sahabat RA,
“Ada tanda-tanda yang diajukan kepada diri al-Mahdi. Lantas dia memberikan isyarat kepada burung, maka burung itu segera hinggap di atas tangannya. Kemudian dia memacakkan tongkatnya ke tanah, maka tongkatnya itu menghijau dan berdaun.”
Keramat atau dalam bahasa Arabnya, karomah, bermaksud sesuatu yang luar biasa yang zahir dari tangan para wali Allah, dengan pintanya atau tidak, yang tidak didapati dengan dipelajari, tidak dapat pula diajarkan, dan tidak dapat dikalahkan, iaitu sebagai suatu kemuliaan dari Allah untuk para hamba-Nya yang Dia redhai. Taraf keramat adalah lebih rendah daripada mukjizat para rasul.

Tambahan lagi, adalah sesuatu yang jarang diketahui oleh kebanyakan umat Islam ialah bahawa keramat juga boleh berlaku kepada orang awam (umum muslimin) yang sedang berusaha mencapai jalan Ilahi, iaitu yang istiqamah dalam ibadatnya dan istiqamah menjauhi dosa. Dan sebenarnya itulah jenis keramat yang paling besar dan paling aula pada sisi Allah.

Hukum berlakunya keramat itu harus sahaja, iaitu jika berlaku atau tidak berlaku, sama sahaja. Kita juga boleh percaya kepada keramat atau tidak percaya. Tidak ada sebarang ketetapan. Zahirnya keramat itu pula dengan bermacam-macam tujuan dan dengan pelbagai cara, serta keluar dalam pelbagai bentuk yang tidak dapat difikirkan oleh mana-mana manusia.

Keramat boleh berlaku kepada mana-mana wali-Nya, sama ada ia berseorangan mahupun secara berkumpulan. Bagi kebanyakan wali, keramat boleh berlaku sama ada ketika dia masih belum lahir ke dunia ini lagi, semasa kecilnya, semasa besarnya, dan boleh berlaku setelah kematiannya, walaupun telah lama matinya. Mereka boleh menolong mana-mana mukminin yang terdesak, kecemasan, dizalimi musuh, atau diperangi oleh kaum kuffar.

Bagi wali yang berwatak nabi, keramat yang dikurniakan kepada mereka adalah harus sahaja, dan menunjukkannya kepada orang ramai juga adalah harus sahaja. Tetapi bagi para wali yang memegang tampuk kuasa dan memerintah sesebuah negara Islam, menzahirkan keramat di hadapan rakyat adalah suatu yang wajib pula, kerana mereka ini para wali yang berwatak rasul, bukan berwatak nabi.

Sebab itulah Imam Mahdi apabila zahir sebagai pemerintah kelak, akan dibekalkan dengan pelbagai keramat, sesuai dengan kedudukannya sebagai orang besar Allah, yang tinggi kedudukannya pada sisi Allah dan besar pula peranannya kepada seluruh umat Islam.
02041 11. Mampu Mengumpulkan Semula Semua Bani Hasyim
A. Kata tabiin RH,
“As-Sufyani mengirimkan askarnya ke Madinah dan menyuruh agar membunuh setiap keturunan Bani Hasyim (yang dapat dijumpai), kemudian mereka menyerangnya. Bani Hasyim akhirnya bercerai-berai di (merata-rata) padang pasir dan di gunung-gunung. Apabila al-Mahdi muncul, mereka ini akan dikumpulkan semula.”
As-Sufyani yang dimaksudkan di sini adalah puak Badwi Bani Saud yang berfahaman Wahabi. Mereka menghantar pasukan tenteranya dari kawasan padang pasir Riyadh untuk menyerbu Madinah dan Makkah. Kuasa pemerintahan autonomi di Makkah dan Madinah, dua buah kota suci Islam itu dirampas daripada kekuasaan Syarif Makkah yang berketurunan Bani Hasyim, lalu mengambil alih kuasa di Hijaz termasuk Makkah dan Madinah.
Antara arahan yang diberi oleh pemimpin Bani Saud itu ialah agar dibunuh sahaja keturunan Syarif Makkah dan Madinah, mana yang terjumpa oleh mereka. Jika lari, kejar dan tangkap, kemudian dihukum bunuh. Kerana itu, seluruh Bani Hasyim lari bercerai-berai ke merata pelosok kawasan yang dapat melindungi mereka daripada kejaran puak Wahabi itu.
Ada yang lari ke kawasan yang selamat di sekitar Tanah Arab itu juga seperti ke Yaman, Afrika, Jordan dan  negara-negara Teluk. Itulah yang dimaksudkan dengan padang pasir. Ada yang lari lebih jauh lagi seperti ke India, China, Eropah dan Asia Tenggara. Itulah yang dimaksudkan dengan gunung-gunung.
Setelah Imam Mahdi muncul nanti, semua keturunan Bani Hasyim yang berpecah-pecah dan bercerai-berai itu akan keluar beramai-ramai lalu dikumpulkan semula kerana pada masa itu, tidak ada lagi ketakutan bagi mereka, dan semua keturunan Ahlulbait ketika itu sudah mendapat pembelaan sepenuhnya. Mereka juga akan dihormati semula oleh seluruh umat Islam seperti yang sepatutnya dilakukan, dan pernah dilakukan sebelum ini. Pemimpin manusia pun ketika itu adalah dari kalangan Ahlulbait sendiri, iaitu Imam Mahdi AS dan Syuaib bin Saleh at-Tamimi.  Manusia pun sudah tidak berhajat lagi berperang antara sesama umat Islam, melainkan berjihad pada jalan Allah sahaja. Apatah lagi mahu memerangi keturunan Ahlulbait.
Amat benarlah ucapan tabiin berkenaan
02042 12. Imam Mahdi Adalah Penghulu Sekalian Mujaddid
A. Sabda Nabi SAW,
“Sesungguhnya Allah membangkitkan bagi umat ini, seorang mujaddid yang akan membaharui agamanya pada setiap awal seratus tahun.”      (Al-Hakim, al-Baihaqi, Ibnu Hajar, Abu Daud & al-Iraqi)
Telah diutuskan kepada umat Islam seramai tiga belas orang mujaddid. Mereka ini adalah pemimpin manusia yang berwatak nabi kecuali Khalifah Umar bin Abdul Aziz, yang sekali gus merangkap sebagai pemerintah. Tetapi di antara mereka ini, tidak seorang pun yang dapat kita katakan sebagai ketua mujaddid, dan tidak ada seorang pun yang melantik atau mengisytiharkan mana-mana antara mereka itu sebagai ketua mujaddid.
Oleh yang demikian, ketua mujaddid itu adalah orang yang paling awal sebutnya tetapi paling akhir keluar dan dilantik sebagai mujaddid, seperti halnya penghulu rasul-rasul adalah yang terawal sebutnya tetapi yang terakhir keluarnya di kalangan mereka. Ketua mujaddid ini adalah seorang yang sangat istimewa, seperti juga halnya Nabi Muhammad SAW adalah rasul yang sangat istimewa berbanding sekalian rasul yang pernah diutuskan kepada manusia. Dan sangat benarlah bahawa Imam Mahdi itu adalah penghulu sekalian mujaddid, sekali gus merupakan juga penghulu Sahibul Zaman bagi umat ini.
02043 13. Orang Quraisy Adalah Khalifah, Pemimpin Manusia
A. Abdullah bin al-Huzail berkata,
“Ada sekumpulan orang dari kaum Rabiah berada di sisi Amru bin al-As, lalu salah seorang dari golongan Bakar bin Wail berkata, “Hendaklah golongan Quraisy berhenti (dari melakukan kezaliman, fasik dan derhaka semasa memerintah) atau Allah benar-benar akan menyerahkan urusan ini (pemerintahan) kepada (majoriti) bangsa Arab selain mereka.” Kemudian Amru bin al-As berkata, “Kamu berdusta. Aku mendengar Rasulullah SAW bersabda, “Golongan Quraisy adalah pemimpin manusia dalam kebaikan (Islam) dan keburukan (Jahiliyah) sampai hari kiamat.”                  (At-Tarmizi)
B. Daripada Jabir bin Samurah RA, katanya, Rasulullah SAW bersabda,
"Agama ini akan terus berkuasa sehingga naik memerintah kamu seramai dua belas orang Amir (Khalifah), dan setiap manusia amat mencintai setiap mereka itu.” Kemudian aku mendengar Nabi SAW menyebutkan sesuatu yang aku tidak berapa jelas lalu aku bertanya kepada bapaku, “Apa yang baginda sebutkan?” Jawabnya, “Mereka semua adalah dari kaum Quraisy.”         (Abu Daud)
Hal ini sebenarnya telah pun disebutkan oleh baginda SAW dengan amat jelas. Walaupun pada zahirnya mereka bukanlah pemerintah yang terbaik, urusan agama dan umat ini akan tetap terbela selagi yang memerintah itu adalah dari kalangan kaum Quraisy. Hal ini sememangnya telah menjadi suatu sunnah bagi pemerintahan umat ini. Apabila hak pemerintahan itu dirampas daripada mereka, maka Islam pun turut dirampas oleh musuh dan menjadi semakin lemah.

Apabila mereka dijauhkan dari urusan pemerintahan oleh umat Islam, maka mereka pun dijauhkan pula daripada rahmat dan pertolongan-Nya. Apabila mereka membiarkan kaum Quraisy ini dari urusan pemerintahan, maka Allah pun akan membiarkan pula umat Islam daripada pembelaan-Nya, dan apabila umat Islam melupakan kaum Quraisy ini, maka Allah lupakan mereka dan membiarkan mereka dibantai oleh pihak musuh. Itulah yang sedang berlaku pada hari ini di seluruh dunia Islam.

Apa yang berlaku hari ini menjelaskan lagi kebenaran hadis di atas. Kaum Quraisy bukan sahaja tidak diberikan apa-apa jawatan dalam pentadbiran, malah ramai yang dihalau keluar dari tanah tumpah darah mereka. Akhirnya mereka terpaksa merantau membawa diri, untuk mengelakkan tekanan dan penyeksaan dari pihak berkuasa yang memerintah negara mereka. Segala jasa dan sumbangan mereka kepada dunia Islam sejak dahulu dipejamkan mata sahaja oleh semua pemerintah, terutama pada hari ini, seolah-olahnya puak Quraisy tidak pernah berjasa apa-apa pun kepada dunia Islam sebelum ini. Yang lebih teruk, ada kalangan umat Islam yang terpengaruh dengan dakyah pihak kafir Barat dengan beranggapan bahawa orang-orang Arab, termasuklah puak Quraisy adalah puak yang ganas dan militan dalam tindakan, dan terburu-buru dalam setiap tindakan mereka.

Pemimpin-pemimpin yang ada hari ini merasakan mereka cukup layak untuk memerintah dunia, dan bangsa Quraisy tidak cukup layak untuk memerintah. Mereka seperti terlupa bahawa Rasulullah SAW sudah  menyebutkan kelebihan bangsa Quraisy  dalam soal pemerintahan dan Islam. Mereka juga seolah-olah tidak pernah tahu bahawa di dalam al-Quran sendiri ada satu surah yang dinamakan sempena nama bangsa Quraisy. Kelebihan bangsa Quraisy seperti inilah yang dilupakan oleh para pemerintah, dan para ulamanya pula seperti tidak tahu-menahu tentang ada satu surah di dalam al-Quran. Kalau tahu pun, huraian dan tafsirannya mereka tidak berapa tahu.

Imam Ahmad bin Hanbal RH dalam kitab musnadnya meriwayatkan hadis berikut, yang secara langsung menyebutkan kepentingan kaum Quraisy dijadikan pemimpin umat Islam.
“Para pemimpin itu adalah daripada suku Quraisy. Sesungguhnya mereka mempunyai hak ke atas kamu dan kamu juga mempunyai hak yang sama ke atas mereka. Selagi mereka mengasihani kamu, maka kasihanilah mereka. Jika kamu berjanji dengan mereka, tepatilah (janji itu) dan jika menghukum, berlaku adillah. Maka jika mereka tidak berbuat hal yang demikian dari kamu, maka laknat Allahlah ke atasnya, para malaikat dan manusia sekaliannya.” (Imam Ahmad)
Selain itu, Abu Hurairah RA berkata, Rasulullah SAW bersabda,
“Manusia itu (hendaklah) mengikut orang-orang Quraisy dalam urusan pemerintahan. Setiap orang Islam hendaklah mengikut (pemimpin) yang Islam di kalangan mereka dan orang-orang kafirnya mengikut (pemimpin) yang kafir juga di kalangan mereka.”          (Al-Bukhari)
Muawiyah bin Abi Sufian RA berkata, Rasulullah SAW bersabda,
“Orang-orang Quraisy adalah pemimpin manusia, dalam hal kebaikan mahupun dalam hal keburukan sampailah ke hari kiamat.”          (At-Tarmizi)
Hadis-hadis ini dan banyak lagi yang tidak dimasukkan di sini, menunjukkan perlunya seorang pemimpin yang berketurunan Quraisy untuk membawa umat Islam ke mercu kegemilangan, seperti yang pernah berlaku pada zaman Nabi SAW dan zaman Khulafa ur-Rasyidin dahulu. Hadis-hadis di atas tidak menafikan hadis-hadis lain yang menyebut bahawa orang bukan Quraisy pun boleh memerintah. Perlu difahami betul-betul bahawa kepemimpinan orang yang bukan Quraisy adalah untuk urusan yang bukan bersifat keimanan tulen seperti pada zaman Rasul dahulu. Mereka ini tetap sah sebagai pemimpin, cuma Islam tidak menjamin bahawa pemimpin bukan Arab ini akan mampu memerintah dengan penuh adil dan mendapat petunjuk Allah.

Dalam hal ini, ada beberapa buah hadis yang menyebutkan keharusan mengangkat orang yang bukan Arab Quraisy sebagai pemimpin, antaranya adalah,

A. Sabda Nabi SAW,
“Kamu semua dengarlah dan taatilah walaupun yang memimpin kamu itu seorang hamba Habsyi, seolah-olah di atas kepalanya ada wangian kasturi.”         (Al-Bukhari)
B. Kata Sayidina Umar RA,
“Sekiranya Salim, hamba Abu Huzaifah masih hidup, pasti akan kuangkatkannya sebagai pemimpin, kerana aku takut datang kepadaku tuduhan orang.”     (Imam Ahmad)
02044 14. Manusia Hidup Sangat Aman
A. Kata tabiin RH,
“Panglima perang al-Mahdi adalah orang yang paling terpilih. Penolong dan pembaiat al-Mahdi adalah penduduk Kufah, Yaman dan para Wali Abdal  dari Syam. Yang berada di hadapan al-Mahdi adalah Jibril dan Mikail. Dia sangat dicintai oleh makhluk, kepemimpinannya mampu menyelesaikan masalah bencana yang sedang menjadi-jadi, penduduk bumi berasa aman tenteram sehinggakan lima orang wanita dapat melakukan ibadat haji dengan (penuh aman) tanpa seorang pun muhrim (yang mengawal). Mereka tidak berasa takut (terhadap apa pun sepanjang perjalanan dan semasa mengerjakan haji) melainkan kepada Allah.”
Ucapan tabiin ini menceritakan dengan jelas beberapa perkara mengenai Imam Mahdi dan keadilan pemerintahannya, yang antaranya  adalah seperti berikut:
  1. Perakuan daripada Nabi SAW sendiri bahawa pemimpin perang Imam Mahdi adalah dari kalangan orang-orang yang amat terpilih, seperti terpilihnya para sahabat RA dahulu semasa Perang Badar Kubra. Hal ini diakui sendiri oleh Rasulullah SAW, rasul kita yang amat dicintai itu. Mereka ini sanggup menentang arus jahiliyah yang amat dahsyat melanda seluruh dunia, sedangkan jumlah mereka amatlah sedikit, cuma 314 orang sahaja, sedangkan jumlah seluruh manusia di dunia pada hari ini mencecah angka berbilion-bilion.
  2. Penolong Imam Mahdi adalah yang seramai tiga ratus empat belas orang, yang dipanggil Al-Ikhwan. Dari kalangan Ikhwan ini, empat puluh orang daripadanya dipilih sebagai pemimpin, dipanggil sebagai Ar-Rufaqak. Dari kalangan Ar-Rufaqak itu, ada dua puluh lima orang lagi yang lebih terpilih, dipanggil At-Talakan. Dari kalangan At-Talakan itu, terpilih lagi sepuluh orang yang paling utama di kalangan Ikhwan itu, yang dipanggil Al-Hawariy. Mereka ini semuanya akan membaiat Imam Mahdi sebagai orang kanannya. Mereka datang dari ‘Kufah’, iaitu dari Timur, bukan Kufah sebenar yang berada di Iraq itu. Dikatakan Kufah kerana mereka sebelum datang ke Makkah, singgah dan berehat di Kufah seketika, serta berperang dengan tentera as-Sufyani di sekitar Kufah. Maka kerana itu, mereka pun dipanggil oleh hadis Rasulullah SAW sebagai ‘Penduduk Kufah.’
  3. Pembaiatnya adalah juga penduduk Yaman, iaitu yang datang dari sebelah utara Afrika. Juga para wali abdal yang datang dari Syam, jumlahnya empat puluh orang lelaki dan empat puluh orang wanita.
  4. Malaikat Jibril dan Mikail turut berada bersama-sama dengan Imam Mahdi, membantunya melaksanakan hukum-hukum Islam, memerangi musuh-musuh Islam dan melawan Dajjal. Malaikat Jibril akan sentiasa berada di kanan Imam Mahdi manakala malaikat Mikail akan sentiasa berada di sebelah kiri Imam Mahdi. Kedua-duanya sentiasa membantu Imam Mahdi atas perintah daripada Allah SWT sendiri.
  5. Imam Mahdi sangat dicintai oleh sekalian makhluk di bumi dan di langit termasuk para malaikat dan haiwan. Tidak ada suatu pun makhluk yang bernyawa di atas muka bumi ini, melainkan semuanya mencintai Imam Mahdi. Hanyalah orang-orang munafik, orang-orang Yahudi, iblis, syaitan-syaitan dan jin-jin kafir sahaja yang tidak menyukai Imam Mahdi.
  6. Bumi menjadi aman, keberkatan dipulihkan dan hidup penuh aman.
  7. Tiada lagi ketakutan kerana manusia secara lazimnya ketika itu sudah menjadi orang yang baik-baik dan sangat taat kepada Allah. Mereka juga amat takutkan azab neraka di akhirat kelak.
02046 F. Keadaan Dunia Sebelum Beliau Dizahirkan - 1. Dunia Diperintah oleh Bukan Orang Quraisy
A. Abu Hurairah RA berkata, Rasulullah SAW bersabda,
“Malam dan siang tidak berlalu (kiamat tidak akan datang) sehingga seorang hamba sahaya menjadi pemimpin manusia yang dipanggil Jahjah.”   (At-Tarmizi)
Pada hari ini, orang Quraisy tidak lagi dijadikan pemimpin mereka oleh umat Islam, termasuklah tidak langsung dijadikan pemimpin agama. Maksud hadis ini ialah di Tanah Arab sendiri. Manusia juga sibuk menjadikan orang lain sebagai ketua dan pemimpin mereka. Ramai yang menjadi pemimpin hari ini adalah datang dari golongan orang bawahan atau bukan dari golongan pentadbir yang selayaknya seperti:
  1. Bukan dari anak-anak bangsawan kaum Quraisy.
  2. Bukan juga dari kalangan orang-orang biasa kaum Quraisy.
  3. Datang dari kalangan anak-anak hamba sahaya.
  4. Datang dari golongan bawahan seperti anak-anak buruh kasar, kuli dan sebagainya.
  5. Datang dari golongan yang keturunannya tidak pernah menjadi pemerintah atau ketua.
  6. Datang dari keturunan yang rendah akhlaknya dan rendah pemikirannya.
  7. Datang dari keturunan orang-orang yang rendah agamanya dan rendah pula penghayatan agamanya.
Berdasarkan sejarah, memang sejak beberapa lama dahulu pun memang telah ada golongan hamba yang menjadi pemerintah umat Islam, begitu juga golongan yang berasal dari golongan bawahan.
Selain itu, mereka juga memakai bermacam-macam gelaran untuk menunjukkan kebesaran dan kemuliaan yang sedang dikecapinya. Jahjah di sini bermaksud gelaran yang mulia bagi mereka itu. Sesiapa yang datang berjumpa dengan mereka, hendaklah memanggil atau menyapanya dengan gelaran kebesaran itu. Jika tidak demikian, permintaan orang itu tidak akan dilayannya. Jika di Malaysia sekarang ini, jika seseorang itu tidak mendapat pingat yang membawa gelaran di hadapan namanya, menjadi suatu keganjilan pada mata masyarakat. Lihatlah para menterinya, semuanya mempunyai pangkat yang dikurniakan oleh mana-mana sultan atau raja
02047 2. Keadaan Dunia Yang Huru-hara
A. Abu Said al-Khudri RA berkata, Rasulullah SAW bersabda,
“Dunia ini akan dipenuhi oleh kezaliman dan penyelewengan. Ketika itulah seorang lelaki dari kaum kerabatku akan muncul dan memerintah dunia. Dia akan memenuhkan bumi ini dengan keadilan dan kesaksamaan, (tempoh pemerintahannya) selama tujuh atau sembilan tahun.”     (Imam Ahmad)
Huru-hara yang dimaksudkan di sini bukanlah semata-mata peperangan. Huru-hara akibat kerosakan akhlak adalah lebih teruk lagi, dan berpanjangan pula. Sebab itulah dikatakan huru-hara, bukan peperangan. Semua ini berlaku akibat manusianya sudah tidak mengenal Tuhan, tidak sayang kepada Tuhan, meninggalkan Tuhan, sangat haloba akan dunia yang sementara ini, mengejar dunia sungguh-sungguh, berebut-rebutkan dunia ini, dan sangat takutkan mati terutama mati syahid. Kesan daripada itu, timbullah pelbagai masalah dalam diri dan masyarakat, seterusnya merebak ke seluruh negara, dan akhirnya sampai ke seluruh dunia. Dan Allah SWT yang Maha Penyayang tidak akan membiarkan hal ini berterusan. Ketika manusia sedang teruk hanyut itulah diturunkan orang-Nya untuk memulihkan kemanusiaan yang telah hilang, dan mengembalikan semula manusia kepada Tuhan.
Imam Mahdi adalah seorang pemimpin yang berjiwa tauhid kepada Allah SWT. Pemimpin yang sebenar sepatutnya adalah pemimpin yang paling bertakwa kepada Allah SWT berbanding dengan rakyatnya kerana melalui seorang pemimpin yang bertakwa sahajalah pertolongan Allah akan diturunkan secara terus kepada pemimpin berkenaan, seluruh negara dan seluruh rakyat yang berada di bawah pemerintahannya. Rakyat akan terasa benar betapa nikmatnya duduk bernaung di bawah seorang pemimpin yang amat bertakwa.
Seorang pemimpin yang bertakwa juga akan menyebabkan seluruh rakyatnya berusaha mempertingkatkan taraf takwa masing-masing kepada Allah. Ini mudah difahami kerana mereka sudah mendapat contoh yang benar-benar dapat diikuti secara realiti, bukan semata-mata cakap-cakap, kempen-kempen atau slogan-slogan sahaja. Perbandingan paling mudah ialah pada hari ini para pemimpinnya (di mana-mana jua di seluruh dunia) sibuk mencari dan mengumpulkan harta benda sebanyak-banyaknya, maka rakyat jelata juga kita lihat sibuk mencari dan mengumpul harta benda sebanyak-banyaknya. Itulah yang berlaku pada hari ini dan dapat kita saksikan di mana-mana pun dan pada bangsa mana pun.

Seorang pemimpin yang bertakwa akan dimampukan membawa keamanan dan kesejahteraan kepada seluruh rakyatnya. Apabila sang pemimpinnya sendiri adalah orang yang paling baik akhlaknya, maka rakyatnya juga akan berusaha menjadikan diri mereka sebagai orang-orang yang bertakwa. Jika tidak pun mereka akan menjadi orang-orang yang soleh dari segi amalan dan akhlaknya. Paling-paling kurang pun mereka akan menjadi orang-orang Islam yang baik-baik akhlaknya dan tidak akan menimbulkan sebarang masalah kepada negara dan pemimpin yang memerintah mereka. Masalah sosial yang sedang kronik melanda seluruh negara dan rantau juga akan menjunam grafnya hingga ke taraf zero percent hanya dalam masa yang amat singkat.

Ini semua boleh berlaku dan akan berlaku dikeranakan pemimpinnya adalah orang yang paling baik imannya, paling bertakwa kepada Allah dan paling baik akhlaknya. Maka pada ketika itu, Allah akan campakkan ke dalam hati setiap rakyatnya rasa malu untuk melakukan maksiat, biar pun hanya berseorang diri tanpa disaksikan oleh sesiapa pun. Semakin lama pemimpin yang bertakwa itu memerintah, semakin tebal rasa malu mereka untuk melakukan maksiat itu, yang sebelumnya selalu mereka buat tanpa sebarang rasa malu dan kesal, malah sesetengahnya amat bangga pula kerana dapat melakukannya.

Selain itu, mereka juga akan dihantui rasa bersalah yang amat sangat jika mereka melakukan kesalahan atau maksiat atau penderhakaan. Pada hari ini, rakyat jelata melakukan kesalahan, dosa, maksiat, penderhakaan dan sebagainya tanpa rasa bersalah. Ada yang berasakan mereka wajib menentang pemerintah mereka secara terus terang, berterusan dan dengan cara yang sama zalim. Kononnya mereka mahu menegakkan keadilan, tetapi mereka menggunakan cara yang zalim untuk menundukkan kezaliman. Maknanya kezaliman dihapuskan dengan cara yang zalim atau menggunakan kezaliman untuk menundukkan kezaliman. Apakah itu tuntutan Islam? Siapa yang pernah menggunakan cara itu pada zaman salaf dahulu? Mana ayat al-Qurannya atau hadisnya yang mereka gunakan untuk menghalalkan kaedah itu?

Setiap kali mereka melakukan kesalahan, hati mereka akan merasakan amat bersalah dan selalu dihantui oleh rasa bersalah itu. Semakin lama perbuatan salah dan dosa itu mereka biarkan tanpa bertaubat, akan semakin besar dirasakan kesalahan itu pada hati mereka sehingga mengganggu kerja-kerja harian mereka dan ketenteraman hati mereka. Akhirnya kesalahan yang satu itu akan dirasakan seperti gunung yang sentiasa berasa di atas kepala mereka yang boleh sahaja jatuh menghempap kepala mereka.  Itulah yang dimaksudkan oleh hadis yang menyebutkan demikian
02048 3. Banyak Perbalahan dan Gempa Bumi Dahsyat
A. Sabda Nabi SAW,
“Al-Mahdi akan muncul bersamaan dengan suasana dunia yang penuh dengan perbezaan pendapat (mengenai pelbagai perkara, termasuk mengenai kemunculan Imam Mahdi itu sendiri, hadisnya sahih atau tidak, benar-benar muncul atau tidak) dan digoncang dengan gempa bumi yang sangat dahsyat.”       (Imam Ahmad)
B. Sayidina Ali KMW berkata,
“Ujian yang menimpa ada empat jenis, ujian kegembiraan, ujian kesakitan, ujian harta benda, kemudian seorang lelaki datang yang berasal dari ahli keluarga Nabi SAW, dan Allah akan membaiki hubungan antara manusia melalui tangannya.”
C. Dari Ali bin Ali al-Hilali RA berkata,
Aku masuk ke tempat Nabi SAW semasa baginda sedang sakit, sebelum baginda wafat dan mendapati Fatimah RA duduk di sisi kepalanya, sedang menangis. Rasulullah SAW membuka matanya dan bertanya, “Wahai Fatimah, kenapa engkau menangis?” Jawab Fatimah, “Aku takutkan kehilanganmu.” Lantas baginda SAW bersabda, “Tidakkah kamu tahu bahawa Allah yang Maha Besar dan Maha Pemurah melihat ke bumi sekali dan memilih bapamu dan mengutusnya dengan membawa agama-Nya. Kemudian Dia melihat sekali lagi ke bumi dan memilih suamimu dan mewahyukan kepadaku agar aku mengahwinkannya denganmu. Wahai Fatimah, kita adalah Ahlulbait dan Allah memberikan kepada kita tujuh kelebihan yang tidak pernah diberikan kepada sesiapa pun sebelum ini. Dia mengutuskan aku dengan membawa kebenaran, di kalangan mereka adalah al-Mahdi untuk umat ini. Apabila dunia ini dipenuhi oleh pembunuhan dan penzaliman, bencana bertambah, jalan-jalan disekat, manusia menyerang satu sama lain, yang tua tidak menyayangi yang muda, yang muda tidak menghormati yang tua, (maka pada ketika itulah) Allah yang Maha Besar lagi Maha Pemurah, pada akhir zaman, akan menghantar kepada mereka seseorang yang akan menguraikan segala kekusutan dan membuka hati-hati yang telah termateri dan memperbaharui agama-Nya seperti yang aku lakukan pada awalnya. Dan dia akan memenuhkan dunia ini dengan keadilan seperti sebelumnya yang dipenuhi dengan penindasan.”       (Abu Nuaim)
D. Sabda Nabi SAW,
“Aku membawakan berita gembira untuk kamu mengenai Al-Mahdi. Dia akan diutuskan ketika manusia sedang sangat menderita dan banyak berlaku gempa bumi.”
E. Sabda Nabi SAW,
“Pada akhir zaman nanti, ada ujian-ujian berat daripada pemerintah kamu yang akan menimpa umatku, yang ujian itu dahsyatnya tidak pernah kamu saksikan sebelumnya. Bumi yang luas ini menjadi kecil pada mereka, dan bumi ini akan dipenuhi dengan penindasan dan kezaliman, hinggakan orang-orang yang beriman tidak mempunyai seorang pun pembantu daripada bahayanya. Maka Allah yang Maha Pemurah lagi Maha Perkasa akan menghantar seorang lelaki daripada ahli keluargaku yang akan memenuhkan dunia ini dengan keadilan dan kesaksamaan, seperti sebelumnya yang dipenuhi dengan penindasan dan kezaliman. Seluruh penduduk langit dan bumi akan redha terhadapnya. Bumi ini tidak akan meinggalkan sedikit pun tumbuh-tumbuhan melainkan akan dikeluarkannya. Langit juga tidak akan meninggalkan sedikit pun hujannya melainkan diturunkannya selebat-lebatnya. Dan dia akan hidup di kalangan mereka selama tujuh, lapan atau sembilan tahun, sehingga yang hidup amat berharap orang-orang yang telah mati hidup semula untuk sama-sama menikmatinya. Allah yang Maha Pemurah lagi Maha Perkasa akan menurunkan keberkatan kepada seluruh penduduk bumi pada ketika itu.”
Ada beberapa peristiwa besar yang akan berlaku, sejurus sebelum Imam Mahdi muncul ke dunia ini. Dan tanda-tanda itu sebenarnya merupakan tanda-tanda kemunculan Imam Mahdi ke dunia. Dan berdasarkan laporan berita di semua media pada hari ini, kita dapati semua tanda yang dimaksudkan oleh hadis itu sedang berlaku, satu demi satu, dan dari semasa ke semasa. Sehubungan itu, bolehlah pula kita katakan bahawa zaman ini sebenarnya adalah zaman Era Mahdi. Sekarang ini, kita hanya menantikan saat kemunculan manusia paling bertuah ini, di hadapan mata kita. Jika kita sempat bertemu dengannya, maka kita sebenarnya adalah orang-orang yang sangat beruntung kerana dapat bertemu dan menjadi pengikut kepada Imam Mahdi.

Oleh itu, marilah kita sama-sama membanyakkan berdoa kepada Allah SWT agar disegerakan-Nya kemunculan Imam Mahdi yang sangat dinanti-nantikan itu. Ingat, orang-orang Syiah juga banyak berdoa semoga Imam Mahdi mereka segera muncul, walhal kita tahu bahawa Imam Mahdi mereka itu sudah pasti tidak akan muncul selama-lamanya. Maka kita yang percaya dan yakin bahawa Imam Mahdi kita akan muncul, hendaklah sungguh-sungguh berdoa kepada Allah SWT agar Imam Mahdi itu segera muncul.

Daripada empat buah hadis dan sebuah asar di atas, disebutkan sebanyak tujuh belas perkara yang akan berlaku, tidak lama sebelum Imam Mahdi muncul. Rasa-rasanya, sepanjang pengetahuan penulis, semua tujuh belas perkara yang disebutkan itu sudahpun berlaku, di negara kita dan di beberapa buah negara Islam lain. Kerana itu, penulis bertambah yakin akan kebenaran isi hadis-hadis ini, dan bertambah yakin pula bahawa Imam Mahdi itu akan benar-benar muncul
02049 4. Manusia Meninggalkan Tuhan
A. Kata Sayidina Ali KMW,
“Sungguh, seorang lelaki daripada keturunanku akan datang ketika hampir kiamat nanti (yang pada ketika itu) hati orang yang beriman mati, seperti matinya jasad mereka akibat bala, kelaparan, pembunuhan, ujian yang berat, peperangan yang hebat, pupusnya sunnah, tersebarnya bidaah, susahnya mencari rezeki yang halal dan tersebarnya harta-harta haram. Maka melalui Al-Mahdi, Muhammad bin Abdullah, Allah akan menghidupkan semula sunnah yang telah mati, dan dia diredhai kerana keadilannya, manakala hati orang-orang yang beriman merahmatinya. Orang-orang Arab dan Parsi akan bersatu melaluinya, lalu dia memerintah selama beberapa tahun, lalu meninggal dunia.”
Ada dua sebab utama dan beberapa sebab sampingan yang menjadi punca manusia meninggalkan Tuhan. Sebab pertama ialah kerana pupusnya ulama hakiki, yang berjiwa tauhid, yang berhati sufi, yang berakhlak nabi, yang berakidah salafus saleh. Apabila golongan ini pupus, manusia akan mengikut orang-orang yang mengutamakan hawa nafsu dan dunia, kerana golongan inilah yang akan mula-mula menonjol setelah kepupusan golongan ulama hakiki. Akibatnya, manusia melupa dan meninggalkan Tuhan, dan mengikut golongan yang sesat itu. Golongan ulama yang ada, sungguhpun bilangannya cukup ramai, langsung tidak berupaya membawa hati manusia untuk mendekati Tuhan. Memanglah mustahil mereka dapat membawa hati manusia mendekat kepada Tuhan, sebab hati mereka sendiri pun amat jauh daripada Tuhan dan merasakan bertuhan. Allah SWT sendiri pun tidak mahu mendekati hati golongan ulama zahir ini, sebab hati mereka terlalu kotor, penuh penyakit dan amat keras. Sebab itu pertolongan terus daripada Allah tidak turun kepada manusia, kerana hatinya tidak ada kait-mengait langsung dengan Allah.

Sebab kedua manusia meninggalkan Tuhan ialah kerana golongan pemerintah yang ada gagal menunjukkan jalan yang benar untuk manusia mengetahui, mengenali, mendekati, mencintai dan merindui Tuhan. Mereka takut jika manusia mencintai Tuhan, rakyat akan meninggalkan pemerintah dan meninggalkan dunia yang sia-sia. Jangkaan mereka ini amat silap, kerana apabila seseorang itu sudah mencintai Tuhan sepenuh hati, seluruh hidupnya akan ditumpukan kepada Allah semata-mata. Masalah jenayah tidak lagi berlaku, masalah sosial juga tidak berlaku, masalah ekonomi tidak timbul, pemerintah tidak pening kepala, pemerintah tidak sibuk-sibuk tak tentu hala, masyarakat jadi baik dan seterusnya.

Apabila pemerintah sendiri gagal menunjukkan Tuhan kepada rakyatnya, maka mereka terpaksa menanggung terlalu banyak kesusahan, kepayahan, kesibukan, kepeningan dan bermacam-macam ke…an lagi seperti yang dapat kita lihat dan saksikan pada hari ini. Semuanya ini berpunca daripada kegagalan pihak pemerintah membawa hati orang ramai kepada Tuhan mereka.

Seperti yang disebutkan, apabila keadaan ini berlaku, Allah SWT akan menurunkan seorang kekasih-Nya yang amat terpilih di kalangan umat ini untuk membetulkan hati-hati manusia yang telah sangat rosak itu, sehingga akhirnya hati mereka menjadi satu kembali setelah sebelumnya sekian lama retak seribu. Tidak ada orang lain yang dinyatakan berupaya membetulkan hati manusia seluruhnya melainkan beliau seorang sahajalah yang diberikan kemampuan. Orang lain, walau sehebat manapun peribadinya, tetap tidak akan diberi keupayaan oleh Allah. Sebabnya, hati orang itu sendiri pun amat jauh daripada Allah dan pada satu-satu zaman, hanya seorang sahaja yang Allah wakilkan untuk mentadbir bumi ini seluruhnya. Hanya orang Allah sahaja yang akan Allah bantu dalam urusan pemerintahannya. Yang bukan orang Allah, tidak sekali-kali akan diberikan bantuan oleh Allah.
02050 5. Yang Haram Dihalalkan
A. Kata sahabat RA,
“Al-Mahdi tidak akan muncul sebelum berlakunya suatu masa di mana semua perkara yang haram dianggap halal. Kemudian dia diserahi jawatan Khalifah, sedangkan ketika itu dia sedang berada di rumah. Dan dia adalah sebaik-baik penduduk bumi (pada ketika itu).”
Sudah jelas berlaku, tepat seperti yang disebutkan, iaitu satu lagi tanda akan muncul Imam Mahdi ialah apabila yang haram dianggap halal. Apabila yang haram dianggap halal, maka yang halal pula akan dianggap haram. Itu sudah menjadi suatu tabii kehidupan beragama. Setiap yang halal itu jelas hukumnya, dan setiap yang haram juga jelas hukumnya. Tidak perlu takwil-takwil lagi. Hanya yang syubhat sahaja yang perlu berhati-hati kerana ditakuti menjadi haram atau sebenarnya merupakan sesuatu yang haram.
Namun, rupa-rupanya perkara yang sudah tetap dan jelas hukumnya haram pun, pada akhir zaman ini, dapat dihalalkan juga. Bagaimana perkara yang sebesar ini boleh bertukar hukumnya? Tidakkah itu suatu perkara yang amat pelik dan melawan arus? Sungguhpun perkara ini amat besar dan amat sukar berlaku, rupa-rupanya pada akhir zaman ini semuanya boleh berlaku. Perkara yang sudah muktamad hukumnya, dapat dihalalkan juga. Dan seperti yang kita ketahui sehingga kini, sudah ada beberapa perkara yang sebelumnya dihukumkan haram kerana hukum asalnya haram, sudah dapat dihalalkan. Dan lebih ganjil lagi, perkara yang hukum asalnya halal dan muktamad halalnya, hari ini sudah dapat diharamkan dan ditukar hukumnya kepada haram.
Sebenarnya, tanda-tanda ini apabila berlaku, menunjukkan sudah amat dekat dengan masa keluarnya Imam Mahdi ke dunia ini. Dan tidak syak lagilah, bahawa inilah zamannya dan inilah masanya untuk beliau menzahirkan dirinya ke tengah-tengah masyarakat Islam. Seterusnya beliau akan memimpin seluruh manusia kepada jalan yang benar dan tepat mengikut sunnah Rasulullah SAW.

Hujung asar ini menyebutkan bahawa Imam Mahdi adalah sebaik-baik manusia yang ada di atas bumi ini pada ketika itu. Penyataan ini sekali gus menguatkan lagi maksud hadis Rasulullah SAW yang menyebutkan demikian. Penyataan yang berulang-ulang ini menyatakan bahawa Imam Mahdi tidak syak lagi adalah orang pilihan Allah SWT untuk kita yang hidup pada akhir zaman ini.
02051 6. Pemerintahan Kuku Besi (Diktator)
A. Daripada Huzaifah RA katanya, telah bersabda Nabi SAW,
“Berlindunglah kamu semua daripada raja-raja yang bersifat kuku besi. Kenapa mereka membunuh dan membuatkan orang-orang yang beriman merasa takut sedangkan mereka telah mentaatinya? Dan para mukmin ini telah disakiti dengan lidah dan ditanggung sahaja oleh hati mereka. Apabila Allah berkehendak mengembalikan semula Islam, Dia akan memusnahkan setiap pemerintah yang zalim. Dia amat berkuasa melakukan apa sahaja dan mampu pula mengubah sesuatu bangsa selepas kejatuhannya. Wahai Huzaifah, kalaulah tidak tinggal umur dunia melainkan sehari sahaja, Allah pasti akan memanjangkan hari itu sehingga seorang lelaki dari ahli keluargaku naik memerintah dan Malhamatul Uzma berlaku semasa pemerintahannya, dan agama Islam akan tersebar luas. Allah tidak pernah memungkiri janji-Nya dan hisab-Nya amat cepat.”
Daripada hadis yang diriwayatkan oleh Huzaifah RA ini, beberapa perkara penting dapat kita ambil pemgajaran dan penghayatan daripadanya, antaranya:
  1. Berlindung daripada pemerintah yang bersifat kuku besi. Elakkan diri daripada tinggal di kawasan yang paling dekat dengan  tempat tinggal pemerintah. Ini kerana ditakuti kita akan terkena apa-apa kesusahan daripadanya. Jika dirasakan selamat, bolehlah tinggal di kawasan mana pun.
  2. Berlindung juga bermaksud jangan menghampiri mana-mana pemerintah dengan harapan akan terselamat daripada gangguan dan kezalimannya.
  3. Berlindung diri juga bermaksud jangan bersubahat dengan mana-mana pemerintah dalam urusan pentadbiran yang dijalankannya. Kelak kita akan turut bersubahat dengan pemerintah itu.
  4. Berlindung diri juga bermaksud tidak peduli apa-apa yang dilakukannya, jika apa yang dibuatnya itu zalim pada sisi agama. Biarlah dia dengan kezaliman yang dilakukannya, jangan pula kita tumpang sama berlaku zalim dengan cara memburuk-burukkannya di khalayak rakyat ramai, yang sebelum ini tidak tahu-menahu akan hal itu pernah dan telah dilakukan oleh pemerintah mereka. Perbuatan sebegini adalah juga suatu perbuatan zalim iaitu berdosa kerana membuka rahsia seseorang di hadapan orang lain. Bolehkah sesuatu perbuatan zalim itu dapat dibetulkan dengan cara berlaku zalim? Jika pemerintah berbuat zalim, dapat kita terima kerana sifatnya sebagai pemerintah memang terdedah kepada berbuat zalim. Kita pula berbuat zalim sedangkan kita bukan pemerintah yang mudah berbuat zalim.
  5. Antara kezaliman yang paling berat pada sisi Allah yang dilakukan oleh pemerintah diktator ialah membunuh orang-orang yang beriman. Menyeksa orang-orang beriman juga adalah dosa yang amat besar.
  6. Sifat orang mukmin itu ialah mentaati perintah pemerintah mereka, selagi perintah itu tidak sampai menyuruh mereka berlaku zalim atau maksiat atau menderhakai Tuhan atau meninggalkan syariat yang fardhu. Jika perintah yang diberi itu berbentuk duniawi, maka wajiblah ditaati sama ada dia suka atau tidak, berfaedah atau tidak. Semakin taat seseorang itu kepada perintah pihak pemerintah, bermakna semakin kuatlah imannya kepada Allah. Sebab sifat seorang mukmin itu adalah taatkan setiap perintah yang diterimanya dari tiga pihak iaitu Allah, Rasulullah SAW dan Ulil Amri. Semuanya mesti dijalankan secara serentak.
  7. Satu lagi sifat orang mukmin ialah mereka selalu disakiti hatinya dengan lidah oleh pihak pemerintah, sedangkan mereka hanya menanggungnya jauh di dalam lubuk hati sahaja, tanpa melawan. Mereka menganggap perlakuan pihak-pihak berkenaan adalah sebagai satu kifarah terhadap dosa-dosa mereka dan jemaah mereka, atau sebagai penapis untuk menapis ahli-ahli jemaahnya yang istiqamah dengan perjuangan, atau sebagai peninggi darjat mereka pada sisi Tuhan, atau sebagai pembuktian sahih bahawa jemaah mereka adalah jemaah yang mendukung kebenaran pada zaman itu. Jemaah yang tidak selalu diuji bermakna mereka bukan jemaah yang mendukung kebenaran pada zaman itu.
  8. Pemerintah yang zalim tidak boleh dijatuhkan oleh kita, walau apa pun caranya. Perbuatan menjatuhkan pemerintah yang zalim adalah perbuatan zalim. Islam tidak boleh ditegakkan dengan cara yang zalim, kerana Islam itu bersih dan selamat. Islam hanya boleh ditegakkan dengan cara yang bersih dan aman. Pemerintah yang zalim hanya boleh dijatuhkan oleh Allah sendiri, kerana Dia yang menaikkan seseorang sebagai pemerintah, dan Dia jugalah yang lebih berhak menurunkan seseorang itu dari tampuk pemerintahan. Ingat, semakin zalim seseorang itu memerintah dan semakin banyak kezaliman yang dilakukannya, semakin cepat dia dijatuhkan oleh Allah. Oleh itu, biarkan sahajalah Si Luncai terjun dengan labu-labunya, jangan sampai kita pun sama-sama terjun setelah melihat Si Luncai itu terjun ke dalam air
02052 7. Amalan Agama Sangat Berkurangan
A. Dari Abu Hurairah RA dari Rasulullah SAW bersabda,
“Sesungguhnya kamu (wahai para sahabat, berada) pada masa orang yang (jika dia) meninggalkan satu persepuluh dari apa yang diperintahkan-Nya, nescaya binasalah dia. Kemudian akan datang suatu masa orang yang beramal satu persepuluh dari apa yang diperintahkan-Nya, nescaya akan selamatlah dia.”      (At-Tarmizi)
B. Sabda Nabi SAW,
“Sesiapa yang berpegang (teguh) dengan sunnahku ketika umatku sedang rosak, baginya seratus pahala syahid.” ( Muslim)
Secara umumnya pada akhir zaman ini, hampir seluruh umat Islam sangat jauh daripada pengamalan sebenar Islam, sehingga untuk mencari orang atau jemaah yang dapat menghidupkan sepersepuluh daripada keseluruhan ajaran Islam ini pun amatlah susah. Kalau ada sesebuah jemaah yang berjaya menegakkan ajaran Islam dalam jemaahnya sehingga sepersepuluh, maka jemaah itu dikira sebagai jemaah tajdid untuk zamannya. Sudah pasti jemaah ini akan menerima tekanan yang maha hebat dan dahsyat daripada banyak pihak seperti pemerintah, ulama semasa, jemaah lain yang tidak berjaya, orang ramai, orang-orang kafir, para munafik dan orang-orang fasik.

Pernah dilaporkan bahawa umat Islam yang mengerjakan sembahyang tidak sampai pun sepuluh peratus daripada keseluruhan jumlah mereka. Perangkaan ini amatlah menyedihkan kerana sembahyang itu adalah suatu fardhu yang tidak boleh tidak mesti dilaksanakan. Jika sembahyang yang sebegitu penting pun, tidak sampai sepuluh peratus yang mengerjakannya, maka apa lagilah syariat-syariat yang lain. Lebih-lebih ramai lagi yang tidak pernah membuatnya sepanjang hidup mereka.

Berdasarkan perangkaan ini sahaja kita sudah dapat melihat bahawa apa yang disabdakan oleh Nabi SAW itu amatlah benar, tidak dapat disangkal lagi. Oleh kerana amat berat untuk melaksanakan Islam ketika umat Islam sendiri sedang amat rosak, maka Nabi SAW menjanjikan bahawa sesiapa yang sanggup dan mampu melaksanakan sunnah baginda SAW pada masa itu, akan diberi pahala sebanyak seratus kali syahid. Ini ada benarnya kerana orang yang syahid itu hanya menanggung kesusahan sekali dan sekejap sahaja sebelum dia syahid. Musuh yang perlu dihadapinya pula hanya seorang atau dua orang sahaja. Selepas itu dia syahid. Maka dapatlah dia syahid dan pahala syahid. Para mukmin akhir zaman terpaksa menanggung kesusahan dalam hidup berkali-kali dan berpanjangan pula masa menanggungnya, iaitu hingga ke akhir hayat mereka. Dan mereka pula hidup dikelilingi oleh jahiliyah yang amat tebal dan terlalu ramai
02053 8. Pemimpin Jahat Akan Binasa
A. Kata tabiin RH,
“Al-Mahdi tidak akan muncul sebelum para pembesar yang sombong binasa (semuanya).”
Ucapan tabiin ini menjelaskan lagi konsep bahawa pemerintah yang zalim tidak boleh dijatuhkan oleh kita. Mereka hanya boleh dijatuhkan oleh Allah SWT sahaja. Oleh kerana mereka naik dengan izin Allah, maka jatuhnya juga adalah dengan izin-Nya jua. Apa kuasa yang ada pada kita untuk menjatuhkan seseorang daripada kepemimpinan yang sedang dipegangnya? Tidakkah semuanya itu adalah kerja Allah? Apa hak kita untuk mengambil alih kerja Tuhan? Siapa kita untuk menentukan si anu sebagai pemimpin dan si anu perlu kita jatuhkan daripada tampuknya?

Imam Mahdi akan naik memerintah selepas semua diktator dijatuhkan oleh Allah daripada pemerintahan mereka, sehingga apabila Imam Mahdi naik memerintah kelak, dunia ini sudah bersih keseluruhannya daripada sistem Barat yang lapuk dek hujan itu berkat Imam Mahdi. Pemerintah bertaraf diktator juga sudah dijatuhkan. Maka sistem Islam yang sebenarlah yang akan mengambil alih, dengan kuasa pemerintahan akan berada di dalam genggaman Imam Mahdi yang sangat dinanti-nantikan itu, Imam yang sangat soleh itu
02054 9. Runtuhnya Pemerintahan Bani Abbas
A. Kata tabiin RH,
“Keadilan dan kemakmuran akan sentiasa wujud selagi pemerintahan Bani Abbas tidak runtuh. Kemudian (setelah runtuhnya pemerintahan Bani Abbas) dunia ini dipenuhi oleh bencana sehingga al-Mahdi tampil memegang tampuk pemerintahan.”
Ucapan tabiin ini sebenarnya tidaklah bermaksud mahu mengangkat keluarga Bani Abbasiah yang sedang memerintah dunia Islam pada masa itu. Beliau tidak ada niat langsung mahu memuji pemerintahan Bani Abbas, atau mahu mengambil sesuatu keuntungan daripada ucapannya itu, seperti yang banyak disalah tafsir oleh para sarjana dan pengkaji sejarah zaman moden ini.

Memang seperti yang kita tahu, pemerintahan Bani Abbas tidaklah adil sangat, banyak kelemahan dalam pemerintahan dan pentadbirannya dan pelbagai macam lagi. Tetapi keadilan dari segi kebebasan mengamalkan tasawuf dan kesufian amatlah jelas. Hari ini, hal itu sangat disekat dan amat ditakuti. Kemakmuran hidup dan keberkatan juga amat nyata pada zaman pemerintahan Bani Abbas dahulu.

Apabila kerajaan Bani Abbas dijatuhkan oleh pasukan Hulago dari Mongol itu, bencana mula menimpa dunia Islam. Selepas itu, kelemahan umat Islam semakin nyata, terutamanya dari segi pentadbiran dan pemerintahan. Dari segi keilmuan dan penciptaan juga semakin tumpul, akibat tumpulnya rohaniah mereka dengan Tuhan. Kuasa Islam semakin merosot, walaupun Kerajaan Osmaniah mampu mempertahankannya seketika waktu. Kemuncak kekuasaan Kerajaan Osmaniah hanya seketika iaitu sewaktu Sultan Muhammad II Al-Fateh bin Sultan Murad II memerintah, dan sewaktu beliau berjaya menawan Kota Kostantinopel, lalu menukar namanya kepada Istanbul dan dijadikan ibu kota pemerintahan Kerajaan Osmaniah.

Pada masa yang sama, Eropah Barat semakin menyerlah kuasanya, baru bangkit dari tidurnya yang terlalu panjang, dan baru terbuka fikirannya daripada selimut mitos yang amat tebal dan pengaruh gereja yang amat mencengkam. Apabila Eropah Barat terjaga, maka bermulalah bencana dan fitnah terhadap Islam secara menyeluruh. Walaupun Kerajaan Osmaniah berjaya menawan sebahagian besar Eropah Timur, negara-negara bangsa yang ditawannya itu sedikit demi sedikit berjaya juga membebaskan dirinya, sehingga akhirnya semuanya bebas menjelang Perang Dunia Pertama. Sungguhpun Turki tewas, Eropah Barat tetap juga bangun dan mengamuk ke serata dunia.

Dan pada masa yang sama, seluruh negara Islam sudah pun berada dalam cengkaman kuasa-kuasa Barat yang sedang naik bintangnya itu. Antara kuasa besar Barat yang dimaksudkan itu ialah Inggeris dan Sepanyol. Kedua-dua negara ini mempunyai jajahan takluk yang cukup luas. Selain mereka, Jerman, Belanda dan Itali juga adalah dua buah  lagi kuasa yang berjaya mencorakkan dunia. Amerika Syarikat pula mengambil alih peranan semua kuasa Barat itu selepas Perang Dunia Kedua. Sejak itu hinggalah kini, seluruh dunia tunduk dan mengikut apa sahaja dari Barat yang pada ketika ini menjadi tuan bagi seluruh dunia.

Dan paling nyata, Islamlah yang menjadi mangsa paling teruk menerima bencana. Berdasarkan rentetan sejarah ini, sangatlah benar ucapan tabiin itu tadi. Dan seperti yang dinyatakannya juga, selepas bencana yang ditanggung oleh umat Islam ini beberapa lama, maka Imam Mahdi akan segera muncul lalu mengambil alih tampuk pemerintahan dunia, menggantikan seluruh kuasa Barat dan sistem-sistemnya sekali. Ketika itu, yang zahir dan menonjol adalah Islam, seperti pada hari ini yang menonjol adalah Barat dan sistem Barat
02055 10. Terlalu Ramai Pembohong
A. Dari Abu Hurairah RA berkata, Rasulullah SAW bersabda,
“Hari kiamat tidak akan datang sehingga muncul para pendusta iaitu dajjal-dajjal, hampir-hampir seramai tiga puluh orang, setiap mereka mengaku bahawa dia adalah utusan Allah.” (At-Tarimzi)
B. Dari Sauban RA berkata, Rasulullah SAW bersabda,
“Hari kiamat tidak akan datang sehingga kabilah-kabilah dari umatku mengikut orang-orang musyrik dan sehingga mereka menyembah berhala dan akan ada di kalangan umatku tiga puluh pembohong. Setiap mereka mendakwa bahawa dirinya adalah nabi, dan aku adalah akhir para nabi, tidak ada nabi lagi sesudahku.” (At-Tarmizi)
Angka tiga puluh seperti yang disebutkan itu adalah orang-orang yang besar namanya, besar pengaruhnya dan besar pula ancamannya terhadap umat Islam. Yang lain-lain itu kecil pengaruhnya dan kurang terkenal namanya. Sebab itu sepanjang sejarah umat Islam, telah berlalu lebih dari tiga puluh nama orang yang mengaku dirinya sebagai nabi. Mereka inilah dajjal-dajjal kecil, iaitu utusan-utusan dajjal sebelum Dajjal yang sebenar memunculkan dirinya.

Umat Islam juga akan mengikut orang-orang Barat (musyrik) baik dari segi sistemnya, politiknya, budaya, bahasa, pemikirannya, malah agamanya. Barat yang dimaksudkan ialah orang-orang Kristian kerana orang Kristian lebih dominan daripada orang Yahudi dari segi kekuatan dan bilangannya. Itulah maksud yang disebutkan sebagai menyembah berhala, kerana orang-orang Kristian menyembah salib mereka. Orang Yahudi tidak menyembah sesuatu, walaupun hanukkah diletakkan di dalam kuil mereka. Orang Yahudi semasa sembahyang, menghantukkan kepada ke dinding pagar Masjidil Aqsa sahaja, sebagai tanda sujud.

Dalam keadaan demikianlah, Imam Mahdi akan muncul sebagai pembela Islam. Beliau akan menghapuskan semua bentuk bidaah dan khurafat, termasuk khurafat-khurafat moden iaitu sistem-sistem Barat yang sedang umat Islam amalkan dalam kehidupan mereka. Maka jadilah mereka sebagai umat yang satu dan bersatu; bersatu dalam semua segi. Imam Mahdilah pemimpin sejati mereka, selain daripada Syuaib bin Saleh at-Tamimi
02056 11. Ingkarkan Allah
A. Dari Matar Al-Warrak berkata,
“Al-Mahdi tidak akan muncul sehinggalah orang-orang kafir ingkarkan Allah secara terbuka.”
Ucapan daripada Matar al-Warrak ini menjelaskan lagi perkara yang disebutkan di atas tadi. Hari ini manusia sudah begitu berani menyatakan bahawa mereka tidak percaya kepada Tuhan. Komunis berkata bahawa Tuhan itu ibarat candu, mesti dihapuskan dari dalam hati manusia. Naturalist mendakwa alam ini terjadi sendiri, tidak ada kuasa lain di sebalik kejadian alam ini. Saintis menyatakan alam ini berlaku secara evolusi dan berperingkat-peringkat, sambil menafikan wujudnya alam ghaib.
Semua pihak di atas menafikan adanya Tuhan secara terbuka. Selain mereka, umat Islam juga melakukan dosa dan maksiat secara terbuka, tanpa malu dan takutkan Allah lagi. Itu juga adalah maksud ingkarkan Allah secara terbuka, iaitu seolah-olah tidak merasakan bertuhan di dalam hati kecilnya. Kadang-kadang mereka menentang hukum Allah secara terbuka melalui kenyataan-kenyataan yang jelas difahami maksud tentangannya.
Maksud kafir itu, selain dari orang-orang yang bukan beragama Islam, adalah juga orang-orang Islam yang melakukan dosa, atau disebut orang Islam yang kufur. Maka apabila ini berlaku, itulah tanda bahawa Imam Mahdi akan segera muncul untuk membersihkan manusia daripada balutan dosa yang cukup tebal membelit hati mereka. Yakinlah kita bahawa hal ini akan segera berlaku, tidak lama lagi
02057 12. Bangsa Eropah Menguasai Seluruh Dunia
A. Dari Mustaurid Al-Qurasyi RA berkata, aku mendengar Rasulullah SAW bersabda,
“Kiamat akan tiba (setelah) bangsa Rom membentuk sebahagian besar dari umat.” Amru bertanya kepadanya, “Benarkah ucapanmu itu?” Jawabnya, “Aku mengucapkan apa yang aku dengar daripada Rasulullah SAW,” dan lagi sabdanya, “Kalau kamu menyebutkan demikian, sungguh mereka telah memiliki empat keadaan. Pertama, mereka mempunyai kesabaran dalam menempuh cubaan. Kedua, segera membaiki diri untuk pulih selepas kesusahan. Ketiga, menyerang balas selepas peperangan pertama. Dan keempat, mereka bersikap baik terhadap janda-janda, anak-anak yatim, dan yang lemah. Dan yang kelimanya ialah mereka bersikap baik dan mendiamkan diri sahaja terhadap penindasan oleh raja-raja.”
Hadis ini menjelaskan ciri-ciri bangsa Eropah sehingga mereka berjaya menegakkan tamadun mereka sendiri dan seterusnya berjaya menakluk seluruh dunia. Hadis ini juga menjelaskan bahawa bangsa Eropah akan bangun menguasai dunia, iaitu setelah umat Islam dan kekuasaan mereka semakin lemah. Maka yang sebenarnya berlaku, bukan kerana orang-orang Barat itu kuat, tetapi sebetulnya umat Islam sendiri yang lemah. Maka antara dua keadaan, Islam kalah kerana mereka terlalu lemah, sedangkan lawannya Kristian juga sebenarnya lemah.

 Umat Islam kalah dan terhina kerana mereka meninggalkan Tuhan sehingga akhirnya Tuhan membiarkan mereka dikalahkan oleh pihak musuh. Ramai yang beranggapan bahawa Barat itu kuat, sedangkan sebenarnya Barat itu sendiri amatlah lemahnya. Umat Islam terbiar kerana Allah tidak menurunkan bantuan-Nya kepada mereka, sebab mereka membiarkan Allah. Bagaimana Allah akan membantu mereka sedangkan mereka sendiri tidak mahu menghampirkan diri kepada Allah dan tidak pun meminta bantuan-Nya melalui orang-Nya?

Hari ini umat Islam yang pernah menjadi tuan suatu masa dahulu, terpaksa mengemis nasib pada bangsa Yahudi dan penganut Kristian untuk mendapatkan makanan dan bantuan. Umat Islam kalah dan hancur lebur pada hari ini, dikerjakan oleh musuh-musuh Islam itu. Tidak cukup dengan menerima sistem Barat sebagai sistem umat Islam, seluruh masjid dan umat Islam sendiri pun hendak di-Kristiankan sama. Dan pada tahap ini, kejayaan Kristian dan Yahudi dengan kekalahan umat Islam sempurnalah sudah. Hakikat ini tidak boleh kita nafikan lagi.

Kita kini sudah 700 tahun menerima kekalahan, sama lamanya dengan tempoh kemenangan Islam iaitu 700 tahun yang pertama. Kemenangan kita ke atas seluruh dunia sudah disebutkan oleh Rasulullah SAW dan benar-benar terjadi. Kekalahan kita kepada Kristian dan Yahudi juga sudah benar-benar terjadi seperti yang disebutkan oleh baginda SAW. Maka abad ini adalah abad penentu, sama ada kita akan bangkit semula atau akan terus kalah. Jika kita berjaya, kita akan bangkit semula menjadi penguasa di bumi dan tuan yang memegang tampuk pemerintahan, ekonomi, pendidikan, perhubungan dan sebagainya.

Cukuplah apa yang telah dilakukan oleh orang-orang Yahudi dan Kristian itu terhadap kita umat Islam selama ini, dan cukuplah tempoh untuk mereka memegang tampuk pemerintahan dunia ini. Walau hanya beberapa tahun mereka memerintah dunia ini, sudah terlalu banyak kerosakan yang telah mereka lakukan, dan banyak pihak yang terlalu menderita akibat perbuatan mereka yang bermaharajalela itu. Maka kini giliran mereka pulalah yang menerima balasan terhadap kekejaman dan penindasan yang telah mereka lakukan, suatu balasan daripada Tuhan sendiri. Sekarang pun, mereka secara beransur-ansur sedang menerima pembalasan yang setimpal terhadap perbuatan jahat mereka itu.

Ingatlah bahawa Allah SWT telah berfirman di dalam al-Quran:
Mereka (orang-orang kafir) berhasrat untuk memadamkan cahaya Allah dengan mulut-mulut mereka, sedangkan Allah pula akan menyempurnakan cahaya (agama)-Nya sekalipun amat dibenci oleh orang-orang kafir itu.  (An-Nahl : 125)
Dendam orang-orang Yahudi dan Kristian itu sudah dinyatakan juga oleh Allah di dalam al-Quran dengan firman-Nya:
Dan tidak sekali-kali redha kepadamu oleh Yahudi dan Nasrani sehinggalah kamu mengikut cara agama mereka.          (Al-Baqarah : 119)
Sesuai dengan dua buah firman Allah itu, yakinlah kita bahawa apa yang baginda SAW sebutkan sudah benar-benar berlaku. Yahudi dan Kristian sudah berjaya mengatasi kita, menundukkan kita dan memaksa kita mengikut cara mereka dalam segenap urusan kehidupan kita. Kita sehingga kini masih tidak mampu membebaskan diri kita, keluarga kita, masyarakat kita, negara kita dan seluruh dunia Islam daripada cengkaman Barat yang kukuh itu. Kita kian lemas dalam dunia kita sendiri, dibiarkan lemas oleh Allah SWT (kerana kita membiarkan Allah dan orang-orang-Nya) dan dibiarkan juga lemas oleh musuh zahir kita itu. Dan sehingga ke hari ini, masih tidakkah lagi kita terfikir untuk membela diri? Masih mahukah kita terus-menerus menjadi pengikut setia dan penyambung kepada sistem Yahudi dan Kristian yang tidak pernah mahu tunduk kepada Allah itu?

Ingatlah, kita amat memerlukan seseorang yang cukup gagah jiwanya, tinggi takwanya, kuat rohaninya untuk meruntuhkan tembok dan dinding tebal sistem Yahudi dan Kristian itu. Orang itulah yang akan menebus kembali kekalahan umat Islam dahulu, membina kembali tamadun Islam yang tinggal kenangan dan membina semula identiti kita yang telah hilang lenyap ditelan oleh identiti Barat. Orang itulah yang akan menghidupkan semula semangat jihad yang telah lama ditembak mati oleh Barat itu, menyebabkan umat Islam kembali bangun menyerahkan jiwa raganya demi menebus iman, takwa, maruah dan tamadun yang telah lama terkubur itu.
02058 13. Dunia Dipenuhi Dengan Penindasan
A. Sayidina Ali bin Abi talib KMW berkata bahawa Rasulullah SAW bersabda,
“Jika cuma tinggal sehari sahaja sebelum kiamat tiba, nescaya Allah pasti akan mengutuskan seorang lelaki dari kaum keluargaku yang akan memenuhkan dunia ini dengan keadilan dan kesaksamaan, seperti sebelumnya bumi ini dipenuhi dengan penindasan.”
Sudah menjadi kelaziman umat manusia sejak anak-anak Nabi Adam AS lagi, terutamanya pada hari ini, apabila merasakan dirinya kuat dia akan menindas pihak yang dirasakan lemah. Pada hari ini keadaan itu amatlah ketara walau di mana sekali pun kita berada. Orang-orang yang diberi kuasa akan menindas rakyat jelata dan orang-orang jahat akan menguasai orang ramai. Orang kaya selalu menindas orang-orang yang kurang berada dengan pelbagai cara dan bentuk, daripada yang sekasar-kasarnya hinggalah kepada yang selembut-lembutnya. Yang miskin sesama miskin juga saling tindas-menindas. Yang kaya dengan yang kaya juga turut menindas antara sesama mereka. Pendeknya, tindas-menindas sentiasa berlaku di mana-mana sahaja, tidak kira siapa dan bagaimana.

 Yang ada ilmu agama juga menindas sesama umat Islam. Yang pandai, cerdik dan pintar akan menindas yang bodoh dan tidak berilmu. Yang sesama pintar pun saling telan-menelan. Yang bodoh dengan yang bodoh juga selalu berlaku tipu-menipu dan makan-memakan antara sesama mereka. Sesiapa yang terpilih mendapat kuasa pemerintahan di sesebuah negara, pasti lambat laun akan berlaku zalim juga, dan pasti akan menindas pihak-pihak yang menentangnya, biar apa pun matlamat perjuangannya atau fahaman politiknya. Yang kuat dengan yang kuat juga saling berbenturan, apatah lagilah antara yang kuat dengan yang lemah.

Dalam keadaan yang sering berlaku tindas-menindas inilah Allah SWT akan mengutuskan Imam Mahdi, dari kalangan Ahlulbait untuk membetulkan kemanusiaan yang telah terlalu rosak itu. Tugas Imam Mahdi ini amatlah besar untuk dipikulnya, tetapi beliau sentiasa mendapat pertolongan daripada Allah dalam setiap urusannya, sehingga perkara yang besar pun dapat diselesaikannya dengan amat mudah pula.
02060 G. Tanda-tanda Sangat Hampir Kemunculannya - 1. Pembunuhan Besar-besaran dan Keluar Panji-panji Hitam
A. Dari Sauban RA katanya, bersabda Rasulullah SAW,
“Akan berbunuh-bunuhan dekat tempat simpanan Kaabah kamu tiga beradik. Semuanya adalah anak-anak kepada seorang (bekas) khalifah. Kemudian tidak seorang pun antara mereka yang dapat (harta itu atau menjadi khalifah). Kemudian muncullah Panji-panji Hitam dari sebelah Timur, lalu mereka akan membunuh kamu semua dengan satu pembunuhan (yang paling dahsyat) yang belum pernah dilakukan oleh mana-mana kaum pun.” Kemudian baginda menyebutkan sesuatu yang saya tidak berapa ingat. Kemudian baginda bersabda, “Maka apabila kamu semua melihatnya, hendaklah kamu segera berbaiat kepadanya (Pemuda Bani Tamim itu) walaupun terpaksa merangkak di atas salji kerana di sisinya adalah Khalifah Allah, iaitu Imam Mahdi.”         (Ibnu Majah)
Berbunuh-bunuhan yang dimaksudkan di sini adalah Perang Teluk. Ini adalah peperangan yang besar yang menelan korban yang cukup ramai. Tujuan peperangan itu ialah sengaja mahu membunuh orang ramai yang sepatutnya tidak terlibat dalam peperangan. Lebih ramai lagi ialah orang-orang yang menderita akibat peperangan tersebut. Tempat simpanan Kaabah yang dimaksudkan adalah kawasan Teluk Parsi (Al-Khalij) kerana di situ terletaknya salah satu telaga simpanan minyak yang terbanyak di dunia. Tiga beradik yang dimaksudkan ialah tiga negara yang asal-usulnya dahulu dari satu orang khalifah Allah (Nabi Ibrahim AS) iaitu Amerika Syarikat, Eropah dan Iraq.

Ketiga-tiga pihak itu tidak satu pun yang boleh dikatakan menang atau mendapat minyak tersebut. Tiada juga yang dapat dianggap sebagai pemimpin. Tidak lama selepas itu, maka Pemuda Bani Tamim mendapat kuasa pemerintahan di Timur, iaitu di Asia Tenggara. Kuasa pemerintahannya semakin besar dan merebak kerana semua umat Islam menjadi bersatu hati apabila melihat seorang yang benar-benar layak memimpin mereka telah muncul di depan mata. Semua umat Islam menjadi bersatu semula di bawah pimpinan beliau. Seterusnya beliau memerangi semua pihak yang menentangnya dan membunuh semua musuhnya dan musuh Allah.

Jumlah orang yang mati kerana menentang pimpinan beliau sangatlah ramai di seluruh dunia. Yang ramai mati itu kebanyakannya bukan di medan perang tetapi di rumah atau di hospital. Zaman ini Tuhan jadikan orang yang berpenyakit kronik, terutamanya jantung dan darah tinggi sangat ramai. Maka semua musuh Islam yang ada penyakit jantung dan darah tinggi akan segera mati, kerana terlalu sakit hati dan marah terhadap naiknya semula Islam sebagai kuasa baru menggantikan kuasa Barat, selain penyakit-penyakit itu memang mudah menyebabkan kematian.

Ramai pula yang mati di medan perang saraf dan mati di medan perbahasan. Mereka tiada kata-kata untuk dihujahkan terhadap kepemimpinan Syuaib bin Saleh at-Tamimi. Kekeramatan Pemuda Bani Tamim itu terlalu hebat untuk ditentang oleh sesiapa pun jua yang cuba memusuhinya.
Bagi seluruh umat Islam, apabila mereka melihat Pemuda Bani Tamim telah mendapat kuasa di Timur itu, mereka akan segera berpusu-pusu ke Timur untuk menemuinya dan segera membaiatnya sebagai pemimpin mereka. Mereka sanggup bersusah payah mencari jalan menemuinya sekali pun terpaksa menjual seluruh harta bendanya, malah jika terpaksa, sanggup menjual anak isterinya, semata-mata agar dapat menemui Pemuda Bani Tamim di Timur itu. Itulah ciri-ciri pemimpin sejati, iaitu dia dicari oleh pengikut, bukan dia mencari pengikut. Dia tidak perlu bersusah payah berkempen ke sana ke mari mencari pengaruh, apatah lagi terpaksa memburuk-burukkan pihak lawan.
Mereka sanggup menemui Pemuda Bani Tamim Syuaib bin Saleh kerana apabila beliau muncul mendapat kuasa di Timur, maka yakinlah seluruh umat Islam bahawa Imam Mahdi tidak syak lagi akan segera muncul pula ke dunia ini. Maka, munculnya Pemuda Bani Tamim adalah menjadi tanda terbesar dan teryakin bahawa Imam Mahdi akan benar-benar muncul. Dan muqaddimah daulah Islamiah sudahpun terbangun ketika itu
02061 2. Panji-panji Hitam Keluar dari Khurasan
A. Dari Abu Hurairah RA berkata, Rasulullah SAW bersabda,
“Akan keluar dari Khurasan Panji-panji Hitam. Maka (Panji-panji Hitam itu) tidak dapat ditolak oleh sesuatu apa pun sehinggalah ditancapkan di Ilya’. (At-Tarmizi)
B. Sabda Nabi SAW,
“Jika kamu semua melihat Panji-panji Hitam datang dari arah Khurasan, maka sambutlah ia walaupun kamu terpaksa merangkak di atas salji. Sesungguhnya di tengah-tengah panji-panji itu ada Khalifah Allah yang mendapat petunjuk.” Maksudnya ialah al-Mahdi.       (Ibnu Majah, Abu Nuaim & al-Hakim)
Pemuda Bani Tamim itu akan mendatangi Khurasan iaitu dalam perjalanannya menuju ke Makkah atau Syam. Di sana beliau akan mendapat Panji-panji Hitam yang sebenar, bukan lagi panji-panji hitam yang dibuat sebelumnya. Panji-panji Hitam itu adalah panji-panji yang pernah digunakan oleh Rasulullah SAW dahulu, sewaktu peperangan menghadapi kaum kafir dan Yahudi.

Dari Khurasan, mereka menuju pula ke Ilya’ iaitu satu bandar tidak jauh dari Baitulmaqdis. Sepanjang perjalanan yang jauh itu, mereka sentiasa diberi kemenangan oleh Allah SWT terhadap siapa jua penentangnya, yang sangat risau terhadap kemaraan tentera Allah itu. Kuasa baru yang amat hebat ini amat menggerunkan hati setiap musuh Allah sehingga hati mereka terasa sangat-sangat sempit, bagaikan sempitnya dada orang yang sedang mendaki ke atas langit. Ketakutan dan kegerunan yang mereka rasakan ketika itu akan segera dibalas oleh Allah dengan dijatuhkan mereka di hadapan umat Islam yang dipimpin oleh Pemuda Bani Tamim.

Pemergian mereka ke Ilya’ itu tidak lain dan tidak bukan adalah untuk mencari Imam Mahdi, iaitu orang yang paling berhak ke atas pemerintahan seluruh dunia ini, sebab Pemuda Bani Tamim hanyalah penyedia tapak untuk pemerintahan Imam Mahdi, bukan dia yang memerintah dunia ini. Namun beliau adalah pembantu kanan Imam Mahdi dan kedudukan ini tidak dapat disangkal lagi, kerana telah dijelaskan oleh hadis-hadis
02062 3. Pemuda Bani Tamim Tidak Pernah Kalah
A. Sabda Nabi SAW,
“Al-Mahdi akan datang setelah munculnya Panji-panji Hitam dari sebelah Timur yang mana pasukan itu selalu tidak pernah kalah dengan pasukan mana pun.”        (Ibnu Majah)
Sesiapa yang membaiat Pemuda Bani Tamim sebagai pemimpinnya, maka bererti dia telah menjalankan perintah Rasulullah SAW seperti yang disabdakan oleh baginda SAW dalam banyak hadis. Satu perkara lagi yang perlu diketahui, sebagai satu cara menaikkan semangat kita dalam berjuang pada akhir zaman ini ialah bahawa pasukan Pemuda Bani Tamim tidak akan pernah dikalahkan oleh mana-mana pasukan pun.

Ini adalah satu kelebihan yang tidak mampu dimiliki oleh sebarang pemimpin. Namun, Rasulullah SAW sudah menyatakan demikian, dan dengan itu, wajiblah pula kita mempercayai dan meyakininya sebagai mana sepatutnya. Bagi yang memang berhati pejuang, ini adalah peluang terbaik dan terbesar sepanjang sejarah umat Islam untuk kita menabur bakti dan menyumbang jasa terhadap perkembangan Islam ke seluruh dunia buat kali kedua. Zaman Ummah Kedua diasaskan oleh Pemuda Bani Tamim dan disempurnakan oleh Imam Mahdi, seterusnya disambung lagi oleh Nabi Isa AS.
02063 4. Wajib Membaiat Pemuda Bani Tamim
A. Dari Abdullah bin Umar RA katanya,
“Adalah Rasulullah SAW bersama-sama dengan sekumpulan Muhajirin dan Ansar. Ali bin Abi Talib KMW di sebelah kirinya dan Abbas di sebelah kanannya, ketika Abbas dan seorang lelaki dari kalangan Ansar bertelagah. Sahabat Ansar itu bercakap dengan agak kasar kepada Abbas. Maka Rasulullah SAW memegang tangan Abbas dan tangan Ali lalu bersabda, “Daripada keturunannya (sambil menunjukkan Abbas) akan datang seorang pemuda yang akan memenuhkan dunia ini dengan penindasan dan kezaliman, dan daripada keturunannya (sambil menunjuk Ali) muncul seorang lelaki yang akan memenuhkan dunia ini dengan keadilan dan kesaksamaan. Jika kamu semua melihat yang demikian, berbaiatlah kepada Pemuda dari Bani Tamim itu yang datang dari arah Timur. Dialah pemilik Panji-panji Al-Mahdi.”     (At-Tabrani, Abu Nuaim, Al-Khatib & Al-Kidji)
B. Kata Sauban RA,
“Kemudian baginda SAW menyebutkan sesuatu yang aku tidak berapa ingat, kemudian bersabda, “Kalau kamu semua melihatnya, datangilah mereka walaupun terpaksa merangkak di atas salji kerana padanya ada Khalifah Allah, iaitu Al-Mahdi.”        (Ibnu Majah)
C. Dari Sauban RA katanya Rasulullah SAW bersabda,
“Apabila kamu melihat Panji-panji Hitam datang dari arah Khurasan, bersegeralah mendatangi mereka, walaupun terpaksa merangkak di atas salji kerana padanya ada Khalifah Allah, Al-Mahdi.”
D. Dari Sauban RA katanya Rasulullah SAW bersabda,
“Panji-panji Hitam akan datang dari arah Timur, hati mereka bagaikan kepingan-kepingan besi. Sesiapa yang mendengar mengenai mereka, datangilah mereka walaupun terpaksa merangkak di atas salji.”
E. Sabda Nabi SAW,
“Akan keluar dari sulbi ini (Sayidina Ali KMW) seorang pemuda yang akan memenuhkan dunia ini dengan keadilan. Maka apabila kamu meyakini yang demikian itu, hendaklah kamu turut menyertai Pemuda dari Bani Tamim itu. Sesungguhnya dia datang dari sebelah Timur dan dialah pemegang Panji-panji Al-Mahdi.” (At-Tabrani)
Apabila Pemuda Bani Tamim mendapat kuasa di Timur, naiknya sebagai pemerintah tidaklah sama seperti naiknya pemerintah hari ini. Pemuda Bani Tamim mendapat kuasa lalu segera menjalankan pemerintahannya menurut cara yang diasaskan oleh Islam iaitu pemimpin dibaiat, bukannya diundi seperti sistem Barat yang digunakan pada hari ini. Kerana itu, setiap orang Islam wajib mendatangi dan membaiat Pemuda Bani Tamim sebagai pemimpin mereka zahir dan batin, dari dunia hinggalah ke akhirat.

Sistem politik dari Barat yang sedang digunakan pada hari ini akan dimansuhkan sama sekali, melibatkan semua bentuk dan semua perkara, bermula dari yang sebesar-besarnya hinggalah kepada yang sekecil-kecilnya. Politik akan berubah warna sama sekali. Hari ini kita tidak dapat memikirkan bentuknya lagi, dan hanya akan kita ketahui apabila masanya tiba nanti. Hanya Pemuda Bani Tamim sahaja yang tahu benar bentuk dan selok-belok sistem politik yang diasaskan oleh Rasulullah SAW dan telah dilaksanakan oleh baginda SAW dengan jayanya di Madinah dahulu.

Dan diulang sekali lagi oleh hadis ini bahawa apabila Pemuda Bani Tamim muncul dan mendapat daulah di Timur, bererti kemunculan Imam Mahdi sudah menjadi suatu keyakinan, tidak dapat dipolemik atau dipertikaikan oleh mana-mana pihak pun. Kemunculan Imam Mahdi ditandai oleh kemunculan Pemuda Bani Tamim.
02064 5. Pemuda Bani Tamim Berasal Dari Syam
A. Kata tabiin RH,
“Sebelum al-Mahdi, raja Syam akan terbunuh, (diikuti oleh) terbunuhnya raja Mesir. Bangsa Syam akan menawan kabilah daripada Mesir. Seorang lelaki dari Timur  berangkat mengibarkan Panji-panji Hitam, yang dikatakan dia itu adalah (berasal dari) bangsa Syam dan dialah yang akan menyerahkan kekuasaannya kepada al-Mahdi.”
Perkara ini banyak diperbincangkan terutamanya oleh kalangan penduduk Syam yang berketurunan dari Bani Tamim. Jumlah mereka memang sedikit dan masing-masing saling mengenali, serta tahu pula susur galur keturunan setiap orang dari mereka. Setiap suku dari kalangan mereka menyangka dan berharap Pemuda Bani Tamim yang dimaksudkan itu datang dari kalangan suku masing-masing.

Namun, jika ucapan tabiin ini diperhatikan sungguh-sungguh, nyatalah bahawa Pemuda Bani Tamim itu bukan lahir dari kalangan mereka, tetapi lahir dan dewasa di Timur. Tapak perjuangannya juga bermula dan berkembang di Timur. Malah, tapak daulah yang didirikannya itu pun bermula di Timur juga. Syam adalah tempat terakhir yang akan ditujunya. Dan bangsa Syam yang dimaksudkan itu hanya asal-usul nenek moyangnya sahaja, bukan lagi tempat dia dilahir dan dibesarkan.

Dari Syam, sebahagian daripada mereka ini turun ke Yaman dan tinggal di sana beberapa lama untuk membentuk sebuah komuniti yang minoriti, kemudian sebahagian keturunannya berpindah lagi ke Kepulauan Melayu ini. Sebahagiannya masih tinggal di Yaman dan masih ada hingga ke hari ini. Sebahagian yang lain berpindah ke benua kecil India dan menyerap masuk sebagai sebahagian penduduk Islam di sana pula. Di Kepulauan Melayu inilah mereka bergaul dengan penduduk tempatan sehingga keturunan mereka pun akhirnya menjadi sama dengan, atau sebahagian daripada penduduk tempatan. Sebutan Arabnya hilang dan yang tinggal adalah sebutan Melayunya sahaja. Arabnya hanyalah pada keturunannya sahaja, atau asal-usulnya.
02065 6. Pemuda Bani Tamim Berperanan Besar
A. Sabda Nabi SAW,
“Orang ramai daripada Timur (Pemuda Bani Tamim dan para pengikutnya benar-benar) akan muncul, kemudian menyerahkan kekuasaannya kepada al-Mahdi.”
B. Daripada Abdullah bin Umar RA katanya, bersabda Nabi SAW,
“Al-Mahdi akan keluar di bawah panji-panjinya dan ada suara yang menyerukan: “Inilah Al-Mahdi Khalifah Allah, maka ikutilah dia.”       (At-Tabrani, Abu Nuaim & Al-Khatib)
Orang ramai yang dimaksudkan itu adalah kumpulan Ikhwan yang dipimpin oleh Syuaib bin Saleh. Mereka akan mendirikan tapak daulah Islamiah yang sebenar. Setelah tapak daulah itu siap dan hanya menanti Imam sebenar untuk mendudukinya, mereka akan mencari Imam Mahdi untuk diserahkan tapak daulah berkenaan. Ikhwan ini sifat-sifatnya sama dengan para sahabat pada awal Islam. Istilah Ikhwan itu adalah untuk membezakan antara mereka dengan para sahabat RA. Jika pada zaman awal Islam dahulu, istilah Sahabat digunakan untuk menunjukkan orang yang rapat dengan Rasulullah SAW, maka pada akhir zaman ini istilah Ikhwan digunakan. Kedua-dua istilah Sahabat dan Ikhwan ini bukan reka-rekaan Imam Mahdi atau Pemuda Bani Tamim, tetapi ditunjukkan sendiri oleh Rasulullah SAW melalui hadis-hadis sahih. Mahu tidak mahu, setiap kumpulan orang ramai pasti ada ketuanya, atau pemimpinnya. Dan bagi Ikhwan ini, tidak syak lagi pemimpinnya adalah Pemuda Bani Tamim sendiri. Peranan besarnya adalah membentuk pasukan Ikhwan ini, mendidik dan mengasuh mereka sehingga menjadi tepat seperti yang dinyatakan oleh hadis-hadis Rasulullah SAW.
02066 7. Pemuda Bani Tamim Berasal dan Keluar Dari Timur
A. Sabda Nabi SAW,
“Pembawa bendera al-Mahdi adalah seorang laki-laki daripada suku Tamim yang datang dari Timur.”
B. Ammar bin Yasir RA berkata,
“Pembawa Panji-panji Al-Mahdi adalah Syuaib bin Saleh.”
Kedua-dua penyataan ini menjelaskan dan membuat penegasan bahawa pembawa Panji-panji Imam Mahdi itu adalah Syuaib bin Saleh, berasal dari keturunan Bani Tamim dan tempat kelahirannya adalah di Timur. Jelaslah bahawa memang muktamad bahawa Pemuda Bani Tamim yang digelar Syuaib bin Saleh itu adalah orang yang datang dari kalangan bangsawan Quraisy, dari Bani Tamim, tetapi nenek moyangnya telah berhijrah ke Timur, bercampur dengan orang-orang Timur, dan akhirnya melahirkan pembantu kanan Imam Mahdi itu. Penyataan mengenai hal ini sudah pun disebutkan pada bahagian sebelum ini.
Panji-panji yang dimaksudkan itu adalah tapak daulah Imam Mahdi, selain maksud sebenar panji-panji hitam itu. Sesiapa yang mendapat daulah di Timur, maka tidak syak lagi bahawa dialah Pemuda Bani Tamim yang dimaksud oleh hadis-hadis, dan keperibadian yang cukup rahsia itu terbongkar pada hari itu. Susur galur keturunannya tidak perlu lagi diselongkar, kerana memang telah muktamad dia itu Pemuda Bani Tamim kerana hadis sudah mengesahkannya berkali-kali, bukan setakat sekali sahaja
02067 8. Pemuda Bani Tamim Memerangi as-Sufyani
A. Sabda Nabi SAW,
“Sebelum al-Mahdi (muncul), as-Sufyani akan muncul dengan 360 pasukan berkuda. Kemudian dengan diiringi 30,000 pasukan yang dipimpin oleh Kalb, iaitu bapa saudaranya. As-Sufyani kemudian mengerahkan askarnya ke Iraq. Dalam serangan ini, 100,000 orang terbunuh di Zaura’ iaitu suatu bandar di Timur. Setelah itu mereka menyerang Kufah pula. Ketika itu muncullah Panji-panji (Hitam) dari Timur. Lantas ada satu pertanyaan, “Wahai Rasulullah, bagaimana kami dapat mengenalinya?” Nabi SAW menjawab, “Dia adalah dari keturunanku, perawakannya mirip kepada Bani Israel, seolah-olah wajahnya bercahaya-cahaya laksana bintang, pipi kanannya bertahi lalat hitam. Dia tampan orangnya, yang berusia 40 tahun. Dia akan didatangi oleh Wali-wali Abdal dari Syam, tokoh-tokoh Nujabak dari Mesir, Asoib dari Timur dan para pengikutnya…”
B. Dari Said bin Musayyab RH katanya, Rasulullah SAW bersabda,
“Panji-panji Hitam akan datang dari Timur untuk anak-anak keturunan Abbas. Kemudian berlakulah apa yang Allah kehendaki ia berlaku. Kemudian, sebuah Panji-panji Hitam yang kecil akan memerangi seorang lelaki dari keturunan Abu Sufyan dari Timur. Mereka akan membaiat Al-Mahdi.”       (Abu Nuaim)
As-Sufyani yang dimaksudkan oleh hadis di atas adalah Amerika Syarikat kerana negara itu adalah negara yang paling lengkap pasukan tenteranya di dunia pada masa ini. Angka 360 pasukan berkuda itu menunjukkan jumlah yang cukup besar dan sangat kuat. Perlu pula diingat, bahawa yang dimaksudkan dengan as-Sufyani itu ada beberapa pasukan, antaranya as-Sufyani itu adalah Amerika Syarikat, dan ada hadis lain yang memaksudkan as-Sufyani itu sebagai pasukan Syiah Iran.

Kalb yang dimaksudkan sebagai bapa saudaranya itu adalah anggota NATO iaitu kesatuan ketenteraan negara-negara Eropah Barat. NATO dianggap sebagai bapa saudara Amerika Syarikat kerana kebanyakan rakyat Amerika Syarikat berasal-usul dari Eropah Barat itu, maka NATO itu dianggap sebagai bapa saudara kerana hubungan kekeluargaan yang sudah jauh sedikit. Jumlah tentera yang dipimpin itu adalah ramai, digambarkan dalam hadis sebagai sebanyak tiga puluh ribu orang. Bilangan itu hanyalah gambaran untuk menunjukkan ramai, bukan mesti tepat-tepat menurut jumlah itu. Pemimpin peneraju NATO dalam menyerang Iraq itu adalah Britain dan Perancis.

Tentera yang besar ini menuju ke Iraq. Dalam peperangan ini, seramai seratus ribu orang terbunuh, iaitu dari kalangan orang awam, bukan bilangan tentera Iraq atau Amerika Syarikat. Peristiwa penyerangan Amerika Syarikat dan sekutu NATOnya ini berlaku pada tahun 1990, dan kesannya masih lagi berterusan hingga ke hari ini. Zaura’ yang dimaksudkan adalah ibu kota Iraq iaitu Baghdad dan kawasan-kawasan di utara Iraq, kerana pada masa itu, Baghdad dan kawasan yang dimaksudkan belum begitu dikenal lagi.

Yang dimaksudkan dengan Kufah ialah Asia Tenggara. Serangan kali ini bukan lagi menggunakan kekuatan tentera tetapi dengan kekuatan ekonomi. Hadis tidak menyebutkan bentuk serangan yang kedua ini dan berapa ramai yang terbunuh. Para kapitalis Amerika Syarikat dan Eropah menyerang dan merosakkan ekonomi negara-negara di Asia. Selepas itu, iaitu dalam keadaan gawat ekonomi itu, muncullah Pemuda Bani Tamim menjadi pemerintah, dan beliau menyediakan tapak untuk pemerintahan Imam Mahdi di Timur. Disebutkan secara agak lengkap ciri-ciri Imam Mahdi untuk dikenali dan diyakini.

Pemuda Bani Tamim itu berjuang mengembalikan kekuasaan kepada Ahlulbait, yang disebut di dalam hadis mursal di atas sebagai anak-anak keturunan Abbas, kerana Bani Abbas itu adalah wakil kepada seluruh Ahlulbait. Pemuda Bani Tamim itu akan berperang dengan as-Sufyani, iaitu orang-orang Syiah di Iran pada hari ini. Orang-orang Syiah memerangi Pemuda Bani Tamim kerana beliau telah merosakkan Imam Mahdi mereka. Orang-orang Syiah meyakini Imam Mahdi mereka bernama Muhammad bin Al-Hasan al-Askari, tetapi Imam Mahdi yang bakal muncul ini adalah Muhammad bin Abdullah. Dan ini amat memarahkan mereka kerana nyatalah kini bahawa ulama-ulama Syiah telah berdusta kepada seluruh pengikutnya dan kepada seluruh dunia Islam sejak dahulu hingga ke saat tersebut.

Pemuda Bani Tamim selain memerangi as-Sufyani kecil iaitu Syiah, juga akan memerangi As-Sufyani besar iaitu Amerika Syarikat dan sekutu Eropahnya. Amerika Syarikat dan Eropah memerangi Pemuda Bani Tamim kerana beliau telah merosakkan sunnah mereka di atas dunia sekarang, menghancurkan sistem ekonomi dan melemahkan cengkaman mereka ke atas seluruh dunia. Sangatlah marahnya mereka kepada Pemuda Bani Tamim dan para Ikhwannya itu
02068 9. Imam Mahdi dan Pemuda Bani Tamim Tidak akan Kalah
A. Sabda Nabi SAW,
“Sentiasa akan ada satu toifah dari kalangan umatku yang sanggup menzahirkan kebenaran. Mereka tidak dapat dirosakkan (dikalahkan) oleh orang-orang yang menentangnya, hinggalah datang perintah Allah ( mati syahid atau tibanya hari kiamat).”
Ciri utama toifah yang dimaksudkan itu ialah mereka diberi keupayaan untuk menzahirkan kebenaran, bukan setakat memperkatakannya sahaja. Kalau setakat memperkatakannya, orang-orang Perancis yang bertaraf profesor pun lebih bijak bercakap daripada umat Islam sendiri. Jemaah-jemaah lain lazimnya hanya diberi keupayaan untuk memperkatakannya, tetapi tidak diberi keupayaan untuk mempraktikkannya. Jika mereka mempraktikkannya pun, hanyalah dalam satu dua perkara yang terlalu remeh-temeh menurut pandangan hati ulama batin.
Ciri kedua yang dimiliki oleh toifah awal kurun ialah mereka tidak dapat dikalahkan oleh mana-mana pihak pun yang menentangnya. Maksudnya, mereka ini sentiasa mendapat pertolongan terus daripada Allah dalam segala bentuk, tempat dan masa. Pertolongan itu pula bukannya dalam bentuk biasa, melainkan bertaraf keramat kerana sudah menjadi kebiasaan di dalam setiap jemaah kebenaran itu, terdapat orang yang bertaraf wali-wali yang doanya sangat mustajab. Melalui mereka inilah Allah turunkan pertolongan-Nya sehingga mereka tidak terkalahkan.
Ciri ketiga yang dimiliki oleh toifah ini ialah pemimpinnya adalah orang yang bertaraf mujaddid untuk sesuatu kurun itu, bukannya ulama biasa. Mujaddid adalah orang-orang yang sangat istimewa pada sisi Allah kerana mereka memang diutuskan kepada umat manusia untuk mengembalikan mereka kepada agama mereka dan kepada Tuhan, setelah tersasar jauh sekian lama
02070 11. Wajib Mentaati Imam Mahdi
A. Ibnu Masud RA meriwayatkan bahawa,
“Kami mendatangi Rasulullah SAW dan baginda keluar dengan membawa berita gembira, dan kegembiraan itu terbayang pada wajahnya. Kami bertanya kepada baginda perkara yang menggembirakan itu dan kami tidak sabar untuk mendengarnya. Tiba-tiba datanglah sekumpulan anak-anak muda Bani Hasyim yang di antaranya adalah al-Hasan dan al-Husain RA. Apabila terpandangkan mereka, tiba-tiba kedua-dua mata baginda berlinangan lalu kami pun bertanya, “Wahai Rasulullah, kami melihat sesuatu yang kami tidak sukai pada wajahmu.” Baginda menjawab, “Kami Ahlulbait, telah Allah pilih akhirat kami lebih dari dunia kami. Kaum kerabatku akan menerima bencana dan penyingkiran selepasku kelak sehingga datanglah Panji-panji Hitam dari Timur. Mereka meminta kebaikan tetapi tidak diberikannya. Maka mereka pun berjuang dan memperoleh kejayaan. Sesiapa di antara kamu atau keturunan kamu yang hidup pada masa itu, datangilah Imam yang dari ahli keluargaku walau terpaksa merangkak di atas salji. Sungguh, mereka adalah pembawa Panji-panji yang mendapat hidayah. Mereka akan menyerahkannya kepada seorang lelaki dari ahli keluargaku yang namanya seperti namaku, dan nama bapanya seperti nama bapaku. Dia akan memenuhkan dunia ini dengan keadilan dan kesaksamaan.”
(Abu Daud, At-Tarmizi, Al-Hakim, Ibnu Hibban, Ibnu Majah, Abus Syeikh, Ibnu Adi, Abu Dhabi, Ibnu Asakir & Abu Nuaim)
Mereka yang dimaksudkan oleh hadis ini tidak lain dan tidak bukan adalah Ikhwan dan Asoib, yang ketua mereka adalah Syuaib bin Saleh Pemuda Bani Tamim itu. Salah satu keramat terbesar Pemuda Bani Tamim ialah membawa hidayah yang merata kepada seluruh umat Islam dan semua manusia. Melaluinya, Allah SWT memberikan hidayah-Nya kepada semua manusia, sama seperti yang diperbuat oleh Allah melalui Rasulullah SAW. Hanya bezanya Rasulullah SAW membawa hidayah sebagai suatu mukjizat, sedangkan Pemuda Bani Tamim membawa hidayah sebagai suatu keramat. Dan peranannya membawa hidayah ini sudah dinyatakan oleh baginda SAW dalam hadis di atas.

Rasulullah SAW menyebutkan bahawa golongan Ahlulbait akan menerima dua ujian iaitu pertama, bencana dibunuh dan ditekan oleh pemerintah-pemerintah mereka, dan yang kedua ialah disingkirkan dari tanah air mereka. Ujian pertama itu sudah berlaku sejak awal Islam lagi, dimulai dengan terbunuhnya Sayidina al-Husain RA di Padang Karbala dan seterusnya hinggalah berakhir zaman pemerintahan Bani Abbasiah di Baghdad. Yang kedua iaitu disingkir dari tanah air mereka telah juga berlaku iaitu sejak Bani Saud mengambil alih kekuasaan di seluruh Hijaz dan sebahagian besar Semenanjung Tanah Arab.

Pemuda Bani Tamim juga disebutkan menerima ujian yang sangat berat dan tugas yang sangat besar, mengikut tahap yang telah disebutkan oleh hadis, berjumlah tujuh tahap. Kesukaran antara setiap tahap itu adalah berbeza-beza. Tahap berikutnya adalah jauh lebih berat daripada tahap-tahap yang telah dilalui sebelumnya. Ketujuh-tujuh tahap yang disebutkan oleh hadis itu adalah;

1.Mereka meminta kebaikan. Maksudnya mereka menyeru manusia kembali kepada ajaran Islam yang sebenar, iaitu Islam yang diasaskan pada tiga ilmu yang fardhu (tauhid, fekah dan tasawuf) sehingga manusia menjadi baik zahir dan batinnya. Itulah yang dimaksudkan dengan kebaikan di sini. Juga boleh dimaksudkan dengan beliau membina jemaah Islamnya sendiri sehingga menjadi sebuah jemaah yang besar dan hebat, sebuah jemaah yang mampu menzahirkan kebenaran, bukan semata-mata mampu memperkatakannya. Dari sini beliau mendirikan sebuah kerajaan dalam kerajaan, iaitu kerajaan Islam bayangan. Apabila mendapat kuasa kelak, bentuk itulah yang akan diperluaskan ke seluruh negara dan kawasan serantau, seterusnya ke seluruh dunia. Islam mereka adalah Islam praktikal, bukan Islam teori. Maksudnya ialah Islam yang hidup dalam dunia nyata, bukan sekadar Islam tempel atau Islam kulit. Islam itu adalah Islam yang menyeimbangkan antara syariat zahir dengan syariat batin, melalui rasa bertuhan yang tinggi. Juga Islam yang menyeimbangkan antara keperluan dunia dengan keutamaan akhirat. Maksudnya setiap yang mereka buat adalah untuk akhirat, tetapi dunia yang tidak sia-sia tetap dibuat, dengan niat untuk akhirat. Tamadun akhirat menjadi keutamaan bagi mereka, dan sebagai hasilnya tamadun dunia akan terbina dengan sendirinya tanpa perlu bersusah-susah memikirkan mengenainya. Itulah sebahagian kecil erti mereka meminta kebaikan seperti yang disebutkan oleh hadis Nabi SAW.

2.Tidak diberikannya. Nya di sini menunjukkan seorang atau sekumpulan orang, tidak melibatkan orang lain atau pihak lain. Dan Nya yang dimaksudkan bukanlah orang atau sekumpulan orang yang biasa, melainkan orang atau orang-orang yang mempunyai kuasa atau ilmu atau cantuman kedua-duanya sekali. Jika orang biasa, mustahil mereka dapat menghalang usaha dakwah yang memang sentiasa mampu menarik manusia kembali kepada ajaran Islam sebenar itu.Maka orang inilah atau kumpulan inilah yang berusaha keras menentang usaha-usaha dakwah Pemuda Bani Tamim, sehingga mereka sanggup menyeksa dan memperlakukannya sedemikian kejam sedangkan mereka sendiri tiada bukti dan alasan untuk memperlakukannya demikian. Namun, itulah kehendak Allah SWT seperti yang tersurat di dalam takdir-Nya. Dan hal ini memang telah pun berlaku dan sekali gus membenarkan apa yang disabdakan oleh baginda SAW.
Mereka ini pula datang dengan berbagai-bagai rupa dan cara. Ada yang berbentuk pemerintah sebenar, yang menggunakan kaedah kuku besi untuk menindas perjuangan suci ini. Ada yang berupa orang baik lagi bersih tetapi mendalangi perbuatannya pada orang lain, iaitu berselindung di balik nama orang lain. Dialah dalang sebenar dan terbesar, kerana ada niat tersembunyi dan besar. Ada yang berupa orang alim dalam hal ehwal agama, iaitu menggunakan agama sebagai alat untuk membunuh usaha dakwah berkenaan. Ada yang berupa pihak penyampai, iaitu menggunakan media mereka sebagai alat untuk menabur fitnah dan berita bohong mengenai keburukan Pemuda Bani Tamim dan perjuangannya itu.
3.Mereka pun berjuang. Berjuang di sini bukan bermaksud berjuang dengan pedang atau senjata moden yang lain. Islam tidak akan dapat ditegakkan oleh sesiapa pun dengan menggunakan senjata pedang semata-mata. Belum pernah lagi terjadi dalam sejarah, ajaran Islam dapat ditegakkan semata-mata dengan pedang, iaitu memaksa-maksa orang lain menerima Islam. Sebenarnya ada senjata yang lebih berkuasa dan lebih tajam dari pedang iaitu dakwah yang berhikmah dan bi lisanul hal. Maksud berjuang juga adalah berjuang memperbaiki diri dan ibadat kepada Allah SWT sambil berusaha bersungguh-sungguh meninggalkan setiap yang boleh mendatangkan dosa sehingga menghijab hubungan antara mereka dengan Allah. Mereka takut dikeranakan dosa mereka itu, perjuangan mereka tidak dibantu oleh Allah lalu mereka Allah biar dikalahkan oleh musuh-musuh mereka.

4.Mereka memperoleh kejayaan. Hasil mujahadah nafsu dan muhasabah dosa mereka itu, Allah berkenan membantu mereka sehingga perjuangan mereka itu berjaya. Berjaya di sini dimaksudkan dengan berjaya mengalahkan nafsu jahat mereka sendiri sehingga nafsu mereka dapat ditundukkan kepada Allah, berjaya mencapai taraf soleh dan solehah malah ada yang menjadi wali Allah, sangat berjaya dalam setiap bidang yang diceburi, berjaya membina tamadun mereka yang tersendiri, dan berjaya mengajak masyarakat agar kembali kepada Allah dan mengamalkan ajaran agama Islam yang sebenar dalam diri masing-masing. Pemimpinnya  iaitu Syuaib bin Saleh berjaya menyiapkan seluruh jentera pentadbiran awal yang bakal diserahkannya kepada Imam Mahdi kelak. Sebahagian jentera pentadbiran awalnya ini akan dikekalkan di bawah pentadbirannya sendiri dan sebahagiannya lagi akan berkhidmat untuk Imam Mahdi. Semuanya dipilih dan ditentukan oleh Allah SWT sendiri, diilhamkan kepada Imam Mahdi dan Imam Mahdi pula menyampaikannya kepada Syuaib bin Saleh. Melalui arahan itulah Syuaib bin Saleh memilih dan melantik barisan kepemimpinannya. Kedudukan mereka dalam pentadbiran adalah berdasarkan taraf takwanya kepada Allah SWT, bukan semata-mata ilmu yang tinggi atau amal yang banyak siang malam, dan jauh sekali melalui pengalaman berpolitik sebelum ini. Semakin tinggi takwa mereka kepada Allah, semakin tinggilah kedudukan yang akan Allah serah kepadanya untuk membantu menguruskan seluruh umat Islam ini. Semua masalah yang selama ini amat kronik, berjaya disembuhkan, kerana adanya pertolongan terus daripada Allah yang didatangkan melalui tangan-tangan mereka yang bertakwa ini. Mereka juga berjaya kerana pada masa inilah semua orang sudahpun mengetahui siapa sebenarnya peribadi yang disebutkan sebagai Pemuda Bani Tamim atau Syuaib bin Saleh itu. Orang ramai juga sudahpun mengetahui siapa peribadi sebenar yang bakal menjadi Imam Mahdi itu. Itulah antara maksud hadis dengan memperoleh kejayaan.

5.Diberikanlah apa yang mereka minta itu. Mereka diserahkan urusan pemerintahan dan pentadbiran umat Islam di Timur, dimulai di Malaysia, insya-Allah. Keadaan ini amat menggemparkan seluruh dunia terutama Barat kerana ternyata usaha-usaha mereka selama ini untuk menyekat kebangkitan semula Islam di dunia ini telah gagal. Islam yang dibendung-bendung dengan pelbagai cara dan sekatan itu tetap bangkit juga. Jika dahulu oleh Nabi Muhammad SAW, kini oleh Muhammad III iaitu Muhammad bin Abdullah al-Mahdi. Pada waktu ini, seluruh sistem Barat yang sedang digunakan di Timur lumpuh terus. Perdagangan, perekonomian, pendidikan, politik dan pemikiran Barat yang sedang asyik digunakan menjadi lumpuh. Jalan-jalan dagang tersekat kerana tidak dapat beroperasi dengan betul.
Selepas itu wilayah kekuasaannya meluas hingga ke Singapura, Brunei Darussalam, seluruh Indonesia, Thailand selatan, Filipina selatan, Kampuchea dan Vietnam selatan. Kawasan-kawasan ini adalah fasa pertama kebangkitan semula Islam kali kedua ini. Pada masa ini taraf Ummah Kedua masih belum siap sepenuhnya, masih lagi dalam proses permulaan atau pemulihan. Tugas Pemuda Bani Tamim hanyalah membuang seluruh sistem Barat dan membersihkan saki-baki karatnya, kemudian menyediakan tapak hati yang telah dibersihkan tadi supaya bersedia menerima suatu hidayah baru yang selama ini tertutup rapat sejak kewafatan baginda SAW kira-kira seribu empat ratus tahun dahulu. Hidayah itu tidak dimiliki oleh Pemuda Bani Tamim, atau Allah tidak memberikan kelebihan itu kepada beliau. Kelebihan yang satu ini hanya dimiliki oleh Imam Mahdi sahaja, selain Rasulullah SAW sendiri. Hidayah yang dibawa oleh Pemuda Bani Tamim adalah hidayah yang bersifat umum, iaitu membawa manusia meninggalkan sistem jahiliyah Barat kepada sistem Islam. Yang seterusnya adalah tugas Imam Mahdi pula.
Rasulullah SAW pula memiliki kedua-dua bentuk hidayah ini, dan hanya baginda SAW seorang sahaja yang benar-benar diberikan hidayah jenis ini. Kedua-dua bentuk hidayah itu adalah hidayah untuk membuang segala sistem jahiliyah sehingga hati dan fikiran mereka menjadi bersih sebersih-bersihnya, kemudian menyediakan tapak hati yang telah dibersihkan itu untuk menerima hidayah seterusnya. Hidayah yang seterusnya adalah hidayah untuk menerima Pendidikan Rasulullah SAW, yang bersifat sangat suci dan amat tinggi, serta amat halus sehingga mampu melahirkan orang-orang yang bersifat samikna wa ata’na (kami mendengar dan kami taat akan segala perintah) dan menjadikan mereka orang-orang yang bertaraf wali-wali Allah yang tinggi, sentiasa mengamalkan cara hidup ruhbanu fil lail wa fursanu binnahar (umpama rahib pada malamnya dan umpama singa pada siangnya). Kedua-dua hidayah ini, pada zaman ini hanya ada pada mereka berdua sahaja, tidak diberikan kepada orang lain. Sesiapa yang menginginkan kedua-dua hidayah itu, mahu tidak mahu hendaklah melalui mereka berdua ini sahaja, tidak didapat melalui orang lain lagi.
Sambil menghapuskan seluruh sistem Barat yang telah lama berkarat di seluruh negara, Pemuda Bani Tamim mempunyai tugas yang cukup besar dan sangat berat iaitu mengemaskan seluruh negara dengan iman yang tinggi, akhlak yang mulia, akidah yang benar-benar mantap, mempersiapkan seluruhnya untuk menerima ketibaan Imam Mahdi yang sangat ditunggu-tunggu, sangat dirindu, yang sangat disayangi dan sangat dicintai itu. Seluruh hati yang beriman sudah berbunga, dengan bunga-bunga yang kembang biak mewangi di seluruh negara. Yang kafir dan munafik, ketika itu sangat menderita, hatinya terbakar hangus oleh kemarahan dirinya sendiri yang tidak terbendung-bendung lagi sehingga membakar hangus akal dan pertimbangan warasnya. Sangatlah sakit hatinya ketika itu. Allah sahajalah yang tahu keadaan mereka ini. Wajah mereka berkerut seribu dan masam mencuka, tanda tidak suka.
Selepas itu, wilayah-wilayah Islam semakin merebak dan meluas. Kini mula memasuki seluruh Thailand, seluruh Filipina, seluruh Laos, seluruh Viertnam, seluruh Myanmar, mula masuk ke wilayah-wilayah di China dan seterusnya sampai ke Khurasan. Penyebaran Islam kali ini sudah memasuki tahap kedua, dengan sampainya Islam ke Khurasan, tempat yang dijanjikan akan munculnya Panji-panji Hitam yang sebenar dan tempat seorang lelaki menanti Pemuda Bani Tamim. Ketika ini, Panji-panji Hitam dan Pedang Zulfakar sudah pun berada di tangan Pemuda Bani Tamim. Kedua-duanya ditancapkan tinggi-tinggi ke udara, sebagai lambang tingginya kedudukan Islam dan tingginya cita-cita besar mereka.

6.Mereka tidak menerimanya. Maksud tidak menerimanya bukanlah dengan erti tidak menerima terus urusan pemerintahan yang diserahkan kepada mereka. Maksud sebenarnya ialah mereka menyatakan secara tegas dan tetap bahawa pemerintahan ini adalah hak mutlak Imam Mahdi, dan mereka hanyalah bertindak sebagai pengurus atau pemegang sementara sahaja, iaitu sementara pemilik sebenarnya muncul ke dunia ini. Apabila pemilik yang sebenar berhak ke atas pemerintahan itu, mereka akan segera menyerahkannya kepada orang itu, yang tidak lain dan tidak bukan adalah Imam Mahdi al-Alawi. Oleh itu, pemerintahan mereka adalah sebagai pemegang amanah atau pemangku sahaja, ketika pemimpinnya tiada di situ. Penjelasannya sudah dibuat di atas tadi.

7.Mereka menyerahkannya kepada seorang lelaki dari Ahlulbait. Menurut hadis-hadis, orang itu adalah Imam Mahdi sendiri, tidak lain dan tidak bukan. Tempat penyerahan itu boleh sahaja berlaku di Makkah atau jika mereka terlambat sedikit, mereka akan terus sahaja ke Baitulmaqdis. Di sanalah mereka akan menyerahkan Panji-panji Hitam itu kepada orang yang paling berhak menerimanya. Beliau adalah waris terakhir dari kalangan Ahlulbait yang akan diserahi tugas dan tanggungjawab memimpin seluruh manusia kepada Islam. Dengan penyerahan ini, lengkaplah tugas Pemuda Bani Tamim. Tugas seterusnya adalah tertanggung kepada Imam Mahdi. Namun, Imam Mahdi tetap memberikan Pemuda Bani Tamim tugas yang sesuai dengan jasanya kepada Islam dan kedudukannya yang sangat tinggi pada sisi Allah SWT dan beliau tetap terus menabur jasa yang tidak terhingga kepada seluruh umat Islam dan dunia.
Ketika ini, tahap ketiga yang dikehendaki oleh Jadual Allah itu selesailah sudah iaitu dengan tunduknya seluruh Tanah Arab di bawah pemerintahan Pemuda Bani Tamim dan Imam Mahdi. Dan dengan ini, seluruh dunia Islam yang meliputi tiga tahap itu, dan nama baru bagi seluruh dunia Islam yang meliputi ketiga-tiga tahap ialah Malaysia Raya! Ini adalah mengambil sempena nama negara kita yang tercinta ini, disebabkan oleh faktor-faktor berikut;
  • a.Di situlah tempat kelahiran Pemuda Bani Tamim. Pemuda Bani Tamim yang digelar sebagai Syuaib bin Saleh itu dilahir dan dibesarkan di Malaysia, tidak di tempat lain.
  • b.Di situlah Pemuda Bani Tamim memulakan pendidikannya sehingga besar dan dewasa. Beliau tidak belajar di tempat-tempat lain seperti yang lazim berlaku pada ulama-ulama lain sejak dahulu hingga kini. Jika beliau pergi ke luar negara pun, adalah untuk berdakwah sambil belajar, bukan semata-mata dengan tujuan belajar.
  • c.Di situlah Pemuda Bani Tamim memula dan mengasaskan perjuangannya dari mula sehingga berkembang ke seluruh negara dan seterusnya berjaya pula di peringkat antara bangsa. Kebangkitan semula Islam di seluruh negara dan kemudian merebak ke seluruh dunia adalah bermula di Malaysia, tidak di tempat-tempat lain.
  • d.Di situlah mula-mula tapak daulah Islamiah didirikan dan seterusnya menjadi tapak bagi pembentukan Ummah Kedua.
  • e.Di situlah tempat Imam Mahdi menetap sehinggalah beliau ghaib. Beliau dikatakan ghaib di Malaysia dan sentiasa berada di sekitar Malaysia untuk melihat-lihat keadaan seluruh negara, di samping di tempat-tempat lain di Indonesia dan Singapura.
  • f.Golongan Asoib paling ramai datang dari Malaysia. Golongan Asoib adalah generasi yang sama taraf dengan golongan Sahabat RA, bezanya Asoib adalah untuk akhir zaman dan Sahabat RA untuk zaman awal Islam. Dan di Malaysialah golongan ini paling ramai muncul.
  • g.Di situlah pusat pemerintahan Imam Mahdi didirikan. Di Malaysia ada pusat pentadbiran yang akan menjadi pusat pemerintahan seluruh dunia bagi Imam Mahdi. Di pusat pentadbiran itulah Imam Mahdi akan mentadbir seluruh dunia, dalam suasana pemerintahan Islam sebenar.
Dan seperti yang dijanjikan oleh baginda SAW sendiri, kemunculan Pemuda Bani Tamim adalah menandakan akan segera pula munculnya Imam Mahdi. Ertinya, Imam Mahdi tidak akan muncul sendirian, melainkan telah didahului oleh kemunculan orang kanannya yang setia itu.

02071 12. Hadis Panji-panji Yang Amat Terkenal
A. Dari Abdullah RA katanya,
“Ketika kami berada di sisi Rasulullah SAW, tiba-tiba datang sekumpulan anak-anak muda dari kalangan Bani Hasyim. Apabila terpandang akan mereka, maka kedua-dua mata Rasulullah SAW berlinangan air mata dan wajah baginda berubah. Aku pun bertanya, “Mengapakah kami melihat pada wajahmu sesuatu yang kami tidak sukai?” Baginda menjawab, “Kami Ahlulbait, telah dipilih oleh Allah akhirat kami lebih dari dunia kami. Kaum kerabatku akan menerima bencana dan penyingkiran selepasku kelak sehinggalah datang suatu kaum dari sebelah Timur dengan membawa bersama-sama mereka Panji-panji Hitam. Mereka meminta kebaikan tetapi tidak diberikannya. Maka mereka pun berjuang dan memperoleh kejayaan lalu diberikanlah apa yang mereka minta itu tetapi mereka tidak menerimanya sehinggalah mereka menyerahkannya kepada seorang lelaki dari kaum kerabatku yang akan memenuhkan bumi ini dengan keadilan sebagaimana halnya ia dipenuhi dengan kedurjanaan. Sesiapa di antara kamu yang sempat menemuinya, maka datangilah mereka walaupun kamu terpaksa merangkak di atas salji.” (Ibnu Majah)
Jika diperhatikan ketiga-tiga buah hadis di atas (hadis nombor 10, 11 dan 12), kita akan dapati terdapat sedikit perbezaan matannya. Namun, perbezaan matannya yang sedikit ini tidak boleh pula dijadikan alasan untuk kita terus menjatuhkannya sebagai maudhuk. Perbezaan matannya ini tidak begitu jelas, dan tidak menunjukkan pertentangan maksud antara satu hadis dengan hadis yang lain. Kesemuanya sebenarnya saling menguatkan antara satu sama lain atau menunjukkan hadis ini datang melalui beberapa riwayat atau sanad. Sungguhpun rawi akhirnya (sahabat RA) hanya seorang sahaja iaitu Abdullah bin Mas’ud RA, ini tidak dapat dijadikan alasan untuk mendhaifkannya apatah lagi memaudhukkannya terus kerana jalan (sanad) yang diterima adalah banyak
02072 13. Pemuda Bani Tamim Sentiasa Dibantu oleh Allah
A. Daripada al-Hasan Al-Basri RH katanya,
Bahawa Nabi SAW menyebut bala yang akan menimpa kaum keluarganya, “Hinggalah Allah mengutuskan Panji-panji Hitam dari Timur. Sesiapa yang menolongnya akan ditolong pula oleh Allah. Sesiapa yang menghinanya akan dihinakan pula oleh Allah, hinggalah mereka mendatangi seorang lelaki yang namanya seperti nama aku. Mereka pun melantiknya memimpin mereka, maka Allah pun membantu dan menolongnya.”       (Nuaim bin Hammad)
Hadis mursal ini menjelaskan bahawa Pemuda Bani Tamim itu mempunyai beberapa ciri utama, yang antaranya adalah sebagai pembawa Panji-panji Hitam kepunyaan Rasulullah SAW. Kelebihan seterusnya ialah beliau adalah seorang yang digelar Al-Mansur (Orang yang Dibantu oleh Allah) dan sesiapa yang membantunya akan turut dibantu oleh Allah. Kelebihan yang kedua ini adalah keramat beliau yang amat besar kerana dapat membantu orang yang membantunya menegakkan semula agama Islam.
Hadis mursal ini juga memberi amaran yang cukup jelas dan tegas kepada sesiapa sahaja, sama ada yang Islam atau yang kafir agar jangan cuba-cuba mengganggu atau menghalang sebarang usaha Pemuda Bani Tamim daripada membina tapak daulah Imam Mahdi itu. Namun sudah ditakdirkan juga oleh Allah SWT bahawa usahanya yang begitu murni dan baik itu tetap akan ada penghalangnya. Dan terbukti pula hadis ini benar dari segi matannya kerana setiap orang yang telah menentang Pemuda Bani Tamim akan menerima balasan yang amat setimpal dengan perbuatan mereka itu, di dunia ini lagi, kerana itulah yang dijelaskan oleh Rasulullah SAW di dalam hadisnya. Matan hadis yang berbunyi sesiapa yang menghinanya akan dihinakan pula oleh Allah bermaksud mereka yang menentang Pemuda Bani Tamim akan menerima balasan yang segera di dunia ini lagi, dan kehinaan yang lebih dahsyat sedia menanti mereka di akhirat kelak. Ini janji Rasulullah SAW, bukan janji manusia. Setiap janji baginda SAW adalah benar dan pasti, tidak ada syak lagi padanya.
Selain Pemuda Bani Tamim, para Ikhwan juga akan sentiasa dibantu oleh Allah SWT dengan bantuan-Nya dan pertolongan-Nya. Kedua-dua bentuk pertolongan dan bantuan dari Allah ini tidak pernah diterima oleh mana-mana generasi Islam pun sebelum ini, melainkan pada zaman Rasulullah SAW dan zaman Khulafa ur-Rasyidin dahulu. Selepas itu, pada zaman Khalifah Umar bin Abdul Aziz, hanya bantuan dari Allah sahaja yang diterimanya, manakala pada zaman Sultan Muhammad al-Fateh Osmaniah pula, hanya pertolongan Allah sahaja yang diterimanya. Dan pada akhir zaman ini, kedua-dua pertolongan dan bantuan Allah dapat mereka terima secara sekaligus.
Dan dengan bantuan dan pertolongan dari Allah itu, umat Islam akan menjadi mulia semula. Mereka menjadi umat yang maju lahir dan batin, mantap akidahnya, cantik akhlaknya dan menjadi tuan yang memerintah bagi seluruh dunia. Seluruh dunia akan tunduk dan taat kepada Islam, kerana umat Islamnya sendiri tunduk dan taat kepada segala perintah Allah SWT zahir dan batin. Kepada orang-orang yang beginilah Allah SWT beri sepenuh kepercayaan dan Dia akan serahkan seluruh dunia ini untuk mereka warisi dan tadbir dengan sistem yang Allah telah tetapkan. Apakah kita tidak teringin atau berhasrat melihat agama Islam dan umatnya menjadi maju dan peneraju dunia seperti zaman Nabi SAW dahulu?
02073 14. Pemuda Bani Tamim Adalah Pembela Sebenar Ahlulbait
A. Dari Sayidina Ali KMW katanya Nabi SAW bersabda,
“Akan keluar seorang lelaki dari seberang sungai yang dikatakan Al-Haris bin Harras, yang di hadapannya ada seorang lelaki yang dikatakan al-Mansur, dialah yang akan memudahkan urusan atau membela keluarga Nabi SAW seperti pihak Quraisy yang membela Rasulullah SAW. Wajib setiap mukmin menolongnya atau baginda bersabda, “Wajib setiap orang mukmin menerimanya.”          (Abu Daud, an-Nasa’i, al-Baihaqi & al-Husin)
Seberang Sungai yang dimaksudkan atau disebut di dalam hadis sebagai Ma Wara an-Nahar, adalah juga wilayah Khurasan yang terkenal itu. Memang dalam sejarah awal penaklukan Islam ke atas wilayah-wilayah timur Arab, nama Ma Wara an-Nahar sudah cukup terkenal. Nama itu sudah wujud dalam sejarah penaklukan oleh Sayidina Umar RA lagi, disambung lagi pada zaman pemerintahan Bani Umaiyah. Maka nama itu memang terkenal dalam sejarah umat Islam sehingga ke hari ini. Khurasan juga adalah cukup terkenal, walaupun pada hari ini wilayah yang dinamakan Khurasan itu sudah tiada lagi kerana dipotong-potong oleh pihak penjajah Barat yang cuba menghilangkannya dari peta dunia. Mereka juga yakin dengan kebenaran hadis-hadis Nabi SAW mengenai wilayah Khurasan ini.

Dari kawasan itulah akan muncul seorang lelaki yang bernama Al-Haris. Al-Haris itu namanya dan Harras itu gelaran dan pekerjaannya kerana dia adalah seorang petani yang sangat berjaya kerana dibantu oleh Allah dalam setiap usaha taninya itu. Memang dia menempati kawasan itu, tidak keluar ke mana-mana. Dialah yang akan menyerahkan Panji-panji Hitam sebenar kepada Syuaib bin Saleh at-Tamimi, selain menyerahkan sejumlah pasukan untuk digunakan oleh Syuaib bin Saleh dalam ekspedisi besarnya itu.

Maksud yang di hadapannya bermaksud Al-Haris itu adalah pembantu kepada Syuaib bin Saleh. Namun dia hanya menyerahkan sejumlah pasukan kepada Syuaib bin Saleh, dan tidak ikut serta dalam ekspedisi itu. Dia tetap tinggal di wilayah Khurasan itu, memimpin umat Islam di sana dalam urusan agama mereka. Pada masa inilah Syuaib bin Saleh mendapat gelaran al-Mansur, suatu gelaran yang sangat istimewa bagi umat ini, sama istimewanya dengan gelaran as-Siddiq bagi Sayidina Abu Bakar, dan Karramallhu Wajhah bagi Sayidina Ali RA.

Al-Mansur inilah yang menjadi pembela sebenar keluarga Nabi Muhammad SAW pada akhir zaman ini kerana beliau berjuang untuk menaikkan seorang Ahlulbait ke jawatan yang paling tinggi bagi sekalian umat Islam sehingga dengan hasil usaha dan susah payahnya itu, mudahlah Ahlulbait berkenaan menjawat jawatannya sebagai khalifah bagi seluruh umat Islam. Dan sebagai mengiktiraf setiap hasil usahanya itu, Rasulullah SAW menyatakan dengan jelas dan terang bahawa wajib setiap mukmin menerimanya atau menolongnya, sehingga matlamat yang diperjuangkannya itu tercapai sepenuhnya.

Pada ketika ini, bukan sahaja umat Islam yang membelakangkan golongan Ahlulbait, malah di kalangan Ahlulbait sendiri ada yang menjadi penyambung lidah golongan yang menghancurkan mereka dahulu, dengan mengecam dan merendah-rendahkan golongan Ahlulbait sendiri. Apa niat mereka yang tersirat, kita pun tidak tahu. Selain itu, mereka ini juga berpecah-pecah ke sana-sini, berterabur ke serata pelosok dunia. Masing-masing ikut kepala sendiri-sendiri. Dalam keadaan demikian, hampir mustahil mereka ini dapat disatukan lagi di bawah satu pimpinan dan di suatu tempat tertentu. Namun, dalam keadaan demikian, muncul Pemuda Bani Tamim Syuaib bin Saleh yang menjadi pembela kepada golongan Ahlulbait itu sendiri, kemudian berusaha keras memandu mereka kembali kepada kebenaran, sambil menyatukan semula mereka yang sudah begitu lama berpecah-pecah ke sana-sini itu.

Sehingga apabila Imam Mahdi muncul sebagai khalifah Allah, golongan Ahlulbait ini sudah disatukan semula di suatu tempat dan bersatu pula pemikiran dan tindak-tanduk mereka. Selain itu, Pemuda Bani Tamim juga disebut mengikut jejak kaum Quraisy dahulu dalam membela Rasulullah SAW, iaitu sanggup bersusah payah dan sama-sama menanggung derita demi membela kaum Ahlulbait ini. Maka wajiblah kita sebagai umat Islam yang mukmin turut sama membantu usaha murninya itu. Ertinya setiap umat Islam wajib mencari pemimpin yang dilantik oleh Allah SWT pada awal setiap kurun Hijrah.
02074 15. Sifat-sifat Khusus Pemuda Bani Tamim
A. Kata Ka’ab bin Alqamah RH,
“Yang akan membawa bendera al-Mahdi adalah seorang lelaki yang muda usianya. Dia berjanggut nipis dan berkulit kuning. Sekiranya dia menggempur gunung, nescaya gunung itu akan hancur dan menjadi rata (sehinggalah mereka) sampai ke bandar Ilyak (sebuah bandar di Baitulmaqdis).”
Sahabat Rasulullah SAW menyebutkan beberapa sifat khusus Pemuda Bani Tamim sebagai menjelaskan lagi ciri-ciri yang telah sedia disebutkan oleh baginda SAW dalam beberapa hadisnya sebelum ini. Tambahan-tambahan ini amatlah berguna, terutamanya pada zaman kita ini, walaupun dipandang sepi sahaja oleh kebanyakan umat Islam sejak dahulu lagi
02075 16. Pemuda Bani Tamim Adalah Dari Keturunan Sayidina Al-Hasan RA
A. Abdullah bin Amru RA berkata,
“Seorang lelaki dari anak cucu Al-Hasan akan datang dari arah Timur. Jika dia menghadap ke arah gunung, akan dipukulnya hingga rata sehingga mereka berjaya melaluinya.”
Fakta yang amat menarik ini dikemukakan oleh Sayidina Abdullah bin Amru RA, seorang sahabat Rasulullah SAW yang terkemuka. Menurut beliau, Pemuda Bani Tamim itu berasal dari kalangan Ahlulbait juga, dari anak cucu Sayidina al-Hasan bin Ali RA. Sayidina Abdullah bin Amru RA meriwayatkan banyak hadis mengenai Imam Mahdi dan Pemuda Bani Tamim, selain mengeluarkan pandangan beliau sendiri, yang kita yakin adalah kasyaf beliau, iaitu apa yang Allah SWT kurniakan kepada beliau.

Berdasarkan penyataan beliau inilah, maka pada hari ini, golongan minoriti Bani Tamim di Syria (Syam) tetap menyatakan bahawa mereka adalah datang dari golongan Ahlulbait, dari anak cucu Sayidina al-Hasan RA, dan yakin pula dari kalangan merekalah akan munculnya Pemuda Bani Tamim yang dimaksudkan oleh hadis-hadis dan asar-asar. Mereka menanti-nanti dan mencari-cari di kalangan mereka seseorang yang bakal muncul dengan tanda-tanda tertentu, juga telah disebutkan oleh para wali di kalangan mereka juga. Namun, mereka tidak menemuinya di tanah air mereka itu, iaitu di Syam, tetapi mereka mendapati ciri-ciri itu ada pada seorang lelaki dari Timur. Kesemua ciri yang dimaksudkan itu ada padanya dan tepat pula dengan apa yang dikehendaki oleh hadis-hadis dan asar-asar berkenaan. Maka mereka mengakuinya.

Perkara paling menarik mengenai ini adalah perakuan bahawa Bani Tamim adalah suatu suku yang berpunca dari kalangan Ahlulbait juga, bukan dari Bani Tamim yang bangsa Quraisy itu. Jadi, di kalangan bangsa Arab sebenarnya ada dua Tamim, satu suku Tamim dan yang satu lagi Bani Tamim. Suku Tamim adalah suku yang besar, darinya lahir tokoh terkenal dalam Islam, Sayidina Abu Bakar as-Siddiq RA. Bani Tamim adalah puak yang jauh terkemudian munculnya, adalah dari kalangan Ahlulbait, dari anak cucu Sayidina al-Hasan RA.

Disebutkan pula bahawa Pemuda Bani Tamim itu, iaitu yang bergelar Syuaib bin Saleh akan dibekalkan dengan keramat yang amat hebat dan besar, sesuai dengan kedudukannya yang tinggi itu, iaitu mampu menggempur gunung hingga menjadi rata, jika mereka mahu melaluinya
02076 17. Pemuda Bani Tamim Adalah Pemimpin Ikhwan
A. Dari Anas RA, katanya, Rasulullah SAW bersabda,
“Aku amat rindu untuk bertemu dengan Ikhwanku.” Lantas para sahabat bertanya, “Tidakkah kami ini ikhwanmu?” Sabdanya, “Bukan, malah kamu adalah sahabatku dan Ikhwanku adalah mereka yang beriman denganku walaupun mereka tidak pernah melihatku.”
B. Dari Ibnu Mas’ud RA, sabda Nabi SAW,
“Kemudian Urwah bin Muhammad as-Sufyani menghantar sepasukan tentera berkudanya ke Kufah seramai 15,000 orang, kemudian mengutus pasukan tentera yang lain seramai 15,000 orang juga, yang berkenderaan, menuju ke Makkah dan Madinah untuk memerangi al-Mahdi dan para pengikutnya. Maka pasukan tentera yang pertama tadi sampai ke Kufah, berjaya menawan kota itu, lalu memusnahkan apa sahaja, daripada kaum perempuan dan kanak-kanaknya, di samping membunuh setiap lelaki, merampas segala harta-benda yang ada lalu pulang semula (kepada as-Sufyani). Maka (pada ketika itu juga) datanglah suatu kaum yang gagah berani (sihat)dari arah Timur, yang mana mereka itu mengikut Amir min Umarak dari (keturunan) Bani Tamim yang dikatakan dia itu (adalah) Syuaib bin Saleh. Maka dia datang menyelamatkan setiap yang ada daripada tawanan mereka (wanita dan kanak-kanak tadi) lalu (segera) bertolak pula ke Kufah. Pasukan tentera yang kedua pula, sampai ke kota Madinah Rasul SAW, lalu memerangi dan memusnahkannya selama tiga hari, maka datang kepada (hati) mereka pertolongan daripada memusnahkan terus seluruh penduduk dan anak-anak (penghuni Madinah). Kemudian mereka meneruskan lagi perjalanan menuju ke Makkah Al-Mukarramah, untuk memerangi al-Mahdi dan orang-orangnya. Apabila sampai di al-Baidak, semuanya dihapuskan oleh Allah. Maka itulah yang dimaksudkan dengan firman Allah, “Kalau kamu melihat ketika mereka terkejut, maka tidak akan luput (dari ingatan), lalu diambil (nyawa) mereka dari tempat yang dekat (dengan Makkah).” (Surah Sabak, ayat 51)
Ada dua golongan yang membangunkan Islam dalam erti kata yang sebenarnya. Golongan pertama membangunkan Islam pada peringkat awal perkembangan Islam, iaitu di Makkah dan Madinah, bersama-sama dengan Rasulullah SAW. Golongan kedua membangunkan Islam pada peringkat akhir perkembangan Islam, iaitu di Timur, bersama-sama dengan Pemuda Bani Tamim dan Imam Mahdi. Golongan pertama disebut Sahabat iaitu panggilan yang sudah amat masyhur seantero dunia, tidak perlu diperkenalkan lagi. Golongan kedua disebut Ikhwan, suatu panggilan yang tidak diketahui, amat ganjil dan perlu diperkenalkan kepada seluruh dunia.

Perbezaan sebutan atau panggilan ini tidaklah membawa apa-apa kerana kedua-dua golongan dibezakan itu untuk menunjukkan golongan pertama muncul pada awal kemunculan Islam dan golongan kedua muncul pada akhir perkembangan Islam. Seperti mana Rasulullah SAW sayangkan para Sahabat RA, maka begitulah juga rindunya baginda SAW kepada para Ikhwan ini. Golongan Ikhwan ini juga rindu untuk bertemu dengan Rasulullah SAW sama seperti Rasulullah SAW rindu untuk bertemu dengan mereka. Bukan Ikhwan namanya jika hati mereka tidak rindu kepada, atau tidak berapa rindu untuk bertemu dengan Rasulullah SAW, sama ada semasa hidupnya di dunia ini lebih-lebih lagi setelah matinya kelak, iaitu di alam akhirat.

Dan seperti biasa, setiap golongan itu ada pemimpinnya. Golongan Ikhwan ini pastilah tidak terkecuali dan ketua atau pemimpin mereka nyata bukanlah sebarang-barang orang. Jika para Sahabat RA dahulu pemimpin mereka adalah Rasulullah SAW sendiri, maka bagi golongan Ikhwan ini, pemimpin mereka adalah Pemuda Bani Tamim sendiri kerana beliaulah yang mengajar, mendidik, mengasuh, membentuk, membina dan membangunkan golongan ini sehingga keperibadian mereka salin tidak tumpah dengan keperibadian para Sahabat RA pada zaman dahulu. Hal ini tidak perlu difikirkan jauh-jauh atau kita cuba menafikannya. Jika kita mahu menjadi salah seorang daripada Ikhwan, maka ikutlah pimpinan dari Pemuda Bani Tamim. Jika tidak, payahlah harapan kita untuk menjadi salah seorang daripada anggota Ikhwan itu. Kita tidak mempunyai pilihan yang lain kerana hanya itu sahaja satu-satunya pilihan yang ada untuk kita pilih - to be or not to be.

 Setelah Imam Mahdi muncul kelak, maka Imam Mahdilah yang menjadi pemimpin bagi golongan Ikhwan ini. Namun kita perlu ingat, Imam Mahdi tidak membentuk golongan Ikhwan ini setelah beliau muncul kelak, sebab para Ikhwan ini dibentuk sebelum Imam Mahdi muncul, bukan setelah munculnya. Ini perlu diingat, difahami dan diketahui dengan sebaik-baiknya agar tidak tersalah faham atau sengaja buat-buat tidak faham.
02077 18. Tapak Daulah Imam Mahdi Adalah di Timur
A. Dari Abdullah bin Al-Haris RA katanya Nabi SAW bersabda,
“Akan ada orang-orang yang keluar dari sebelah Timur, lalu mereka mempersiapkan segala urusan untuk al-Mahdi, yakni pemerintahannya.”            (Ibnu Majah & At-Tabrani)
Hadis ini sungguhpun pendek sahaja dari segi matannya, sebenarnya mempunyai beberapa tafsiran dan huraian yang luas dan panjang. Penulis ringkaskan beberapa maksud sahaja, iaitu yang penting-penting daripadanya.
  1. Orang-orang yang dimaksudkan dalam hadis ini adalah golongan Ikhwan dan Asoib, tidak lain dan tidak bukan. Hanya golongan ini sahaja yang bersungguh-sungguh berjuang untuk menegakkan pemerintahan yang akan diserahkan kepada Imam Mahdi. Kumpulan-kumpulan lain tidak akan berjuang menegakkan pusat pemerintahan untuk Imam Mahdi kerana masing-masing sama ada berjuang untuk kepentingan sendiri, atau berjuang tidak di tempat yang tepat, atau berjuang tidak menggunakan uslub yang sebenar seperti yang digunakan pada zaman Nabi SAW, atau berjuang tidak pada masa yang sesuai, atau berjuang tidak dipimpin oleh pemimpin yang sebenar yang ditunjuk oleh Allah SWT untuk zaman itu.
  2. Semua pembangun dan pembina pusat pemerintahan Imam Mahdi itu adalah orang-orang Timur iaitu bangsa yang memang menetap di Timur, yang memeluk agama Islam secara umumnya, mengamalkan ajaran Islam lebih baik daripada bangsa-bangsa lain. Dari kalangan merekalah keluarnya Ikhwan ini dan dari kalangan merekalah juga akan munculnya kebanyakan daripada golongan Asoib. Maknanya, bangsa Timur itulah yang menjadi peneraju utama kebangkitan semula Islam kali kedua ini, sama seperti bangsa Arab yang menjadi peneraju kebangkitan Islam kali pertama dahulu.
  3. Mereka datang dari sebelah Timur. Maksud Timur sudah dijelaskan dalam bab-bab sebelum ini. Maka tidak perlu diperpanjangkan lagi penjelasannya di sini.
  4. Mereka ini mempersiapkan segala urusan untuk Imam Mahdi. Segala urusan yang dimaksudkan adalah dari semua segi, yang termampu kita fikirkan dan tidak termampu kita fikirkan. Hanya golongan Ikhwan dan Asoib ini sahaja yang benar-benar memahami apa maksud segala urusan itu. Ini dikeranakan mereka mendapat didikan dan tarbiah secara langsung daripada Pemuda Bani Tamim, pemimpin sejati mereka. Keadaan ini samalah seperti para Sahabat RA di Madinah yang mempersiapkan segala urusan pemerintahan untuk diserahkan kepada Rasulullah SAW. Apabila Rasulullah SAW tiba di Madinah, segala-galanya sudah siap sedia dan baginda SAW hanya perlu mentadbirnya sahaja.
  5. Semua urusan ini ketuanya tidak lain dan tidak bukan adalah Pemuda Bani Tamim sendiri. Beliaulah yang benar-benar memahami segala selok-belok yang dikehendaki dalam perjuangan menegakkan pemerintahan untuk Imam Mahdi itu. Orang lain tidak akan dapat memahaminya dengan baik, walau setinggi mana pun ilmu mereka atau sebanyak mana pun pengalaman mereka. Jika mereka berkumpul beramai-ramai dan berpakat untuk menegakkan pemerintahan untuk Imam Mahdi sekali pun, pasti tidak akan tercapai dan tetap akan tersasar dari sasaran kerana mereka tidak mendapat panduan sebenar dalam hal ini. Hanya Pemuda Bani Tamim seorang sahaja yang boleh melakukan semua ini, dengan tepat dan benar, sesuai dengan apa yang dikehendaki oleh hadis-hadis Rasulullah SAW.
  6. Imam Mahdi itu sungguhpun muncul dan dibaiat di Makkah, pusat pemerintahannya adalah di Timur kerana hal ini sudah dijelaskan oleh hadis ini. Disebutkan bahawa pusat pemerintahan Imam Mahdi adalah di Timur, iaitu di tempat berkumpulnya para Ikhwan. Jadi, hadis lain yang menyatakan pusat pemerintahan Imam Mahdi adalah di Syam, sebenarnya dimaksudkan di Timur ini untuk menyesuaikannya dengan kehendak hadis ini, bukan lagi Syam yang dekat Syria sana
02078 19. Imam Mahdi Keluar Ketika Dunia Penuh Kacau-bilau
A. Sabda Nabi SAW,
“Al-Mahdi akan keluar pada akhir zaman, ketika bala bencana sedang melanda (dengan amat hebatnya di seluruh dunia) dan pemberian al-Mahdi itu adalah sangat bererti (menyenangkan).”        (Abu Nuaim)
Manusia apabila sudah begitu lama ketandusan sesuatu yang amat didambakan, walaupun hanya mendapat sedikit sahaja daripada nikmat tersebut, mereka akan merasakannya sebagai sesuatu yang amat besar dan bernilai, lebih daripada yang dirasakan oleh orang yang pernah merasakannya sebelum itu. Itulah fitrah semula jadi manusia, tidak kira di Timur atau di Barat, kaya atau miskin, kuat atau lemah, beriman atau tidak beriman dan seterusnya. Dalam hal ini, apabila manusia sudah dibiasa dan dilalikan dengan peperangan, pergaduhan, pertelingkahan, perselisihan, perbezaan, perseteruan, perpecahan dan sebagainya sejak sekian lama sehingga mereka tidak pernah merasakan lagi apa itu keamanan, kedamaian, kesejahteraan, kesentosaan, kebahagiaan dan keadilan, maka apabila mereka mendapat setitis daripada rasa bahagia tersebut, mereka akan merasakannya sebagai sesuatu yang amat bernilai dan besar.

Begitulah juga keadaan hati seluruh umat manusia pada hari ini. Mereka sudah dibiasa dan dilalikan dengan beraneka perseteruan, pertelingkahan dan perpecahan sehingga mereka sudah lupa apa itu keamanan dan bahagia. Jika mereka memperkatakan pun, mereka sebenarnya tidak tahu apa yang mereka katakan itu kerana mereka sendiri sudah tidak kenal apa itu bahagia dan aman. Apabila yang memperkatakannya pun sudah tidak faham dan kenal apa yang diperkatakannya, mustahillah keamanan dan kebahagiaan dapat dicapai oleh masyarakat. Jika aman pun, aman itu adalah aman menurut kaca mata mereka, bukan aman dalam erti kata yang sebenar-benarnya. Bahagia juga adalah menurut apa yang mereka fahami, bukannya bahagia yang hakiki.

Dalam keadaan mereka yang sebegitulah Allah turunkan wakil-Nya untuk membantu manusia mengecapi apa yang dikatakan aman, bahagia, sentosa, sejahtera, adil, damai dan gembira itu. Orang yang telah sekian lama amat mendambakan kebahagiaan itu, pastilah tidak akan melepaskan apa yang telah mereka dapati melalui Imam Mahdi itu yang selama ini tidak pernah terfikirkan oleh mereka yang mereka akan mendapatinya suatu hari kelak. Maka, Imam Mahdi itu amatlah bererti bagi mereka kerana Imam Mahdi telah membantu mereka mengecapi, mengetahui dan memahami sebenar-benarnya apa yang dikatakan bahagia dan aman itu.

Hadis ini juga memberitahu bahawa Imam Mahdi itu amat dihormati dan disayangi oleh seluruh umat Islam di seluruh dunia pada masa pemerintahannya. Bagi mereka, Imam Mahdi itulah segala-galanya bagi mereka, sehingga mereka merasakan jika tiada Imam Mahdi, apalah mereka. Kerana itu, Imam Mahdi sangat disayangi, dikasihi, dihormati dan diutamakan oleh mereka, sehingga melebihi segala-galanya (melainkan Allah). Itulah yang bakal berlaku, iaitu apabila seseorang pemimpin itu berusaha membawa manusia kepada Allah, pasti mereka akan dikasihi dan disayangi oleh sekalian rakyatnya, lebih daripada apa yang mereka jangkakan. Hakikatnya hari ini, manusia menjauhi pemimpin kerana pemimpinnya membawa manusia jauh daripada Tuhan. Hasilnya, bukan sahaja manusia menjauhi Tuhan mereka, malah akan turut menjauhi pemimpin yang membawa mereka menjauhi Tuhan tadi. Tetapi kebanyakan manusia tidak menyedari akan hal ini.

Pemimpin yang berjaya adalah pemimpin yang berjaya membawa sekalian rakyatnya mendekati, mengenali, mencintai dan menyayangi Tuhan. Apabila ini berjaya dilakukan, maka berjayalah pemimpin itu dan berjaya jugalah kepemimpinannya terhadap manusia. Rasulullah SAW berjaya dalam kepemimpinannya adalah kerana baginda SAW berjaya membawa hati-hati seluruh umat Islam kepada Tuhan mereka, sehingga hati-hati mereka yang sebelumnya begitu liar, menjadi amat jinak dan mesra dengan Tuhan. Mereka mencintai, menyayangi dan mengingati Tuhan dalam setiap urusan, setiap ketika dan setiap suasana. Mana-mana pemimpin hari ini yang berjaya berbuat demikian, maka itulah dia Sahibul Zaman untuk zaman ini. Tidak perlu syak lagi padanya.
02079 20. Penduduk Syam Ditimpa Bencana Hebat
A. Kata Sayidina Ali KMW,
“Sebelum muncul al-Mahdi, turun bencana yang membinasakan umat manusia. Kamu semua jangan mencela penduduk Syam, kerana mereka (paling teruk) ditimpa musibah tersebut. (Kejadian) yang demikian kerana para Wali Abdal adalah lahir dari kalangan mereka. Bencana tersebut antaranya berupa hujan lebat yang menenggelamkan ramai manusia, sehingga andainya mereka berhadapan dengan sekumpulan musang sahaja, nescaya mereka akan dikalahkan (oleh musang-musang itu). Setelah itu Allah memunculkan al-Mahdi, yang (ketika mula-mula munculnya itu) berada di tengah-tengah pasukan tentera yang minimumnya berjumlah 12,000 orang (tentera) atau maksimumnya berjumlah 15,000 orang. Tanda-tanda pasukan itu ialah diperintah dari tiga pasukan berasingan, yang mana ketiga-tiga pasukan itu akan diserang oleh tujuh pasukan yang lain (dari kalangan as-Sufyani), yang masing-masing ketuanya (sangat) berminat untuk menjadi Amir. Kemudian al-Mahdi muncul, lantas mengembalikan umat Islam kepada akhlak yang luhur dan kepada kehidupan yang amat sejahtera. Mereka terus berada dalam keadaan begini sehinggalah Dajjal keluar (di tengah-tengah manusia).”      (Ahmad, Abu Daud, Ibnu Majah & At-Tabrani)
Kata-kata Sayidina Ali KMW ini menjadi rujukan kebanyakan orang terutamanya kalangan ahli sufi kerana dari ucapan inilah mereka mengetahui bahawa Wali Abdal itu datang dari Syam. Memang Wali Abdal adalah antara wali yang cukup dihormati kerana dekatnya hubungan mereka dengan Tuhan di samping berkat yang nyata, keluar hasil dari keberadaan mereka di kalangan umat manusia. Kerana itulah mereka ini menjadi antara golongan wali yang sentiasa mendapat perhatian kebanyakan manusia, dan mereka ini dijadikan wasitah untuk memohon pertolongan Allah kepada seluruh umat Islam.

Jika demikian, kenapa penduduk Syam masih menerima bencana yang hebat itu? Tidakkah para Wali Abdal ini mampu menolak bala dengan cara mendoakan kepada Tuhan agar diangkat-Nya bala tersebut dari mereka? Ada beberapa sebab mengapa umat manusia masih tetap menerima bala dan bencana dari Tuhan walaupun ada yang bertaraf wali di kalangan mereka itu. Ini disebabkan, antara lainnya adalah kerana,
  1. Umat manusia sudah terlalu jauh daripada Tuhan sehingga keberadaan para wali berkenaan sudah tidak mampu lagi mengangkat dosa-dosa manusia yang sudah terlalu berat itu sehingga bala yang sepatutnya boleh diangkat, tidak diangkat oleh Tuhan. Akibatnya, mereka tetap ditimpa bala berkenaan supaya mereka rasakan secebis daripada azab-Nya semasa di dunia ini. Bagi yang beriman, turunnya bala ini sudah cukup untuk menginsafkan hati mereka.
  2. Umat manusia membelakangkan para wali-Nya. Ramai yang sudah menafikan kewujudan para wali, yang menafikan berlakunya keramat pada wali-wali, yang menganggap para wali sudah tidak ada lagi pada zaman moden ini, yang menganggap para wali tidak diperlukan lagi dalam era globalisasi hari ini, dan sebagainya. Apabila para wali dibelakangkan, maka bala Tuhan sudah tidak dapat lagi disekat-sekat kerana pada ketika itu kemurkaan Allah melebihi daripada rahmat-Nya. Maka diturunkan-Nya sedikit daripada azab-Nya supaya manusia mahu kembali kepada Tuhan mereka.
  3. Manusia sudah tidak malu lagi kepada para wali. Ramai yang sudah tidak tahu adab sopan ketika bertemu dengan para wali. Ramai yang sudah tidak segan-segan lagi berbuat dosa di hadapan para wali, dan ramai yang menganggap keberadaan para wali ini hanya menyusahkan kebebasan kehidupan dunia mereka sahaja. Kerana itu, ramai yang menganggap para wali itu sama seperti mereka juga, tidak perlu dihormat-hormat, tidak perlu disegan-segankan, dan ada yang beranggapan jika tiada para wali berkenaan adalah lebih baik daripada adanya dari kalangan mereka. Ramai yang berkata bahawa para wali itu manusia juga, seperti mereka, ada salah atau sekurang-kurangnya ada berbuat silap. Maka tidak perlulah dihormat-hormat dan dilebih-lebihkan. Yang lebih malangnya, ada yang berkata, perbuatan menghormati para wali secara berlebihan tidak mempunyai dasar dalam agama, dan merupakan suatu perbuatan bidaah dan boleh merosakkan akidah
02080 21. Datang Pasukan dari Iraq ke Madinah
A. Sabda Nabi SAW,
“Pasukan (tentera) dari Iraq keluar mencari seorang lelaki dari Madinah iaitu al-Mahdi. Kemudian Allah menyelamatkan al-Mahdi daripada kejaran pasukan ini. Ketika mereka melintasi suatu padang di Zul Hulaifah (dalam perjalanan ke Makkah untuk mengejar al-Mahdi), maka mereka ditelan bumi (semuanya), sehingga yang di atas sampai hari kiamat.”
B. Kata Anas RA,
“Ketika Nabi SAW sedang tidur di rumah Ummu Salamah RA, baginda bangun lalu bersabda, “Tiada daya upaya melainkan dari Allah.” Ummu Salamah RA bertanya, “Kenapa Rasulullah menyebutkan demikian?” Baginda menjawab, “Satu pasukan tentera datang dari arah Iraq untuk memerangi seorang lelaki dari Madinah yang dilindungi oleh Allah. Apabila mereka tiba di padang pasir dekat Zul Hulaifah, mereka pun ditelan bumi. Yang di atasnya tidak sampai ke bawahnya dan yang di bawahnya tidak sampai ke atasnya sampailah ke hari pengadilan. Tujuan mereka adalah berbeza-beza.” Ummu Salamah RA bertanya, “Wahai Rasulullah SAW, bagaimanakah mereka boleh ditelan bumi sedangkan niat mereka berbeza-beza?” Baginda SAW menjawab, “Sebab ada di antara mereka yang dipaksa mengikuti.”(Ibnu Majah, Al-Busiri & Al-Bazar)
Iraq yang dimaksudkan bukanlah Iraq yang kita kenali pada hari ini, yang terletak di utara Hijaz itu. Iraq pada zaman dahulu adalah negara yang bukan negara Islam, yang merupakan kuasa besar dunia pada masa ini. Dalam kes ini, maksudnya adalah Eropah/Amerika Syarikat atau Iran. Tentera yang besar yang dimaksudkan itu adalah kuasa besar Eropah/Amerika Syarikat yang amat takutkan kebangkitan semula Islam bagi kali yang kedua dan cuba sedaya upaya membendungnya, walaupun terpaksa menggunakan kekuatan tentera. Mereka juga bersatu dalam menentang kebangkitan Imam Mahdi.

Hadis ini membawa erti bahawa kuasa Eropah/Amerika Syarikat yang bukan beragama Islam akan menjejakkan kaki ke bumi Hijaz dan ini telah terbukti dengan masuknya pasukan tentera Amerika Syarikat ke Arab Saudi yang dikuasai oleh keluarga Saud itu semasa Perang Teluk dahulu. Kekuatan ketenteraan Amerika Syarikat itu masih lagi berada di bumi Arab Saudi kerana menjaga keamanan rantau Teluk itu daripada diserang oleh Iraq. Apabila tentera kafir ini cuba masuk ke Tanah Haram Makkah dan Madinah, mereka akan ditelan oleh bumi kerana orang bukan Islam tidak boleh masuk ke Tanah Haram itu, apatah lagi setelah mereka melakukan kezaliman di kota suci Madinah. Dan dengan itu terselamatlah Imam Mahdi daripada dibinasakan oleh kuasa kafir itu.

Maksud kedua adalah tentera Iran. Pasukan Iran ini akan menyerang Imam Mahdi kerana marahkan golongan Ahlus Sunnah. Puak Syiah juga mempunyai Imam Mahdi, tetapi ternyata Imam Mahdi mereka tidak bangun-bangun sedangkan Imam Mahdi Ahlus Sunnah sudahpun bangun dan muncul untuk memerintah dunia. Maka tidak ada jalan lain bagi mereka lagi melainkan terpaksa memerangi juga golongan Ahlus Sunnah dengan Imam Mahdinya. Apabila Imam Mahdi Ahlus Sunnah muncul, maka terbukalah tembelang Syiah selama ini dan tahulah oleh seluruh manusia bahawa puak Syiah itu penipu besar selama ini kerana mendakwa orang yang telah mati sebagai Imam Mahdi. Maka apabila pasukan ini tiba di antara Makkah dengan Madinah, maka mereka akan ditelan bumi sebagai suatu keramat bagi Imam Mahdi, dan sekali gus merupakan bantuan terus dari Allah.

Dan boleh jadi juga kedua-dua pasukan ini akan bergabung untuk menyerang Imam Mahdi di Makkah, cuma niat sahaja yang berbeza-beza. Pasukan dari Eropah/Amerika Syarikat berhasrat menggagalkan kemunculan Imam Mahdi yang bakal membawa Islam kembali ke mercu kejayaan dan kegemilangan. Pasukan Syiah pula mahu membunuh Imam Mahdi supaya Imam Mahdi Ahlus Sunnah itu tidak muncul, dan dengan itu menyelamatkan maruah mazhab Syiah daripada tercalar teruk. Dan kedua-dua pasukan yang bergabung ini akan ditelan oleh bumi di antara Makkah dengan Madinah dan yang tinggal hanyalah dua orang sahaja, dan kedua-dua yang terselamat itu adalah dari kalangan tentera Syiah. Semua tentera kafir itu habis semuanya mati terbenam. Imam Mahdi pun terselamat daripada cubaan menghapuskannya.
02082 23. Pemuda Bani Tamim Melawan As-Sufyani
A. Kata Huzaifah RA,
“Apabila orang-orang berkulit gelap mendatangi bangsa Arab, mereka akan dikalahkan dan dicampak ke tempat yang paling bawah di bumi ini. Apabila hal ini berlaku, As-Sufyani akan muncul dengan 360 tentera berkuda sehingga mereka sampai ke Damsyik. Selepas sebulan, mereka akan diikuti oleh tiga puluh ribu orang dari Bani Kalb. Maka dihantarnya tentera ke Iraq dan membunuh seratus ribu orang di Az-Zaurak. Kemudian mereka pergi ke Kufah dan menawannya. Apabila ini berlaku, sebuah bendera akan muncul dari arah Timur yang diketuai oleh seorang lelaki dari Bani Tamim yang digelarkan Syuaib bin Saleh. Dialah yang mengawal apa yang di bawah kekuasaannya daripada penduduk Kufah dan dia akan membunuhnya (As-Sufyani dan tenteranya). Kemudian, sebuah pasukan As-Sufyani yang lain akan mendatangi Madinah dan merosakkannya selama tiga hari tiga malam, dan selepas itu berangkat menuju ke Makkah sehingga mereka tiba di suatu kawasan gurun. Maka Allah mengutuskan Jibril dan berfirman kepadanya, “Hapuskan mereka!” Maka dia pun menghentakkan sebelah kakinya ke atas mereka lalu Allah membenamkan mereka kerananya. Tiada yang tinggal melainkan dua orang yang menghantar berita duka kepada As-Sufyani, tetapi itu masih tidak menakutkannya. Beberapa orang dari kaum Quraisy akan melarikan diri ke Konstantinopel lalu As-Sufyani menghantar pemimpinnya ke Rom meminta diserahkan semula mereka kepadanya untuk dihukum pancung bersama-sama pengikutnya.
Pada ketika itulah kedengaran suatu suara berseru, “Wahai manusia, sesungguhnya Allah telah memusnahkan pemerintah yang zalim, dan para pengikutnya untuk kamu. Diserahkan-Nya kepimpinan umat ini kepada sebaik-baik umat Muhammad. Maka sertailah dia di Makkah, iaitu Al-Mahdi.” Kemudian Huzaifah bertanya, “Wahai Rasulullah SAW, bagaimanakah dapat kami mengenalinya?” Baginda menjawab, “Dia adalah dari anak keturunanku, dia kelihatan seperti orang-orang Israel, dia memakai dua lapis jubah putih Qutwani. Wajahnya bersinar-sinar bagaikan bintang, pada pipinya ada tahi lalat dan dia berusia empat puluh tahun. Wali Abdal akan keluar mendatanginya dari Syam, Wali Nujabak akan keluar mendatanginya dari penduduk Mesir dan Asoib dari Timur serta para pengikutnya, mereka berkumpul di Makkah dan membaiatnya di antara Rukun dan Maqam.
Kemudian dia berangkat ke Syam, malaikat Jibril di hadapannya dan Mikail di belakangnya, seluruh penduduk langit dan bumi meredhai pemerintahannya. Air mudah didapati di negeri-negeri yang dikuasainya, sungai-sungai bercambah dan harta benda melimpah ruah. Apabila sampai di Syam, dia akan membunuh As-Sufyani di bawah pokok yang cabang-cabangnya menjulur ke arah Tasik Tabariyah dan dia (juga) akan membunuh Kalb. Orang yang paling rugi pada hari pembunuhan Kalb itu adalah orang yang gagal membantu walaupun cuma mengikatkan talinya.” Huzaifah bertanya, “Wahai Rasulullah, bagaimanakah mereka harus dibunuh sedangkan mereka masih mengakui Tuhan yang Maha Esa?” Rasulullah SAW menjawab, “Wahai Huzaifah, mereka pada masa itu amat derhaka, mereka mengatakan arak itu halal dan meninggalkan sembahyang.”
(Abu Nuaim, At-Tabrani & Amru Ad-Dani)
Hadis ini sebenarnya adalah lanjutan daripada hadis yang terdahulu, dengan sedikit perbezaan matan. Orang-orang yang berkulit gelap adalah orang yang bukan dari bangsa Arab, yang menguasai dunia ketika itu. Mereka akan mengalahkan bangsa Arab dan menjadikan bangsa Arab itu hina pada pandangan umum manusia. Hal ini sebenarnya telah pun terjadi pada hari ini. Bangsa Arab pada hari ini adalah bangsa yang dipandang rendah, tidak dipercayai, tidak maju, berfikiran kolot, kasar, suka bergaduh, jahat dan sebagainya. Mereka seolah-olah lupa bahawa bangsa Arablah yang suatu ketika dahulu bersungguh-sungguh memajukan dunia ini dengan berlandaskan ajaran wahyu, sedangkan manusia ketika itu umumnya sangat bodoh dan tahayul. Jasa mereka kepada seluruh dunia amatlah besar dan kesan dari jasa mereka itulah kita menikmati apa yang kita sedang nikmati pada hari ini.

Namun umum bangsa Arab pada hari ini patut juga menerima penghinaan itu kerana mereka sendiri sudah tiada langsung roh jihad dalam diri mereka. Mereka sudah tidak kenal siapa musuh zahir mereka sebenarnya sehingga sanggup membuat perjanjian damai dengan Israel. Kalau musuh zahir pun sudah tidak kenal, musuh batin lebih-lebih lagilah tidak dikenal. Kalau musuh pun sudah tidak dikenali, pastilah cara-cara menghadapinya juga tidak mereka ketahui lagi. Mereka hanya ada ilmu tetapi tidak boleh digunakan lagi sebab terlalu tumpul. Mereka tidak lagi boleh diharap untuk memperjuangkan Islam atau untuk mengembalikan semula Islam ke puncak kegemilangan seperti yang pernah mereka lakukan suatu masa dahulu. Takwa dan khusyuk usah ditanya lagi. Mereka juga tidak boleh diajak berjuang untuk menegakkan semula Islam, kerana zaman ini bukan lagi zaman mereka, walaupun hanya sebagai salah seorang anggota pejuang. Peranan mereka hari ini hanyalah sebagai pengekor sahaja, tidak boleh lebih dari itu
02083 24. As-Sufyani Dikalahkan Oleh Tentera at-Tamimi
A. Dari Ibnu Mas’ud RA, sabda Nabi SAW,
“Kemudian Urwah bin Muhammad as-Sufyani menghantar sepasukan tentera berkudanya ke Kufah seramai 15,000 orang, kemudian mengutus pasukan tentera yang lain seramai 15,000 orang juga, yang berkenderaan, menuju ke Makkah dan Madinah untuk memerangi al-Mahdi dan para pengikutnya. Maka pasukan tentera yang pertama tadi sampai ke Kufah, berjaya menawan kota itu, lalu memusnahkan apa sahaja, daripada kaum perempuan dan kanak-kanaknya, di samping membunuh setiap lelaki, merampas segala harta-benda yang ada lalu pulang semula (kepada as-Sufyani). Maka (pada ketika itu juga) datanglah suatu kaum yang gagah berani (sihat)dari arah Timur, yang mana mereka itu mengikut Amir min Umarak dari (keturunan) Bani Tamim yang dikatakan dia itu (adalah) Syuaib bin Saleh. Maka dia datang menyelamatkan setiap yang ada daripada tawanan mereka (wanita dan kanak-kanak tadi) lalu (segera) bertolak pula ke Kufah. Pasukan tentera yang kedua pula, sampai ke kota Madinah Rasul SAW, lalu memerangi dan memusnahkannya selama tiga hari, maka datang kepada (hati) mereka pertolongan daripada memusnahkan terus seluruh penduduk dan anak-anak (penghuni Madinah). Kemudian mereka meneruskan lagi perjalanan menuju ke Makkah Al-Mukarramah, untuk memerangi al-Mahdi dan orang-orangnya. Apabila sampai di al-Baidak, semuanya dihapuskan oleh Allah. Maka itulah yang dimaksudkan dengan firman Allah, “Kalau kamu melihat ketika mereka terkejut, maka tidak akan luput (dari ingatan), lalu diambil (nyawa) mereka dari tempat yang dekat (dengan Makkah).” (Surah Sabak, ayat 51)
Seperti hadis-hadis sebelumnya, hadis ini melanjutkan cerita tentang perkara yang sama. Walaupun terdapat beberapa perbezaan fakta di dalamnya, semua itu tidak bererti hadis ini maudhuk atau syaz. Sebabnya, perbezaan jumlah yang dikatakan itu, atau perbezaan nama, atau perbezaan keterangan yang diberikan sebenarnya menunjukkan bahawa angka itu boleh berubah-ubah menurut ketentuan Ilahi, tempat yang dimaksudkan itu juga boleh berubah dan maklumat-maklumat lain yang berkaitan juga boleh banyak atau sedikit. Semuanya adalah menurut ketentuan Allah belaka dan hanya Dia yang Maha Mengetahui hakikat segala yang diciptakan-Nya.

Sebab itulah perbezaan keterangan dan jumlah yang berlaku dalam riwayat yang pelbagai, tidak perlu diambil kira sangat. Jumlah yang disebutkan itu tidak penting kerana yang penting ialah bahawa peristiwa yang dimaksudkan itu benar-benar berlaku, dan ada tempat berlakunya, sesuai menurut tafsiran kita pada zaman ini, bukannya menurut tafsiran pada zaman dahulu. Oleh itu, ada perkara yang perlu diperhatikan sangat-sangat dan ada perkara yang hanya perlu diperhatikan secara sepintas lalu sahaja.

 Dan, kebiasaannya dalam menafsirkan hadis-hadis seperti inilah yang banyak memeningkan kepala para sarjana dan cendekiawan yang mengkajinya, kerana pengetahuan mereka tidak tercapai selok-belok hadis yang amat dalam, berkelok-kelok dan penuh rahsia itu. Jika hanya maksud zahir sahaja yang diambil dan diperhatikan, maka hadis-hadis seperti ini dengan begitu mudah akan dicampakkan ke dalam tong sampah maudhuk sahaja. Dan sebagai akibatnya, tidak hairanlah kalau hadis-hadis seperti ini sentiasa terabai daripada perhatian mereka, kerana mereka menilainya sebagai sesuatu yang tidak perlu diperhatikan, membuang masa sahaja dan sering kali dengan mudah pula mereka memaudhukkannya. Itulah penilaian yang terbaik pada pandangan mereka.

Pasukan tentera Amerika Syarikat dan sekutu-sekutunya ternyata amat besar, berjumlah tiga puluh ribu orang dan lengkap pula dengan segala persenjataan tercanggih yang dibawa khusus untuk tujuan itu, disertakan lagi dengan pakar-pakar strategi yang terbaik, di samping mendapat pula bantuan daripada puak Syiah yang katanya mereka lebih layak terhadap Imam Mahdi. Memang puak Syiah amat berhasrat untuk menghapuskan sama sekali golongan Ahlus Sunnah supaya mereka dapat berkuasa pula ke atas seluruh dunia dan umat Islam. Pasukan tentera ini dibahagi kepada dua kumpulan iaitu yang akan menyerang Kufah, yakni Iraq dan yang satu kumpulan lagi akan menyerang Hijaz.

Maka dunia akan menyaksikan sekali lagi negara-negara di Teluk Parsi bermandi darah. Kali ini adalah lebih besar dan dahsyat. Tiada siapa pun dari kalangan umat Islam yang mampu berbuat apa-apa untuk menentang perbuatan biadab musuh-musuh Allah itu. Maka pada ketika itulah Syuaib bin Saleh at-Tamimi akan mendapat kuasa di Timur lalu mendaulatkan Islam ke tempatnya yang tinggi. Beliau dan pasukan tenteranya yang amat terpilih itu amatlah handal kerana mereka dibantu dengan keramat-keramat yang amat nyata. Selain itu, roh-roh sekalian syuhada sejak zaman sahabat RA juga turut datang membantu.

 Hanya dengan bantuan keramat sahajalah seluruh askar dan segala peralatan ketenteraan Amerika Syarikat yang canggih-manggih itu dapat ditundukkan, kerana keramat tidak akan dapat dikalahkan oleh sesiapa pun buat selama-lamanya. Keramat adalah bantuan terus dari Allah, didatangkan melalui tangan para wali-Nya. Maka mustahillah bantuan Allah dapat dikalahkan oleh sesiapa pun. Siapa lagi yang mampu mengalahkan Amerika Syarikat dan segala senjata canggihnya itu kalau bukan dengan berkat keramat para wali Allah? Cuba fikir dan sebutkan negara mana atau pemimpin mana yang dapat berbuat demikian pada hari ini.

Semasa kedua-dua pasukan tentera itu sedang bermaharaja lela di Tanah Arab itu, maka datanglah suatu kaum yang sihat (gagah berani) memerangi Amerika Syarikat dan Syiah itu. Hanya kaum ini sahajalah yang mampu dan berani melawan kekuatan kecanggihan ketenteraan Amerika Syarikat dan sekutu-sekutunya yang besar dan kuat itu. Jumlah mereka ini tidak disebutkan jumlahnya kerana mereka yang dimaksudkan itu ternyata adalah amat kecil jika dibandingkan jumlahnya dengan jumlah kedua-dua angkatan tentera Amerika Syarikat dan sekutu-sekutunya. Namun, Allah tidak melihat kepada berapa besar jumlah pasukan yang dilawan itu kerana setiap seorang daripada anggota pasukan itu bersamaan kekuatannya dengan kekuatan dan keberanian seratus orang tentera musuh.

Mereka adalah pasukan yang datang dari Timur dan tidak lain dan tidak bukan ialah pasukan Asoib, yang di dalamnya terdapat sebahagian besar golongan Ikhwan. Selain itu, disebutkan pula bahawa pemimpin kaum yang sihat itu dipanggil dengan gelaran Amir Min Umarak (Raja Bagi Segala Raja), suatu gelaran yang amat tinggi dan amat besar maknanya kepada beliau. Juga amat besar ertinya kepada seluruh umat Islam di serata dunia. Disebutkan juga bahawa Amir Min Umarak itu bergelar Syuaib bin Saleh. Jelaslah berdasarkan hadis ini, Syuaib bin Saleh itu adalah gelarannya dan bukan namanya. Hal ini samalah dengan khalifah pada akhir zaman yang bergelar Imam Mahdi. Imam Mahdi itu adalah gelarnya sahaja sedangkan namanya adalah Muhammad bin Abdullah.

 Sihat yang dimaksudkan itu adalah sihat akidahnya. Ketika umat manusia sedang rosak akidah kerana telah dipengaruhi oleh pelbagai akidah yang menyesatkan, mereka tidak tergugat akidah mereka. Maka di antara segala yang sedang sakit akidah itu, merekalah sahaja yang sihat akidahnya. Maka dikatakanlah bahawa mereka itu sihat. Mereka juga sihat agamanya. Ketika orang lain sedang sakit malah nazak agamanya, mereka tampil dengan amalan agama yang benar dan menegakkan Islam secara keseluruhan seperti pada zaman Rasulullah SAW dahulu. Maka sesiapa yang mampu menegakkan agama ketika agama sedang rebah, maka dikatakan bahawa mereka itulah golongan yang sihat iaitu sihat agamanya.

Mereka sihat dari segi jihad kepada Allah. Ketika ini umat Islam sudah mati semangat jihadnya. Jika ada yang berjihad pun, tidak benar-benar berjihad menurut apa yang diperintahkan oleh syarak. Maka pada ketika orang lain sedang mati jihadnya, mereka mampu membangunkan jihad seperti yang dikehendaki oleh syarak, maka itulah golongan yang sihat, iaitu sihat jihadnya. Juga sihat daripada pengaruh keduniaan yang sedang amat nyanyuk. Ketika umat manusia sedang turut sama nyanyuk seperti dunia yang mereka gilai itu, mereka berjaya mengelakkan diri daripada turut nyanyuk. Mereka juga membangunkan dunia tetapi menjadikannya sebagai amalan untuk akhirat, bukan untuk dunia semata-mata. Maka dikatakanlah bahawa mereka itu sihat, kerana tidak turut nyanyuk ketika orang lain telah lama dibuai nyanyuk dunia. Juga sihat dari segi kerohanian kerana dengan kerohanian yang kuat yang mereka miliki itulah yang membolehkan mereka mengalahkan musuh dan membangunkan semula Islam seperti yang pernah berlaku pada zaman Rasulullah SAW dahulu. Mereka juga sihat dari segi kekuatan zahir. Mereka sihat kerana dianggap singa pada waktu siang. Singa amat ditakuti oleh setiap manusia, walaupun singa itu hanya seekor sahaja pada sesuatu tempat. Apatah lagilah jika mereka berkumpulan dan beramai-ramai.

Orang-orang, sama ada dari kalangan ulama atau sarjana Islam, yang menganggap Pemuda Bani Tamim itu bernama Syuaib bin Saleh, sudah melakukan sesuatu kesilapan yang amat besar kerana tidak habis kajiannya dan tidak tepat ilmunya dengan kebenaran yang hakiki. Pernah suatu ketika dahulu iaitu sekitar tahun-tahun 1993 dan 1994, ketika isu Imam Mahdi hangat diperkatakan, beberapa orang ulama dan sarjana menjelaskan kepada orang ramai bahawa Pemuda Bani Tamim itu bernama Syuaib bin Saleh kerana itulah nama yang disebutkan oleh hadis. Mereka tidak sedar bahawa ada hadis lain yang menjelaskan sebaliknya. Oleh itu, sebelum memperkatakan sesuatu yang kita tidak berapa jelas atau tidak khatam mengajinya lagi, eloklah kita memperbanyakkan mutalaah dan bersembahyang istikharah untuk mendapatkan kepastian hakiki. Jangan sampai nanti diketawakan oleh orang-orang kemudian
02084 25. As-Sufyani dan Kufah
A. Sabda Nabi SAW,
“Apabila As-Sufyani tiba di Kufah, dia lalu membunuh pengikut-pengikut keluarga Nabi Muhammad SAW, maka Al-Mahdi akan datang dan pembawa Panji-panjinya adalah Syuaib bin Saleh.”
As-Sufyani yang dimaksudkan di dalam hadis ini ialah dari kalangan pengikut Wahabi dan pemerintah yang menggunakan sistem ala-Wahabi dalam pemerintahan mereka. Mereka ini pernah pada suatu masa dahulu membunuh, memburu dan menghalau kalangan Ahlulbait yang masih berada di Hijaz. Akibatnya, sehingga kini, hampir tiada lagi keturunan Ahlulbait di kawasan sekitar Hijaz. Semuanya sudah habis terbunuh atau sekurang-kurangnya pun lari menyelamatkan diri dari Hijaz. Jika ada yang tinggal pun di sana pada masa ini, adalah dari kalangan Ahlulbait yang sanggup mengikut telunjuk puak Wahabi itu.

 Di kalangan mereka itu, pada hari ini, ada yang benar-benar menjadi sebahagian daripada puak musuh yang pernah cuba menghapuskan golongan mereka suatu masa dahulu. Mereka ini bukan sahaja sudah lupa apa yang pernah musuh mereka itu lakukan dahulu, malah mereka sanggup menjadi sebahagian daripada musuh itu untuk membantai  umat Islam yang lain yang tidak sehaluan lagi dengan mereka. Ada pula yang terpaksa berbuat demikian demi mahu menyelamatkan diri dan keluarga daripada dihapuskan oleh puak musuh itu. Semoga Allah mengampunkan dosa-dosa sekalian Ahlulbait itu dan merahmati mereka.

Perkara ini sudahpun benar-benar berlaku. Apabila hal ini benar-benar berlaku, maka hadis ini menjadi sahih dengan sendirinya. Tidak perlu lagi diselidik benar atau tidaknya hadis ini, siqah atau tidak rawinya, terang atau tidak sanadnya, apa hukum yang dijatuhkan oleh ulama hadis dahulu terhadap hadis ini dan sebagainya lagi seperti yang termaktub di dalam disiplin ilmu mustalah hadis. Hadis ini sudah menjadi sahih dan muktamad apabila benar-benar berlaku apa yang dikatakan. Inilah kaedah yang digunakan oleh para sahabat RA pada zaman Rasulullah SAW dan zaman Khulafa ur-Rasyidin dahulu. Dan kaedah itu jugalah yang akan diguna pakai oleh umat Islam pada akhir zaman ini. Maka kitalah yang harus memulakan penggunaan kaedah yang pernah digunakan oleh para sahabat RA itu.
Dalam keadaan demikianlah, Imam Mahdi akan datang iaitu datang ke Makkah untuk tampil menjadi khalifah atau pemerintah manusia. Sebelum mendapat kuasa pemerintahan itu, terlebih dahulu akan dimunculkan Pemuda Bani Tamim. Beliaulah pembawa Panji-panji Hitam yang masyhur itu dan menyerahkannya kepada Imam Mahdi. Kedua-dua mereka ini mestilah muncul menurut urutan, iaitu Pemuda Bani Tamim akan muncul dahulu, kemudian barulah diikuti oleh kemunculan Imam Mahdi. Tidak boleh berlaku Imam Mahdi muncul dahulu daripada Pemuda Bani Tamim atau kemunculan Imam Mahdi itu berseorangan sahaja, tanpa ada Pemuda Bani Tamimnya. Ini dikeranakan kemunculan kedua-dua mereka sudah dinyatakan oleh hadis-hadis secara yang amat nyata.

Begitu juga Pemuda Bani Tamim tidak boleh muncul seorang diri sahaja tanpa diikuti oleh kemunculan Imam Mahdi. Maknanya, tidak lama selepas kemunculan Pemuda Bani Tamim yang mendapat kuasa di Timur itu, Imam Mahdi akan segera muncul pula. Setelah kedua-dua tokoh besar ini muncul, maka sahihlah kedua-duanya benar dan wajib diikuti oleh sekalian umat Islam, walau di mana sahaja mereka berada. Yang dikatakan Imam Mahdi palsu ialah munculnya tanpa didahului oleh Pemuda Bani Tamim, atau Pemuda Bani Tamim itu langsung tidak tersenarai di dalam nama-nama pemimpin kanannya.

Hal-hal lain yang berkaitan sudah pun dinyatakan dalam bahagian-bahagian terdahulu. Rasa-rasanya tidak perlulah diulang-ulang sebutannya dalam bahagian ini.
02085 26. Bab (Pintu Gerbang) Istakhr
A. Sayidina Ali KMW berkata,
“Kuda-kuda As-Sufyani bergerak menuju ke Kufah, dan dia menghantar pasukan tenteranya menentang penduduk Khurasan. (Ketika itulah) penduduk Khurasan mencari-cari Al-Mahdi. Dia akan bertemu dengan Al-Hasyimi yang membawa Penji-panji Hitam, yang di hadapannya ialah Syuaib bin Saleh yang akan memerangi As-Sufyani di depan Gerbang Istakhr, berlakulah pertempuran yang hebat dan pasukan Panji-panji Hitam akan menang, manakala kuda-kuda As-Sufyani bertempiaran lari.”
Kejadian ini berlaku di sekitar Khurasan. Kuda-kuda yang dimaksudkan adalah kelengkapan perang yang paling canggih yang dimiliki oleh pasukan As-Sufyani, terdiri daripada askar-askar terhandal mereka, senjata-senjata automatik, kereta-kereta kebal, kenderaan-kenderaan tentera yang pelbagai jenis dan peluru-peluru yang berkuasa tinggi. Tidak ketinggalan adalah kapal-kapal laut dan jet-jet pejuang pelbagai jenis dan kelengkapan termajunya. Pasukan ini akan menuju ke Khurasan dan Kufah, sedangkan pada waktu itu penduduk Khurasan sudahpun bersatu dengan pemimpin besar mereka iaitu Syuaib bin Saleh at-Tamimi, yang dibantu oleh Al-Haris Harras.

Pada masa ini, Pemuda Bani Tamim akan bertemu dengan dua orang pembantu kanannya iaitu Al-Haris Harras dan Pemuda Bani Hasyim. Kedua-dua pasukan Islam dan kuffar ini akan bertembung di sekitar Khurasan itu juga dan peperangan tidak dapat dielakkan lagi kerana memang pasukan As-Sufyani berazam benar mahukan juga peperangan, tidak mahukan sebarang perdamaian. Dan ternyata, kekuatan dan kelengkapan lahiriah selama-lamanya tidak akan mampu mengalahkan kekuatan rohaniah tentera Islam yang amat hebat itu.

Bantuan Allah kepada tentera Islam nampak nyata, tidak lagi terselindung-selindung sehingga dengan mudah pula taktik dan gempuran pasukan As-Sufyani dapat dipatahkan. Akhirnya kalahlah pasukan As-Sufyani, askarnya berundur dengan tergesa-gesa untuk mengelakkan kekalahan yang lebih besar dan memalukan. Askar-askarnya hilang entah ke mana dan kelengkapan perangnya ditinggalkan begitu sahaja, tidak dikutip lagi. Kerugian yang terpaksa ditanggungnya juga sudah tidak terkirakan lagi banyaknya. Setelah itu, pasukan At-Tamimi meneruskan lagi perjalanan mereka menuju ke Makkah sambil menziarahi kota Madinah yang telah hancur rata itu.
02086 27. Tentera as-Sufyani Dikalahkan Oleh Tentera al-Hasyimi
A. Kata Sayidina Ali KMW,
“Sebelum munculnya al-Mahdi, pasukan berkuda as-Sufyani akan menyerang Kufah. Penduduk Khurasan pula (sibuk) keluar mencari al-Mahdi. Kemudian penduduk Khurasan itu bertemu dengan pasukan al-Hasyimi (yang berada) di tengah-tengah Panji-panji Hitam, di bawah pimpinan Syuaib bin Saleh. Penduduk Khurasan (yang dipimpin oleh at-Tamimi dan al-Hasyimi) bertembung dengan pasukan as-Sufyani di kawasan yang berbatu dan terus terjadi pertempuran yang sengit. Dalam pertempuran itu, yang unggul adalah pasukan yang membawa Panji-panji Hitam, manakala pasukan as-Sufyani melarikan diri. Ketika itulah umat manusia (sangat-sangat) berharap agar dapat menemui al-Mahdi, dan mereka terus mencarinya.”
Ucapan Sayidina Ali KMW ini adalah ulangan daripada ucapan yang sebelumnya. Lazimnya, apabila sesuatu perkara itu diulang-ulang sebut, sama ada oleh orang yang sama atau oleh orang lain, ini menunjukkan bahawa perkara yang disebutkan itu adalah perkara yang besar dan perlu diberi perhatian yang lebih oleh sekalian umat Islam. Ini ditambah lagi dengan hakikat bahawa yang menyebutkannya adalah Sayidina Ali KMW sendiri, salah seorang sahabat yang terkemuka, sepupu kepada Rasulullah SAW dan sekali gus menantu kepada Rasulullah SAW. Biar pun riwayatnya berlain-lain lafaznya daripada yang sebelum ini, tidaklah bererti salah satunya dusta kerana boleh jadi ucapan-ucapan ini disebutkan pada masa yang berlainan, di tempat yang berlainan dan kepada orang yang berlainan pula.
02087 28. Lagi Keterangan Mengenai As-Sufyani
A. Disebutkan oleh Abul Husain Ahmad bin Jaafar bin Al-Munadi di dalam Kitabul Malahim,
“Adalah (pemimpin) yang terbenam tenteranya itu, katanya, namanya ialah Utbah bin Hind, iaitu salah seorang penduduk Damsyik. Dia berkata, “Wahai penduduk Damsyik! Aku adalah salah seorang daripada kamu dan kamu adalah pasti datang dari datukmu Muawiyah bin Abu Sufian, pemimpin kamu yang terdahulu. Berbuat baiklah kamu, semoga kamu akan dibalas baik (juga).” Disebutkannya dengan syarahan yang panjang sehingga disebutkannya nasabnya hingga kepada Al-Jurhumi, iaitu yang mengiringinya dari arah Syam. Maka datang seorang Al-Burqi yang berjalan dengan pantas, dan barang yang dilindungi olehnya, yang (berasal) dari Barat. Maka katanya, Telah datang seorang Jurhum yang membaiatnya, namanya ‘Uqail bin ‘Uqqal (Akal Pendek anak Si Akal Pintar). Kemudian datang seorang al-Burqi, namanya Hamam bin al-Wardi. Kemudian disebutkannya perjalanannya ke Mesir dan dibunuhnya rajanya, iaitu pembunuhan di Qantarah al-Farma atau sekitarnya selama tujuh hari. Penduduk Mesir turut membantunya sehingga mereka membunuh (sama) para cerdik pandainya seramai tujuh puluh ribu orang, sehingga amanlah negeri Mesir, lalu orang ramai pun membaiatnya.
Setelah itu dia pun balik semula ke Syam. Kemudian tersebut pula raja-raja yang terutama (lebih diutamakan) dari keturunan Arab di Hadramaut, dan seorang lelaki dari suku Khuzaah, seorang lelaki dari suku Abbas, dan seorang lelaki dari suku Saklabah. Dan disebutkan kejadian pelik (tentang) pasukan tentera yang terbenam iaitu terbenam mereka ke dalam tanah sehingga paras leher sahaja, tinggal kepala sahaja yang keluar. Tinggallah sahaja kuda-kuda mereka (yang tidak terbenam), harta benda mereka, beban-beban mereka, khazanah-khazanah mereka, alat-alat peperangan dan alat-alat pemusnah mereka yang tinggal terbiar, sehinggalah sampai keluar beritanya ke Makkah, (dibawa oleh seorang yang) bernama Muhammad bin Ali, dari anak cucu Hasan bin Ali. Maka dilipatkan baginya bumi ini sehingga sampai mereka di Al-Bidak pada hari (keempat) itu. Maka pasukan itu tenggelam badan mereka ke dalam tanah, hanya tinggal kepala sahaja yang keluar, sedangkan mereka itu (masih lagi) hidup. Mereka, iaitu sahabat al-Mahdi bersyukur kepada Allah, dan bertambahlah cinta mereka akan Makkah. Kemudian mereka berdoa kepada Allah, mensucikan-Nya dan memuji-Nya kerana baik balasan yang diberi kepada mereka. Mereka juga meminta agar disempurnakan nikmat dan kesejahteraan ke atas mereka. Maka ditunjukkan bumi (yang terbenam itu) pada masa itu yakni pasukan tentera As-Sufyani. Jadilah mereka itu sebaik-baik askar hal keadaan mereka terbiar dan dimusnahkan apa yang mereka biarkan. Dan disebutkan banyak lagi perkaranya… Allahlah yang lebih tahu akan kebenarannya.
Selain para sahabat RA dan para tabiin RH, para ulama salaf tidak ketinggalan memperkatakan tentang Imam Mahdi menurut ilmu kasyaf yang sampai kepada mereka. Setelah itu, mereka menurunkannya kepada anak-anak murid mereka akan berita-berita ghaib yang mereka peroleh itu, untuk tatapan dan pengetahuan mereka dan generasi yang akan datang. Bukanlah maknanya mereka boleh mengetahui perkara yang ghaib seperti tahunya Allah SWT akan perkara-perkara yang ghaib. Mereka hanya mengetahui perkara-perkara yang ghaib setelah diberitahu oleh Allah sama ada melalui para malaikat, ilham, nabi-nabi, wali-wali lain (yang telah mati atau yang masih hidup) atau secara terus dari Allah SWT, tanpa sebarang perantaraan.

 Perkhabaran di atas adalah termasuk dalam kategori kasyaf yang Allah singkapkan kepada beliau untuk diketahui dan disampaikan kepada para pengikutnya. Ilmu Allah SWT itu amatlah luas dan dalam, penuh pula dengan rahsia yang tidak terketahui oleh akal kita yang pendek dan pelupa ini. Mahu percaya atau tidak, terpulanglah kepada setiap individu untuk menentukannya. Antara yang disebutkan adalah tentang penggunaan kenderaan-kenderaan yang boleh bergerak pantas sehingga sebuah angkatan tentera boleh sampai ke tempat yang jauh hanya dalam jarak masa yang singkat. Dan pada hari ini, jarak yang sejauh itu tidak mustahil dapat dicapai oleh orang awam, yakni dengan menggunakan kenderaan yang boleh bergerak pantas.

Pada bahagian akhir petikan ini disebutkan bahawa Allah sahajalah yang Maha Mengetahui akan kebenaran apa yang disampaikannya itu. Hal ini amatlah disedari dan diakui sepenuhnya oleh sesiapa sahaja yang telah sampai kepadanya keupayaan menyelam ke dalam lautan ilmu Allah, sama ada yang berbentuk laduni atau kasyaf. Oleh kerana ilmu Allah itu amatlah luasnya, pemahaman yang amat tepat semasa menghuraikannya amatlah perlu. Tidak jarang terjadi, lain pemahaman yang diperolehnya itu, lain pula maksud tulisannya daripada apa yang difahamnya tadi. Dan lazimnya tulisan dari apa-apa ilmu yang difahamnya itu tersalah secara yang amat tidak sengaja, bergantung penuh kepada kebergantungan hatinya kepada Allah SWT dan kekuatan imannya pada ketika itu
02088 29. Suara Dari Langit Menyokong Imam Mahdi
Kata tabiin RH,
“Ketika al-Mahdi dan as-Sufyani bertempur dalam medan peperangan, akan kedengaran suara dari langit, “Ketahuilah, bahawa wali-wali Allah adalah kawan-kawan al-Mahdi.”
Ungkapan ini menyatakan bahawa Imam Mahdi itu selain dibantu oleh pasukan dari Timur, juga mendapat bantuan daripada para malaikat dan wali-wali Allah. Maksudnya, Imam Mahdi sentiasa dibantu oleh malaikat, sama ada yang dapat dilihat atau tidak dapat dilihat oleh manusia, sama ada yang berada di atas muka bumi ini atau yang berada di atas langit sana. Ketua malaikat yang membantu Imam Mahdi adalah malaikat Jibril dan Mikail AS. Malaikat-malaikat lain yang membantu Imam Mahdi berjumlah empat ribu. Sebahagiannya dapat dilihat oleh manusia biasa, dalam bentuk bayangan atau bentuk manusia biasa. Ada yang hanya dapat didengar suaranya sahaja dan ada pula yang memukul setiap orang yang tidak mahu mengikut perintah Imam Mahdi.

Adapun para wali itu adalah golongan yang akan muncul semula ke dunia ini setelah sekian lama ghaib dari khalayak manusia biasa. Sebab itu tidak hairanlah kalau ada orang Islam sendiri pada hari ini yang berpendapat bahawa para wali sudah tiada lagi di atas dunia ini. Ini dikeranakan mereka tidak pernah melihat sesiapa pun di kalangan mereka seorang yang mencapai taraf wali, malah semuanya sama sahaja dengan mereka. Sebab lain hal ini berlaku ialah kerana golongan muqarrabin seperti para wali sudah tidak lagi dihormati oleh orang ramai kerana mereka telah terlalu dipengaruhi oleh sistem Yahudi dan Nasrani yang menekankan tidak perlunya kita menghormati sesiapa pun, temasuk pemimpin kita sendiri, para ulama, para guru, ibu bapa, para wali dan sebagainya. Semua mereka ini ada salah dan silap, kata mereka. Oleh itu, sepanjang hidup mereka, mereka tidak pernah bertemu bayang pun dengan mana-mana wali dan mereka juga tidak pernah meminta agar dapat dipertemukan dengan mana-mana wali, walaupun hanya sekali sahaja sepanjang hayat mereka.

Kerana itu, apabila Imam Mahdi sedang berperang melawan As-Sufyani dan angkatan tenteranya yang canggih itu sedangkan kelengkapan pasukan Imam Mahdi itu amatlah minimum sehingga tidak kelihatan seperti sebuah angkatan perang. Mereka sebenarnya lebih kelihatan seperti sebuah kumpulan dakwah daripada sebuah pasukan perang. Namun mereka tetap tidak menolak apabila terpaksa menghadapi pasukan As-Sufyani yang lengkap dari segala segi itu. Dan ternyata semasa perang baru meletus, para wali yang selama ini berada di mana-mana penjuru dunia akan segera mendatangi Imam Mahdi lalu menggabungkan diri ke dalam pasukan itu.

Bagaimana mereka boleh tahu bahawa Imam Mahdi memerlukan bantuan mereka? Hal ini sebenarnya amat mudah bagi Allah untuk melakukannya. Sebenarnya para wali itu ada dibekalkan oleh Allah dengan suatu rasa hati yang kuat untuk melakukan sesuatu apabila keadaan memerlukan mereka. Tanpa perlu disuruh-suruh oleh sesiapa atau tanpa diberitahu oleh sesiapa pun, gerak hati mereka kuat mahukan mereka pergi ke sesuatu tempat dengan kadar yang cukup pantas. Ada yang datang dengan cara terbang di udara, ada yang datang menaiki tikar terbang mereka, ada yang datang menaiki pelepah pinang yang berjalan di atas air, ada yang berjalan kaki di atas air seperti orang berjalan di atas tanah sahaja, ada yang berjalan beberapa langkah sudahpun sampai ke tempat yang hendak dituju, ada yang tahu-tahu sahaja sudah pun berada di sesuatu tempat, ada yang datang dengan dibawa oleh malaikat dan ada yang datang dengan dibawa oleh jin-jin khadamnya.

Lagipun apabila Imam Mahdi sudah menjadi pemimpin, maka wajiblah para wali ini membantu pemimpin mereka, terutama semasa memerangi musuh-musuh Allah. Bukan wali namanya kalau tidak turun membantu pemimpin mereka memerangi musuh. Dan dengan bantuan para wali Allah inilah Imam Mahdi dan pasukannya itu berjaya mengalahkan pasukan As-Sufyani. Ternyata bahawa kelengkapan perang yang cukup canggih itu tidak mampu mengalahkan kekuatan rohani tentera Imam Mahdi dan keramat para wali yang berada di kalangan mereka itu. Maka dengan mudah sahaja pasukan tentera As-Sufyani ini dapat dikalahkan oleh mereka menyebabkan pasukan As-Sufyani itu terpaksa berundur dan menanggung malu yang amat sangat.

Maksud lainnya ialah apabila orang ramai heboh memperkatakan tentang diri Imam Mahdi dan disebut secara terbuka pula, sama ada dalam bentuk pro atau kontra, maka itulah tandanya bahawa Imam Mahdi itu sudah tidak lama lagi akan keluar dan yang keluar kali ini benar-benar Imam Mahdi, bukan lagi sekadar dakwaan-dakwaan kosong.
02089 30. Pasukan Tentera yang Ditelan Oleh Bumi di al-Baidak
A. Kata sahabat RA,
“Tanda-tanda (amat hampir) munculnya al-Mahdi ialah berlaku (peristiwa) sekumpulan askar yang ditelan oleh bumi di al-Baidak.”
B. Kata sahabat RA,
“Penguasa Madinah (Hijaz) mengirimkan tentera kepada al-Hasyimi (untuk melawannya) di Makkah. Tentera ini kemudian mengusir penduduk Makkah. Peristiwa ini didengar oleh khalifah di Syam iaitu as-Sufyani daripada keturunan Abu Sufyan bin Harb. Seterusnya as-Sufyani mengirimkan pasukan (tentera) ke Makkah. Dalam perjalanan, mereka singgah di al-Baidak yang pada ketika itu kebetulan bulan purnama sedang mengambang. Kemudian ada seorang penyeru yang memerhatikan keadaan pasukan tersebut, lalu berkata, “Aduh! Celakalah kamu semua wahai penduduk Makkah kerana telah didatangi oleh pasukan (tentera) ini.” Dia terus pergi dan datang lagi ke tempat itu. Namun, setelah datang, dia tidak melihat lagi pasukan tadi. Dia lantas bertasbih, “Subhanallah! Mereka telah berangkat sebentar tadi” Lantas dia meneruskan perjalanannya. (Dalam perjalanannya) di sana dia menemui pasukan tentera tadi dalam keadaan terbenam separuh badan (ke dalam tanah). Dia berhasrat untuk menolong, tetapi tidak mampu berbuat apa-apa. Akhirnya dia mengetahui bahawa pasukan itu (sebenarnya) telah ditelan oleh bumi. Dia pun bergegas pulang ke Makkah untuk menyampaikan khabar tersebut. Mendengarkan berita ini, penduduk Makkah mengucapkan Alhamdulillah, kemudian mereka berkata, “Inilah dia tanda-tanda yang sangat-sangat kami tunggu (selama ini).” Lantas mereka segera pergi ke Syam.”

C. Kata tabiin RH,
“Al-Mahdi tidak akan muncul sehingga ada pasukan perang yang ditelan oleh bumi di kawasan Ghautah, yang bernama Bandar Jirista.”
D. Abdullah bin Amru RA berkata,
“Apabila sepasukan tentera ditelan bumi di kawasan gurun, itulah tandanya akan muncul Al-Mahdi.”
E. Sabda Nabi SAW,
“Satu pasukan tentera akan menyerang Rumah Allah ini untuk memerangi penduduk-penduduknya. Apabila mereka sampai di kawasan yang lapang, seluruh bahagian tengah pasukan tentera ini akan tenggelam. Anggota yang di hadapan akan memanggil tentera di belakangnya, tetapi semuanya turut tenggelam sehingga tiada yang tinggal melainkan beberapa orang yang pergi menghantar berita (duka) kepada As-Sufyani.”
Semua hadis dan asar di atas telahpun dihuraikan dengan ringkas pada bahagian-bahagian sebelum ini. Dan semua riwayat di atas menceritakan beberapa peristiwa besar dan salah satunya adalah mengenai pasukan tentera yang akan ditelan oleh bumi, sebanyak dua kali. Yang pertama berlaku di kawasan Ghautah, di bandar Jirista. Di sini, pasukan yang ditelan oleh bumi adalah pasukan yang dipimpin oleh Kalb. Sebelum itu, pasukan ini akan mendatangi Madinah lalu merosakkannya sehingga hancur rata dengan tanah, sambil membunuh seramai mungkin umat Islam yang sedang berlindung di dalam kedua-dua kota suci umat Islam itu.
Yang kedua berlaku di al-Baidak, suatu kawasan gurun di Zul Hulaifah yang terletak di antara kota suci Makkah dengan Madinah. Pasukan tentera as-Sufyani yang tenggelam di Ghautah membunuh semua pasukan tentera tersebut melainkan seorang askar sahaja. Dialah yang akan pulang memberitahu khabar duka ini kepada as-Sufyani. Pasukan tentera yang tenggelam di Zul Hulaifah pula membunuh semua askar yang ada melainkan dua orang, seorang yang di hadapan sekali dan seorang lagi yang di belakang sekali. Askar yang di hadapan sekali ini takut untuk berpatah balik ke belakang lalu meneruskan perjalanannya sehingga sampai kepada Imam Mahdi dan menyampaikan berita gembira ini kepada Imam Mahdi.
Yang seorang lagi, iaitu yang di belakang sekali takut untuk meneruskan perjalanannya ke hadapan, lalu berpatah semula kepada as-Sufyani dan menyampaikan berita duka ini kepada as-Sufyani.
02090 31. As-Sufyani Menyerang Kufah
A. Kata tabiin RH,
“As-Sakhra (maksudnya as-Sufyani) memasuki Kufah (dan menawannya), lalu ada berita yang sampai kepadanya mengenai kedatangan al-Mahdi. Dia lantas mengerahkan askarnya untuk menyerang al-Mahdi. Mereka kemudian ditelan bumi sehingga tidak ada yang terselamat melainkan seorang (yang di hadapan sekali) yang akan menyampaikan khabar (gembira) kepada al-Mahdi dan seorang lagi (yang paling belakang) yang akan meyampaikan berita (duka) buat as-Sufyani. Al-Mahdi kemudian meninggalkan Makkah dan as-Sufyani juga bertolak dari Kufah untuk sama-sama menuju ke Syam. Kedua-dua pemimpin ini saling berlumba untuk sampai lebih dahulu ke Syam tetapi as-Sufyanilah yang sampai lebih dahulu. Lantas al-Mahdi mengirimkan tenteranya untuk menyerang as-Sufyani. Kemudian as-Sufyani (tewas dan mengaku kalah lalu) berbaiat kepada al-Mahdi dan al-Mahdi terus pergi ke Baitulmaqdis lalu menetap di sana selama tiga tahun. Pada ketika itu juga Kalb bersama-sama askarnya keluar untuk membantu as-Sufyani, lalu bergerak dengan dibantu oleh pasukan-pasukan yang lain lagi sehingga mereka beristirahat di Yasan. Al-Mahdi dengan segera menyerang pasukan gabungan ini, dengan membawa bendera yang paling besar. Kalb dan isteri-isterinya melarikan diri, sehingga anak-anak gadisnya ditangkap dan dijual dengan harga (semurah) 8 dirham. Ketika itu juga as-Sufyani ditangkap dan disembelih seperti kambing yang disembelih, di atas batu besar yang membujur di atas tanah dekat gereja yang berada di lembah jurang, di hujung jalan bukit al-Qantarah di sebelah kanan.”
As-Sufyani itu dikatakan sebagai seorang yang kepala batu (As-Sakhra) kerana keengganannya tunduk kepada kekuasaan Islam. As-Sufyani yang dimaksudkan ini adalah pemimpin puak Syiah yang enggan mengakui kebenaran yang telah terang nyata di pihak Ahlus Sunnah. Dialah yang menakluk Kufah dan menawannya dengan tujuan dapat menghalang kebangkitan kuasa Islam yang dipimpin oleh Ahlus Sunnah itu. Akibatnya, pasukan tentera yang mahu menyerang Makkah ditelan oleh bumi. Yang terselamat hanyalah dua orang sahaja iaitu seorang yang di hadapan sekali dan seorang lagi adalah yang di belakang sekali. Salah seorang daripadanya meneruskan perjalanan menemui Imam Mahdi dan menyampaikan berita gembira ini dan seorang lagi berpatah balik lalu menyampaikan berita duka ini kepada pemimpin Syiah itu.

As-Sufyani ini akan diperangi oleh Imam Mahdi ketika dia mendahului sampai ke Damsyik. Setelah kalah dalam peperangan ini, As-Sufyani mengakui kepemimpinan Imam Mahdi, namun atas bantuan dan hasutan orang-orang kafir Eropah (Kalb) yang durjana itu, As-Sufyani cuba berpaling tadah. Imam Mahdi terpaksa memerangi puak-puak kafir Eropah yang bergabung tenaga itu di Yasan (Sepanyol). Dengan taktik peperangan yang hebat, pasukan Imam Mahdi berjaya memukul habis pasukan gabungan itu menyebabkan pasukan kafir tersebut punah ranah, segala harta bendanya berterabur ditinggalkan begitu sahaja, malah perempuan-perempuan yang dibawanya juga tidak sempat dibawa lari, tertawan lalu menjadi hamba abdi orang-orang Islam. Oleh kerana jumlah tawanan itu terlalu ramai, mereka dijual dengan harga yang semurah-murahnya.

Maksud perempuan (isteri dan anak gadis as-Sufyani) itu ada beberapa golongan. Antaranya ialah para penyanyi, peragawati (model) dan pelakon wanita yang digunakan untuk memerangkap kaum mukminin yang bakal memerangi mereka. Mereka ini tidak mampu menembus iman pasukan tentera yang amat mantap itu, malah mereka pula yang ditawan oleh pasukan Islam itu. Maksud kedua ialah negara-negara yang kaya dengan minyak dan sumber alam untuk membiayai perbelanjaan perang pasukan Eropah itu. Mereka ini turut gagal kerana setiap yang mereka belanjakan itu tidak memadai untuk menampung perbelanjaan perang pasukan Eropah yang menelan belanja yang amat besar itu.
Selepas peristiwa itu, Imam Mahdi terus mencari dan menangkap pemimpin puak Syiah itu kerana berpaling tadah setelah berbaiat sebelumnya. Kemudian pemimpin-pemimpin Syiah itu ditangkap beramai-ramai lalu dihukum bunuh di tebing Tasik Tibriyah dengan disaksikan oleh sekalian umat Islam di seluruh dunia. Itulah hukuman dalam Islam terhadap orang yang berpaling tadah kepada pemimpin mereka setelah mereka berbaiat sebelumnya kepada pemimpin tersebut. Kaedah ini tidak dipakai lagi oleh mana-mana parti politik yang katanya mereka memperjuangkan Islam pada hari ini
02091 32. Madinah al-Munawarah Hancur Rata
A. Kata sahabat RA,
“Sebelum al-Mahdi (keluar), di Madinah terjadi pertempuran yang mengakibatkan hancurnya kota Madinah itu. Darah yang mengalir darinya sampai ke kawasan Ahjarul Zait dan Maal Hirrah. Letak bandar itu lebih kurang 44 batu daripada Madinah. Kemudian al-Mahdi dibaiat (di luar Makkah).”
B. Kata Abu Hurairah RA,
“Akan berlaku pertempuran di Madinah yang menyebabkan batu-batunya dilitupi (darah), sehingga Al-Hirrah kelihatan kecil, bagaikan sebuah kampung terpencil. Kemudian penduduk Madinah keluar sejauh dua batu dari Madinah dan membaiat Al-Mahdi.”

C. Kata Abu Hurairah RA,
“Datang satu pasukan daripada Syam, mereka menyerang Madinah, membunuh seramai-ramainya, membelah perut perempuan (yang sedang hamil) dan berkata, “Dalam kandungan kamu ini, anak kamu (patut) dibunuh kerana ia anak yang jahat.” Semasa mereka sampai di Al-Baidak di Zulhulaifah, semuanya terbenam, tidak tertinggal yang di atas akan di bawahnya dan yang bawahnya akan atasnya (semua sekali askarnya terbenam).” Kata Abul Muhazam, “Semasa datang pasukan tentera Ibnu Daljah (menyerang Makkah), kami menyangkakannya dia (tentera yang dimaksudkan).” Jawabnya, “Bukan mereka.”
Musim haji berdarah itu rupa-rupanya bukan sahaja berlaku di kota suci Makkah, malah merebak dengan pantas ke kota suci Madinah. Sebelum Imam Mahdi muncul di Makkah, kota suci Madinah akan diserang oleh pasukan tentera di bawah pimpinan As-Sufyani. Penyerangan ini dilakukan selama tiga hari tiga malam, mereka membunuh, merampas dan bermaharaja lela sepanjang tempoh itu menyebabkan kota suci itu hancur rata dengan tanah dan jumlah kematian melebihi tiga perempat daripada jumlah keseluruhan penduduk dan jemaah haji yang sedang melakukan ziarah.
Tidak lama selepas pembunuhan besar-besaran itu, Imam Mahdi tiba dari Makkah ke Madinah, yang ketika itu sedang dalam perjalanan menuju ke Baitulmaqdis. Apabila penduduk Madinah yang masih tinggal itu mengetahui bahawa Imam Mahdi sedang melalui kota suci Madinah itu, mereka menyambutnya dengan meriah dan terus membaiat Imam Mahdi sebagai khalifah mereka. Kesan-kesan darah yang masih merah itu dapat dilihat di sana-sini di kota Madinah itu. Jalan-jalan dan dinding-dinding bangunannya terlihat kesan-kesan tompokan darah sedangkan pada ketika itu kota Madinah kelihatan hampir sunyi dan menjadi kota yang separuh mati. Tidak ada yang mendiaminya lagi, melainkan sedikit sahaja
02092 33. Pemimpin Syam dan Mesir Mati Terbunuh
A. Kata tabiin RH,
“Sebelum al-Mahdi, raja Syam akan terbunuh, (diikuti oleh) terbunuhnya raja Mesir. Bangsa Syam akan menawan kabilah daripada Mesir. Seorang lelaki dari Timur  berangkat mengibarkan Panji-panji Hitam, yang dikatakan dia itu adalah (berasal dari) bangsa Syam dan dialah yang akan menyerahkan kekuasaannya kepada al-Mahdi.”
Apabila mana-mana pemimpin Eropah mati terbunuh, diikuti oleh pemimpin dari Afrika yang turut mati terbunuh dalam selang masa yang tidak berapa jauh, maka itulah tandanya Imam Mahdi sudah amat hampir keluar memunculkan dirinya di Makkah. Dan sebelum Imam Mahdi muncul, sudah pastilah seorang lelaki akan mendapat kuasa di Timur lalu mencari dan menyerahkan kekuasaan seluruh umat Islam ini kepada Imam Mahdi. Dan orang itu tidak syak lagi adalah Syuaib bin Saleh at-Tamimi
02093 34. Musim Haji Berdarah di Mina
A. Sabda Nabi SAW,
“Sebelum pembaiatan al-Mahdi di antara Hajarul Aswad dan Maqam Ibrahim, ada kabilah yang menarik perhatian al-Mahdi mengenai sikap dan perampasan mereka terhadap jemaah haji di Mina.”
Imam Mahdi tidak akan dibaiat sehinggalah umat manusia yang sedang mengerjakan haji dibunuh beramai-ramai oleh sekumpulan orang-orang yang sengaja mahu membunuh mereka. Kumpulan orang yang membunuh jemaah haji itu adalah dari kalangan orang-orang Syiah kerana hanya orang-orang Islam sahaja yang dibenarkan masuk ke dalam kota suci Makkah. Disebutkan dalam hadis ini ada kabilah yang merampas menunjukkan bahawa mereka itu adalah orang-orang Islam juga, masuk ke Makkah dengan tujuan zahirnya untuk mengerjakan haji, kemudian semasa di Mina mereka membunuh sebanyak mungkin jemaah haji. Selain membunuh jemaah haji, mereka juga cuba untuk merampas kuasa di Makkah, dengan tujuan dapat menguasainya dan sekali gus menghalang kemunculan Imam Mahdi yang sebenar, yang kemunculannya sudah amat pasti itu.
Perbuatan mereka yang amat zalim ini diketahui oleh Imam Mahdi yang pada ketika itu sedang berada di dalam rumahnya di Safa. Imam Mahdi menangisi apa yang sedang terjadi itu, dan beliau sangat-sangat bersedih hati kerana kejadian itu. Beliau sentiasa berulang alik antara rumahnya dengan Masjidil Haram. Di Masjidil Haram itu beliau selalu menyandarkan wajahnya ke dinding Kaabah sambil menangis. Itulah yang selalu beliau lakukan setiap hari sehinggalah ke saat beliau dibaiat sebagai Imam Mahdi, yang memerintah seluruh umat Islam dan dunia Islam.
02094 35. Tanda yang Keluar Itu Benar-benar Imam Mahdi
A. Kata sahabat RA,
“Tanda-tanda kemunculan al-Mahdi (yang sebenar) adalah apabila harta pusaka melimpah-limpah, penguasa/pemimpin yang mengumpul harta telah mati (dalam kehinaan), setelah itu dia digantikan oleh seorang lelaki yang lemah, yang kemudiannya dipecat setelah dua tahun diangkat menjadi pemimpin, ada sekumpulan askar yang ditelan bumi di barat Damsyik, munculnya tiga belas tokoh di Syam dan keluarnya penduduk Maghribi (Afrika) ke Mesir.”
Apabila Syuaib bin Saleh at-Tamimi mendapat kuasa di sebelah Timur, maka beberapa tanda baru akan muncul. Yang paling ketara ialah keluarnya harta benda di sekitar pusat pemerintahan beliau, yang menyebabkan seluruh penduduk di kawasan itu menjadi kaya raya dan tidak tergugat ekonomi mereka walaupun cuba disekat oleh negara-negara kafir yang lain. Tanda kedua yang disebutkan itu sudahpun berlaku, iaitu berlakunya terlebih dahulu dari kemunculan Pemuda Bani Tamim. Orang yang dimaksudkan itu adalah Presiden Indonesia iaitu Soeharto yang dikatakan mati, kemudian digantikan oleh seorang lelaki yang lemah (mempunyai kecacatan zahir dan kelemahan dalam kepemimpinan) lalu dipecat setelah hampir dua tahun memerintah. Pemimpin yang dimaksudkannya itu adalah Gus Dur atau nama sebenarnya Abdurrahman Wahid. Ini juga sudah benar-benar berlaku.

Selain itu, disebutkan juga peristiwa pasukan tentera yang tenggelam di Damsyik. Ini menunjukkan akan berlaku dua peristiwa pasukan tentera yang tenggelam ke dalam bumi. Tanda lain yang disebutkan adalah kemunculan tiga belas orang pemimpin umat pada akhir zaman, yang juga merupakan orang paling kanan bagi Imam Mahdi. Mereka ini akan diketahui setelah At-Tamimi mendapat kuasa di Timur. Disebutkan juga apabila At-Tamimi mendapat kuasa di Timur, penduduk Islam Afrika yang masih kukuh mengamalkan tarekat dan amalan sufi akan meninggalkan negara mereka dan berpindah ke Mesir atau Timur Tengah untuk bergabung dengan Al-Hasyimi. Mereka ini seterusnya akan menjadi sebahagian daripada anggota pasukan tentera Al-Hasyimi. Pada waktu itu, Al-Hasyimi sedang bersiap-siap menuju ke Khurasan untuk bergabung dengan pasukan Khurasan dan Asoib dari Timur.
02095 36. Pembunuhan Jemaah Haji
A. Kata sahabat RA,
“Orang ramai pergi menunaikan haji. Mereka lalu berwukuf di Arafah tanpa seorang imam pun (yang memimpin mereka bersembahyang). Semasa di Mina, berlaku satu pemberontakan dan mereka (yang sedang berhaji) dibunuh di sana sehingga darahnya mengalir daripada (Jamratul) Aqabah. Mereka lalu meminta pertolongan daripada seorang yang dihormati. Mereka mendatanginya, yang ketika itu dia sedang menyandarkan mukanya di Kaabah sambil menangis. Mereka berkata kepadanya, “Ke marilah supaya kami (dapat) berbaiat kepadamu.” Dia menjawab, “Celaka kamu semua ini, berapa banyak perjanjian yang telah kamu cabuli dan berapa banyak darah (umat Islam) yang telah kamu alirkan?” Kemudian dengan terpaksa dia dibaiat. Jika kamu semua menemuinya, maka berbaiatlah kepadanya. Sesungguhnya dia adalah Al-Mahdi di bumi dan Al-Mahdi di langit.”
Asar ini adalah huraian sokongan atau pengulangan terhadap hadis-hadis dan asar-asar yang lain. Jelasnya, apabila berlaku pembunuhan jemaah haji di Mina dan mereka berwukuf di Arafah tanpa imam, maka itulah dua tanda akhir bahawa Imam Mahdi sudah amat hampir untuk dibaiat. Dan sepanjang sejarah umat Islam yang kita ketahui, kedua-dua peristiwa ini belum pernah terjadi lagi secara serentak. Apabila berlaku nanti, itulah dia saat Imam Mahdi akan muncul di kalangan kita. Maka perhatikanlah kedua-dua peristiwa besar itu.

Mengenangkan betapa ramainya jemaah haji yang akan mati itulah, pernah pada suatu masa dahulu, Ustaz Haji Ashaari bin Muhammad, mengarahkan para pengikutnya agar tidak pergi menunaikan ibadat haji pada tahun 1980-an untuk mengelakkan daripada termasuk ke dalam orang-orang yang akan dibunuh secara besar-besaran. Walaupun ramalan beliau tidak berlaku pada tahun itu, ini menunjukkan ketinggian kefahaman beliau terhadap hadis-hadis yang berkaitan dengan peristiwa akhir zaman, sedangkan pada ketika itu, tidak ada seorang pun ahli hadis atau sarjana yang ambil peduli terhadap kemungkinan kejadian yang tidak kita ingini itu daripada berlaku, terutama kepada ahli keluarga kita atau pengikut-pengikut kita yang kita sayangi

02096 37. Berlaku Perbezaan Pendapat
A. Kata tabiin RH,
“Di dunia ini akan timbul (sikap) berpuak-puak dan (juga) perbezaan pendapat, sehingga (akhirnya) muncul suatu tangan dan seruan dari langit yang menyeru, “Ketahuilah bahawa pemimpin kamu semua adalah si fulan (maksudnya ialah Imam Mahdi).”
Kejadian ini sudahpun lama berlaku di kalangan umat Islam. Sikap berpuak-puak dan saling menyalahkan antara satu dengan yang lain seakan-akan sudah mendarah daging di kalangan sekalian umat Islam. Jika tidak perkara-perkara kecil yang diperselisihkan, perkara-perkara besar akan turut diperselisihkan sama. Semua ini akan menyebabkan umat Islam berada dalam keadaan lemah dan terbiar kerana mereka putus daripada rahmat dan pertolongan Allah akibat daripada perselisihan yang berlaku dan sikap berpuak-puak yang diamalkan.

Sebenarnya, sikap berpuak-puak di kalangan umat Islam pada zaman ini disuburkan oleh orang-orang Yahudi. Umat Islam ditanamkan dengan perasaan memandang rendah terhadap golongan lain yang tidak sehaluan dengan kita walaupun mereka itu seagama dengan kita. Bermula dari perasaan memandang rendah terhadap umat Islam lain itulah yang menimbulkan sikap berpuak-puak pula, iaitu puak aku lebih baik daripada puak dia, Islam puak aku lebih baik daripada Islam puak dia dan begitulah seterusnya. Apa yang berlaku pada hari ini adalah merupakan satu kejayaan yang amat besar, gilang-gemilang dan tidak terhingga bagi orang-orang Yahudi dan jaringan gerakan Zionis mereka. Hanya Allah sahajalah yang mampu menyelamatkan kita daripada semua bentuk tipuan orang-orang Yahudi itu
.















Tidak ada komentar:

 
TARBIYYAH ISLAMIYYAH Copyright © | Template designed by Liza Burhan | SEO by Islamic Blogger Template